Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lelaki dijel kerana bantu Chew Eng Han lari dari S'pura

Dua lelaki yang membantu bekas pemimpin Gereja City Harvest Chew Eng Han dalam percubaannya untuk melarikan diri dari Singapura melalui bot dihukum penjara pada Jumaat (13 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki dijel kerana bantu Chew Eng Han lari dari S'pura

Bot yang digunakan Chew Eng Han semasa cuba untuk melarikan diri dari Singapura. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 13 Jul 2018 04:57PM Dikemas Kini : 13 Jul 2018 05:04PM

SINGAPURA: Dua lelaki yang membantu bekas pemimpin Gereja City Harvest Chew Eng Han dalam percubaannya untuk melarikan diri dari Singapura melalui bot dihukum penjara pada Jumaat (13 Jul).

Pengemudi bot adalah Tan Poh Teck, 53 tahun, yang menggunakan sampan bermotor untuk membantu Chew melarikan diri pada 21 Februari, iaitu sehari sebelum Chew dijadual memulakan hukuman penjara atas peranannya dalam kes City Harvest. Dia dikenakan hukuman penjara selama 27 minggu.

Tan Kim Ho, yang juga dikenali sebagai Rayson, seorang warga Malaysia berusia 42 tahun, menguruskan rancangan Chew untuk melarikan diri dari Singapura ke Malaysia dengan menaiki bot. Dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

Pengemudi bot itu diberkas pada 21 Februari bersama bekas pengurus dana City Harvest tersebut apabila Polis Pengawal Pantai memintas sampan berkenaan menyusuli maklumat yang diterima, sementara pihak berkuasa Malaysia pula menyerahkan Rayson kepada polis Singapura pada bulan April.

Hari ini, Tan Poh Teck mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat dengan Chew, 58 tahun, untuk melarikan diri dari Singapura daripada jeti Pulau Ubin.

Dia merancang untuk membawa Chew ke bahagian timur laut Pulau Ubin, di mana Chew akan menaiki sebuah lagi bot untuk ke Malaysia.

Hakim Daerah Ng Peng Hong bersetuju dengan usulan pihak pendakwa untuk menjatuhkan hukuman penjara yang lebih panjang daripada tempoh minimum iaitu enam bulan ke atas Tan, memandangkan Tan juga dituduh bersubahat dengan lagi dua orang untuk melarikan diri dari Singapura dengan menaiki bot.

Rayson juga mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat dengan Chew dalam percubaannya untuk melarikan diri dari Singapura secara haram, dengan menguruskan sebuah bot untuk membantu Chew.

Chew mula menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan empat bulan bagi kesalahan pecah amanah dan memalsukan akaun pada 1 Mac.

Daripada enam pemimpin Ctiy Harvest yang disabitkan dengan kesalahan menyalahgunakan dana gereja, Chew adalah yang terakhir untuk menjalani hukumannya. Dia berkali-kali meminta supaya hukumannya ditangguhkan, termasuk meminta agar hukuman itu ditangguhkan sehingga selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Selepas percubaannya untuk melarikan diri, Chew dikenakan dua lagi tuduhan: satu bagi kesalahan cuba melarikan diri dari Singapura secara haram dan satu lagi bagi kesalahan cuba mengelak hukuman dengan cuba meninggalkan negara ini sehari sebelum dijadualkan menjalani hukuman.

Dia dijadual menghadiri sidang pra-perbicaraan bagi tuduhan-tuduhan baru pada 19 Julai.

Seorang lagi lelaki, pemandu rakyat Malaysia Khoo Kea Leng, dijel selama enam bulan pada April atas peranannya dalam pakatan untuk melarikan diri. Dialah yang memperkenalkan Chew kepada Rayson.  

Sumber : CNA/NA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan