Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SAF perbaharui tumpuan terhadap keselamatan; semua latihan lapangan, berisiko tinggi akan diperiksa

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) memperbaharui tumpuannya terhadap keselamatan, dengan semua latihan lapangan di lapangan dan latihan berisiko tinggi akan diperiksa bagi aspek-aspek keselamatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Mar 2019 10:02PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 11:24PM

SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) memperbaharui tumpuannya terhadap keselamatan, dengan semua latihan lapangan di lapangan dan latihan berisiko tinggi akan diperiksa bagi aspek-aspek keselamatan.

Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How semasa menyampaikan ucapan perbahasan Jawatankuasa Peruntukan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini (1 Mar).

Latihan berisiko tinggi termasuklah latihan di luar negara dan latihan menembah dengan peluru betul, manakala latihan lapangan pula termasuk gerakan taktik dan lapangan. Sebelum ini, pemeriksaan dijalankan bagi semua latihan risiko tinggi dan bagi sesetengah latihan lapangan sahaja.

Pemeriksaan ini akan dilakukan oleh salah satu daripada tiga peringkat sistem audit keselamatan dan pemeriksaan latihan tentera.

BADAN PEMERIKSAAN KESELAMATAN TENTERA

Badan Pemeriksaan Keselamatan Tentera (ASI) berada di peringkat tertinggi. Ia membangunkan peraturan keselamatan, menjalankan audit keselamatan dan pemeriksaan latihan, menyiasat insiden keselamatan, serta menggalak pendidikan keselamatan dan menganalisis trend-trend berkaitan dengan keselamatan.

Pasukan pemeriksaan ASI menjalankan sekitar 300 audit keselamatan dan pemeriksaan latihan setiap tahun.

Audit keselamatan menilai proses keselamatan unit berkenaan dan memberi maklum balas mengenai penyusunan semula aspek keselamatannya, manakala pemeriksaan latihan pula merupakan ujian rambang yang dijalankan semasa latihan bagi memeriksa pematuhan unit tersebut terhadap Peraturan Keselamatan Latihan.

"Misalnya, para pegawai pemeriksaan akan memeriksa bahan-bahan operasi yang diluluskan seperti rancangan latihan dan mengesahkan bahawa protokol keselamatan dipatuhi semasa latihan," menurut MINDEF dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat (1 Feb).

Setiap pasukan keselamatan audit dan pemeriksaan terdiri daripada dua pegawai pemeriksa ASI, yang merupakan komander atau mantan komander tentera yang mempunyai pengalaman dalam bidang latihan. Mereka juga dikehendaki memperolehi sijil asas dan lanjut Kesihatan dan Keselamatan di Tempat Kerja.

PERINGKAT RENDAH SISTEM KESELAMATAN

Pemeriksaan juga boleh dijalankan oleh sistem keselamatan peringkat rendah, yang merangkumi divisyen ataupun ibu pejabat formasi tentera.

Divisyen dan ibu pejabat formasi itu menjalankan lapisan kedua audit dan pemeriksaan bagi menguatkuasakan pelaksanaan sistem-sistem keselamatan dan latihan, manakala ibu pejabat unit dan para pegawai keselamatan pula menjalankan pemeriksaan dalaman terhadap kegiatan latihan bagi sub-unit masing-masing.

PEJABAT KETUA INSPEKTOR

Selain tiga peringkat berkenaan, Pejabat Ketua Inspektor (IGO) yang baru ditubuhkan juga akan menjalankan audit dan pemeriksaan secara berasingan mulai April bagi memastikan agar objektif dan dasar-dasar keselamatan SAF dilaksanakan secara berkesan.

Selain itu, MINDEF menyatakan bahawa IGO akan bekerjasama dengan ASI dan badan-badan pemeriksaan lain untuk saling mengongsi dan menyepadukan idea keselamatan dan amalan terbaik daripada semua khidmat, termasuk di luar SAF.

"Saya percaya bahawa usaha ini akan membantu kami lebih memahami bagaimana khidmat-khidmat memastikan para askar dapat menjalankan latihan dengan selamat dan melatih secara realistik," kata Ketua Inspektor Brigadier Jeneral (BG) Tan Chee Wee pada Khamis (28 Feb) semasa satu pemeriksaan mengejut dijalankan.

"Saya juga percaya bahawa usaha ini akan membantu mendedahkan sebarang kelemahan dalam sistem-sistem pemeriksaan kami."

APLIKASI BARU TERHADAP BAHAYA KESELAMATAN

Sementara itu mulai Mac, Tentera Laut Singapura juga akan merintis sebuah aplikasi mudah alih di pangkalan tenteranya, yang akan membolehkan para askar untuk memetik dan mengongsi gambar-gambar mengenai bahaya keselamatan di tempat kerja dengan para anggota lain.

Aplikasi yang diberi nama 'SafeGuardian' juga akan memberi akses kepada senarai semakan keselamatan pada bila-bila masa sahaja. Namun buat masa ini, borang senarai tersebut hanya boleh didapati di terminal-terminal yang disediakan di dalam kem.

Aplikasi itu yang dihasilkan sejak tahun lalu akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di seluruh SAF dengan "secepat mungkin".  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan