Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura komited huraikan isu 2 hala dengan M'sia 'secara berbaik-baik dan membina'

Singapura komited untuk menghuraikan isu dua hala dengan Malaysia "secara berbaik-baik dan membina", dengan mematuhi perjanjian-perjanjian dua hala dan undang-undang antarabangsa, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan hari ini (1 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura komited huraikan isu 2 hala dengan M'sia 'secara berbaik-baik dan membina'

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan semasa berucap di Parlimen.

Diterbitkan : 01 Mar 2019 08:12PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 08:16PM

SINGAPURA: Singapura komited untuk menghuraikan isu dua hala dengan Malaysia "secara berbaik-baik dan membina", dengan mematuhi perjanjian-perjanjian dua hala dan undang-undang antarabangsa, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan hari ini (1 Mac).

Semasa menyampaikan ucapan dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan Kementerian Ehwal Luar (MFA), Dr Balakrishnan memberikan beberapa perkembangan terkini mengenai pelbagai isu yang muncul sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Mengenai isu had pelabuhan, Dr Balakrishnan berkata para pegawai sudahpun mengadakan pertemuan bagi membincangkan langkah-langkah untuk meredakan keadaan. Kedua-dua pihak juga mengetahui mengenai pentingnya untuk mencegah lebih banyak kemalangan dan insiden yang tidak diduga.

Salah satu contoh adalah pelanggaran antara kapal pengangkut pukal Pireas, yang berdaftar di Greece, dengan kapal Polaris milik kerajaan Malaysia, yang secara haram berlabuh di perairan Singapura.

Pertikaian maritim itu tercetus akibat keputusan sepihak Malaysia untuk memperluaskan hab pelabuhan Johor Bahru pada Oktober, serta pencerobohan oleh kapal-kapal milik kerajaan Malaysia di perairan Singapura.

Singapura menyuarakan 'bantahan keras' kepada kerajaan Malaysia berhubung had pelabuhan tersebut, yang menurutnya mencerobohi perairan Singapura dekat Tuas.

Singapura menambah, dalam satu kenyataan media, bahawa tindakan Malaysia merupakan "satu pencerobohan serius terhadap kedaulatan Singapura dan undang-undang antarabangsa".

Dr Balakrishnan berkata sebuah kumpulan kerja dijadual mengemukakan saranan-saranannya kepada menteri ehwal luar daripada kedua-dua negara pada awal Mac.

Mengenai pertikaian ruang udara pula, Dr Balakrishnan berkata menteri pengangkutan dan para pegawai dari kedua-dua negara sudahpun mengadakan mesyuarat bagi membincangkan aturan bagi Lapangan Terbang Seletar dan ruang udara di Selatan Johor. Ini termasuk pendekatan pendaratan alatan terhadap Lapangan Terbang Seletar, dan Kawasan Larangan di Pasir Gudang, Malaysia.

"Kami mengalu-alukan huraian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak," katanya.

Malaysia menggesa Singapura supaya melaksanakan prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) yang baru di bahagian selatan Lapangan Terbang Seletar, dan bukan di bahagian utara. Malaysia sebelum ini membantah penerbitan prosedur ILS oleh Singapura, dengan menyatakan bahawa ia akan menghambat pembinaan bangunan tinggi di Pasir Gudang, yang terletak di bahagian utara dari Lapangan Terbang Seletar.

Dalam ucapannya, Dr Balakrishnan menggariskan pendekatan Singapura terhadap pelbagai cabaran mengenai dasar-dasar asing. Beliau menekankan bahawa penting untuk Singapura menjadi rakan semua negara, dan bukan sebagai musuh.

"Ini terutamanya bagi kalangan negara jiran terdekat kami, di mana keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara adalah amat penting," katanya.

Dr Balakrishnan menambah bahawa prinsip-prinsip dasar-dasar asing Singapura kekal penting hari ini, sama seperti sewaktu kemerdekaan negara ini.

S'PURA MESTI PERTAHANKAN SISTEM DAGANGAN GLOBAL, BERBILANG PIHAK

Singapura, menurut Dr Balakrishnan, mesti terus menegakkan aturan antarabangsa yang berteraskan undang-undang. Beliau menarik perhatian bahawa sebuah sistem yang menjunjung hak serta kedaulatan semua negara dan undang-undang adalah penting bagi negara-negara kecil seperti Singapura.

Menyentuh mengenai cabaran dasar-dasar asing yang dihadapi Singapura pula, Dr Balakrishnan berkata sistem perdagangan global berbilang pihak yang berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) kini berdepan "ancaman serius".

Beliau berkata Singapura akan terus memainkan peranan aktif dalam WTO dan merundingkan pelbagai perjanjian perdagangan bebas di peringkat dua hala dan berbilang pihak. Singapura juga memeterai Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP), yang dikuatkuasakan pada 30 Disember 2018.

Dr Balakrishnan menambah bahawa terdapat kemajuan dalam rundingan-rundingan bagi Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), dengan para pemimpin dari negara-negara yang menyertai RCEP komited untuk memuktamadkan perjanjian tersebut pada tahun ini.

HUBUNGAN DENGAN KUASA-KUASA UTAMA KEKAL KUKUH DAN MEMBINA

Dr Balakrishnan juga menarik perhatian bahawa di tengah-tengah ketegangan dan polarisasi yang kian meningkat, hubungan dua hala antara Singapura dengan kuasa-kuasa utama seperti Amerika Syarikat dan China kekal "kukuh dan membina".

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan hubungan antara China dengan Amerika Syarikat sebagai "hubungan dua hala terpenting dalam sistem sejagat". Dr Balakrishnan turut menarik perhatian bahawa dinamika antara kedua-dua kuasa itu kini beralih daripada saling bekerjasama kepada persaingan strategik.

"Akibatnya, bentuk-bentuk strategik baru akan tercetus," kata beliau, sambil menambah bahawa negara-negara lain, termasuk Singapura, akan menjadi amat tertekan untuk memilih pihak.

Bagaimanapun Singapura, katanya, mesti sentiasa menjadi rakan yang berwibawa dan konsisten, serta terus bersikap telus, adil dan terbuka dengan semua pihak.

Menyentuh mengenai hubungan antara Singapura dengan China, Dr Balakrishanan berkata Singapura menikmati pelbagai pertukaran lawatan di peringkat tertinggi. Kedua-dua negara juga sering mengadakan pertukaran menerusi wadah-wadah seperti Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC).

Mengenai bidang ekonomi pula, Singapura kekal sebagai pelabur asing utama China. China pula sebagai rakan perdagangan terbesar Singapura sejak 2013. Kedua-dua pihak, tambahnya, juga memuktamadkan peningkatan kepada Perjanjian Perdagangan Bebas China-Singapura pada 2018, dengan membawa kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara kepada "peringkat lebih tinggi".

Amerika Syarikat juga kekal sebagai rakan penting Singapura, dengan kedua-dua negara terus bekerjasama dari segi pertahanan dan keselamatan. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan