Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 kapal M'sia masih berada di perairan S'pura: Khaw

Dua kapal Malaysia kekal berada di perairan Singapura, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Isnin (17 Dis) sambil menegaskan keadaan ini tidak kondusif bagi perbincangan antara dua negara itu yang dijadual berlangsung bulan hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:
2 kapal M'sia masih berada di perairan S'pura: Khaw

Gambar fail menunjukkan kapal minyak di Selat Singapura pada 2016. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 17 Dec 2018 11:50PM Dikemas Kini : 17 Dec 2018 11:53PM

SINGAPURA: Dua kapal Malaysia kekal berada di perairan Singapura, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Isnin (17 Dis) sambil menegaskan keadaan ini tidak kondusif bagi perbincangan antara dua negara itu yang dijadual berlangsung bulan hadapan.

Rabu lalu, Encik Khaw juga pernah berkata bahawa sebuah kapal Malaysia masih berada di perairan Singapura dan Malaysia sudahpun mengambil langkah untuk mengendurkan ketegangan di kawasan itu.

"Saya rasa ini bukan persoalan mengira satu, dua atau tiga. Pendirian kami - yang hakikatnya sudah kami gesa untuk mereka lakukan - adalah untuk menarik semua kapal-kapal kerana ia tidak kondusif," Encik Khaw memberitahu para wartawan pada Isnin ketika ditemui di acara berhubung kerja-kerja peningkatan Laluan Timur Laut.

"Pertama sekali, ia tidak diperlukan. Ia tidak membuat sebarang perbezaan kepada tuntutan anda (Malaysia). Dan kita terus risau tentang risiko kerana kita mempunyai dua kapal yang berdepan antara satu sama lain dan siapa tahu, kemalangan boleh berlaku. Ia mungkin tidak disengajakan namun jika sesuatu berlaku, ia amat merumitkan. Namun, mereka enggan menarik balik (kapal Malaysia)."

Para wakil dari Singapura dan Malaysia dijadualkan bertemu pada minggu kedua Januari untuk merundingkan pertikaian perairan. Encik Khaw berkata Singapura ingin berunding "berdasarkan semangat berbaik-baik".

"Kami sedang bersiap sedia untuk rundingan tersebut. Kami bercadang untuk berbincang dan berunding berdasarkan semangat berbaik-baik. Kita berharap agar pertimbangan wajar diutamakan," kata Encik Khaw.

"Kami ingin pengurusan pertikaian ini dibuat secara aman, tenang dan profesional. Jika (pandangan) ini dikongsi oleh kedua-dua belah pihak, saya pasti kita dapat mencari huraian yang saling menguntungkan."

Pertikaian maritim tercetus setelah Malaysia mengambil langkah meluaskan had pelabuhan Johor Bahru pada Oktober, diikuti dengan pencerobohan kapal kerajaan Malaysia ke perairan Singapura.

Dalam responsnya Singapura mengemukakan "bantahan keras" kepada kerajaan Malaysia dan menggesa negara jiran itu supaya tidak mengambil sebarang langkah sehala.

Apabila ditanya sama ada isu ruang udara akan dibincangkan bulan depan, Encik Khaw menjawab: "Saya pasti ia termasuk dalam agenda."

Malaysia pada awal bulan ini menyatakan ia mahu mengambil balik "ruang udara yang diwakilkan" di selatan Johor, atas dasar kedaulatan dan kepentingan negara.

Pada masa yang sama ia membantah langkah Singapura menerbitkan prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar, sambil menyatakan ini akan menyekat pembinaan bangunan tinggi di Pasir Gudang, Johor. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan