Images
  • bus
    SBS Transit terbaring di dalam longkang besar. (Gambar: SG Road Vigilante/Facebook)

2 lelaki cedera selepas trak SBS Transit terbabas ke dalam longkang di Bedok North

SINGAPURA: Dua lelaki cedera setelah sebuah trak SBS Transit terbabas ke dalam longkang di Bedok North Avenue 4 menuju Changi South Lane pada Rabu (13 Jun).

Gambar-gambar dan video yang dimuat naik menunjukkan kenderaan SBS Transit terbaring di dalam longkang besar. Beberapa besi penghadang di tepi longkang kelihatan ranap, yang kemungkinannya akibat dirempuh trak tersebut.

Beberapa pejalan kaki mengelilingi tempat kejadian itu, memerhatikan seorang pekerja yang berdiri di atas trak dan kelihatan seperti memasang tali tunda di kenderaan itu.

Seorang saksi dilihat sedang melutut di sebelah seorang lelaki yang terbaring dalam longkang.

Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), pihaknya diberitahu mengenai kejadian itu sekitar jam 12.40 malam dan menyelamatkan dua lelaki dari longkang itu.

Para mangsa - seorang pemandu berusia 57 tahun dan seorang penumpang berusia 29 tahun - dibawa ke Hospital Besar Changi dalam keadaan sedar, kata polis.

SBS Transit menyatakan bahawa kedua-dua lelaki berada di hospital untuk menerima rawatan.

"Kami sedang menyiasat kejadian itu dan bersyukur tiada lagi orang yang cedera akibatnya," kata Cik Tammy Tan, Naib Presiden Kanan Komunikasi Korporat untuk SBS Transit.

Siasatan berhubung kemalangan itu masih lagi berterusan, menurut polis.

- CNA/NA/na

Top