Images
  • rsaf50
    (Gambar: The Republic of Singapore Air Force/Facebook)

1,600 keluarga eratkan hubungan sempena Jubli Emas RSAF

SINGAPURA: Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) mengadakan pertunjukan udara terbesar tahun ini pada Sabtu (11 Ogos), yang bukan sekadar mempamerkan kekuatan RSAF.

Malah, pertunjukan itu juga menjadi satu acara bagi sekitar 1,600 keluarga mengeratkan hubungan mereka.

Hampir 30 pesawat terlibat dalam pertunjukan udara itu sempena sambutan Jubli Emas RSAF.

Wartawan Mediacorp antara yang berpeluang menaiki helikopter Super Puma sedang pasukan itu melakukan aksi mendebarkan di Bendungan Marina, dengan disaksikan oleh ribuan orang yang menyertai perkelahan keluarga.

Perkelahan itu dianjurkan oleh Majlis Keluarga untuk Seumur Hidup bagi memberi rakyat tempatan ruang dan peluang untuk mengeratkan hubungan bersama mereka yang tersayang.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Desmond Lee, mengambil kesempatan itu untuk menyeru kepada pihak majikan supaya turut memainkan peranan dalam membantu rakyat mencapai keseimbangan antara tuntutan pekerjaan dan keluarga.

Beliau menambah bahawa 210 syarikat sudah mengikrarkan sokongan mereka kepada satu gerakan yang menggalakkan majikan-majikan supaya melaksanakan amalan-amalan mesra keluarga seperti masa bekerja yang fleksibel.

Jumlah itu naik seganda berbanding tahun lalu semasa inisiatif tersebut dilancarkan. 

- CNA/RU/na

Top