Images
  • money changer
    (Gambar hiasan: Roslan Rahman/AFP)

2 rakyat S'pura guna kyat palsu: Pengurup wang suarakan beberapa cabaran

SINGAPURA: Myanmar merupakan destinasi percutian yang semakin popular di kalangan rakyat Singapura. Oleh itu, beberapa pengurup wang di Singapura mula menawarkan mata wang kyat sejak dua tahun lalu.

Namun, dua rakyat Singapura diberkas di Yangon pada Khamis (6 Dis) kerana menggunakan wang kertas palsu. Menurut mereka, wang tersebut diperolehi daripada pengurup wang di Singapura.

Persatuan Pengurup Wang menyatakan bahawa salah satu sebab wang kertas palsu tidak dapat dikesan di negara ini adalah kurangnya teknologi untuk membantu mengesan wang palsu bagi mata wang yang jarang digunakan.

"Misalnya, seperti kyat Myanmar, riel Kemboja atau ruble Rusia, yang tidak begitu popular. Tidak ada banyak pengilang yang menghasilkan mesin seumpama itu. Buat masa ini, kami tidak mempunyai sebarang mesin atau teknologi untuk memeriksa pelbagai jenis mata wang," kata Naib Presiden Pertama Persatuan Pengurup Wang Barakath Ali.

Persatuan itu mengeluarkan nasihat kepada lebih 200 anggotanya pada Selasa (4 Dis), untuk menggesa mereka supaya lebih berhati-hati dalam urus niaga melibatkan mata wang kyat.

Pemilik Clifford Gems and Money Exchange yang ditemui Mediacorp mengatakan bahawa beliau tidak menawarkan mata wang yang kurang mendapat permintaan di sini, seperti mata wang Myanmar, Vietnam dan Kemboja.

Beliau menambah, ramai yang tidak mempunyai banyak pengalaman mengesahkan mata-mata wang sedemikian.

"Buat masa ini kami tidak tahu bagaimana untuk membezakan yang tulen daripada yang palsu. Kami perlu mendidik para kakitangan kami dan saya sendiri perlu kenal rupa wang kertas berkenaan dan apa yang perlu kami lakukan untuk membezakan yang palsu dengan yang tulen," kata Encik Mohamed Rafeeq, pemilik kedai pengurup wang berkenaan.

Menyusuli insiden di Yangon, Encik Rafeeq juga memberitahu para kakitangannya supaya kekal berwaspada terhadap wang kertas palsu semasa menjalankan urus niaga, terutama sekali jika ia melibatkan jumlah yang besar.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan bahawa ia sedang bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka.

MAS menambah, ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang pengurup wang yang didapati melaukan kesalahan, atau sesiapa yang gagal melaksanakan langkah-langkah pengawalan yang perlu.  

- CNA/AQ/aq

Top