Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 Mat Motor anjur ekspedisi bantu kanak-kanak trauma gempa di Lombok

Dua anggota kumpulan motosikal di Singapura kini berada di Lombok bagi menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak yang masih berasa trauma berikutan gempa bumi baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Dua anggota kumpulan motosikal di Singapura kini berada di Lombok bagi menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak yang masih berasa trauma berikutan gempa bumi baru-baru ini.

Ekspedisi yang dinamakan "Healing Trauma" itu dianjurkan buat pertama kali oleh kumpulan motosikal, Lionheart Singapore.

Bagi salah satu anggotanya, Encik Ramle Ismail, ekspedisi bantuan "Healing Trauma" bukanlah yang pertama beliau anjurkan.

Sebelum ini, beliau aktif dalam ekspedisi bantuan bersama kumpulan motosikal - Riders Aid.

Namun, bagi ekspedisi kali ini, beliau akan turut diiringi Encik Imran Mohamed Ishak, seorang ahli silap mata terkenal, yang juga seorang Mat Motor.

Encik Ramle berkata: "Kanak-kanak di Lombok yang berusia dua tahun sehingga belasan tahun mereka perlukan sokongan moral atau semangat daripada kita-kita ini."

Tambah beliau lagi, "Dengan adanya kita memberikan satu hiburan berbentuk pertunjukan silap mata sedikit sebanyak boleh membuat mereka lupakan peristiwa yang mereka alami."

Bagi Encik Imran, meskipun sudah beberapa kali ke luar negeri untuk mengadakan pertunjukan silap mata, ekspedisi ini lebih mencabar dan sesuatu yang mendebarkan kerana ia misi bantuan pertama yang beliau sertai.

"Dari liputan media, kita dapat gambaran suasana di sana. Lantas, saya rasa baik kalau saya mengikuti ekspedisi ini dan saya dapat tengok dengan sendiri.

"Ini satu cabaran bagi saya. Tapi Insya-Allah saya akan cuba menghiburkan anak-anak di sana, " kata Encik Imran yang akan membuat pertunjukan silap mata di Dusun Ancak Lombok Utara.

Encik Imran Mohamed Ishak sertai ekspidisi Healing Trauma (Gambar: Nur Hazimah Anuar/BERITAmediacorp)

Encik Imran juga berkongsi bersama BERITA bahawa beliau merancang untuk mengadakan pertunjukan silap mata yang mempunyai jalan cerita dan ciri-ciri pengajaran yang dapat memberikan semangat bagi kanak-kanak itu menghadapai keadaan emosi mereka.

Usaha kedua-dua dermawan ini turut mendapat sokongan Kedutaan Republik Indonesia di sini, dalam bentuk menghulurkan bantuan semasa mereka di sana.

Selain mengadakan pertunjukan, Encik Ramle dan Encik Imran juga membawa hadiah khas seperti anak patung beruang, alat-alat tulis dan coklat untuk kanak-kanak hasil sumbangan daripada anggota kumpulan-kumpulan motosikal Lionheart Singapore.

Mereka akan berada di Lombok selama dua hari.

Meskipun masa yang diluangkan agak singkat, namun mereka berharap dapat meyakinkan penduduk di sana bahawa masyarakat antarabangsa peduli akan nasib mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan