Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lelaki didakwa kerana bekal barangan terlarang ke Korea Utara

Dua lelaki iaitu seorang rakyat Singapura berusia 58 tahun dan seorang warga Korea Utara berusia 30 tahun didakwa pada Khamis (18 Okt) kerana membekalkan barangan mewah yang diharamkan ke Korea Utara.

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki didakwa kerana bekal barangan terlarang ke Korea Utara

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 18 Oct 2018 11:23PM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 11:25PM

SINGAPURA: Dua lelaki, iaitu seorang rakyat Singapura berusia 58 tahun dan seorang warga Korea Utara berusia 30 tahun, didakwa pada Khamis (18 Okt) kerana membekalkan barangan mewah yang diharamkan ke Korea Utara.

Kesalahan mereka melanggar Peraturan-Peraturan (Sekatan ke atas Korea Utara) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2010.

Polis menyatakan, tiga buah syarikat yang ada kaitan dengan lelaki berusia 58 tahun itu juga didakwa di mahkamah kerana membekalkan barangan mewah yang diharamkan ke Korea Utara.

Ketiga-tiga syarikat terbabit adalah SCN Singapore Pte Ltd (SCN), Laurich International Pte Ltd (Laurich) and Sindok Trading Pte Ltd (Sindok).

Siasatan oleh Jabatan Ehwal Komersil mendedahkan bahawa rakyat Singapura itu dipercayai bersubahat dengan ketiga-tiga syarikat tersebut untuk membekalkan barangan mewah tersebut ke Korea Utara sebanyak 43 kali, antara 27 Disember 2010 hingga 18 November 2016.

Barangan itu termasuk barang kemas dan jam tangan dengan logam berharga.

Sementara itu, lelaki warga Korea Utara berkenaan pula dipercayai bersubahat dengan dua syarikat untuk membekalkan barangan mewah yang serupa ke negara itu sebanyak 14 kali, dari 17 September 2014 hingga 5 Januari 2017.

Peraturan-Peraturan (Sekatan ke atas Korea Utara) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2010 melarang mana-mana orang di Singapura atau rakyat Singapura yang berada di luar negara untuk membekalkan, menjual atau memindahkan secara langsung atau tidak langsung sebarang barangan mewah tertentu kepada seseorang di Korea Utara.

Kesemua peraturan itu memberi kesan terhadap sekatan yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan PBB ke atas Korea Utara bagi membendung bertambahnya senjata-senjata pemusnah besar-besaran. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan