Skip to main content

Iklan

Iklan

Pilihan masuk S’pura guna laluan ikatan keluarga digugurkan

Pilihan untuk memasuki Singapura menerusi laluan ikatan keluarga tidak lagi disediakan bagi teman lelaki atau teman wanita rakyat serta penduduk tetap Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Pilihan masuk S’pura guna laluan ikatan keluarga digugurkan

Para pelawat di Lapangan Terbang Changi Singapura. (Gambar fail: Edgar Su/REUTERS)

Diterbitkan : 16 Jul 2021 10:58PM Dikemas Kini : 16 Jul 2021 10:59PM

SINGAPURA: Pilihan untuk memasuki Singapura menerusi laluan ikatan keluarga tidak lagi disediakan bagi teman lelaki atau teman wanita rakyat serta penduduk tetap Singapura.

Kategori "teman lelaki/temanita rakyat atau penduduk tetap Singapura" di bawah laluan ikatan keluarga dikeluarkan pada Mac tahun ini, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) hari ini (16 Jul).

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, penguasa itu menyatakan langkah tersebut dibuat di tengah-tengah langkah kawalan sempadan yang berubah-ubah. Ia juga sebahagian daripada semakan berkalanya ke atas peraturan dan proses pendaftaran bagi pelawat yang mahu memasuki Singapura.

Penggunaan daftar masuk menggunakan Singpass dan langkah pemeriksaan keselamatan juga dilaksanakan di portal SafeTravel sebagai sebahagain daripada proses permohonan kemasukan itu.

“Sama seperti hari-hari sebelum COVID-19, orang asing juga dinilai semasa kemasukan dan pelawat yang disangsi akan dinafikan kemasukan sekalipun jika mereka mendapat kebenaran kemasukan awal dari itu," menurut ICA.

Semasa pandemik COVID-19, ICA menyatakan ia menilai permohonan untuk melanjutkan pas lawatan jangka panjang "berdasarkan kes dengan mengambil kira alasan peringan seperti sekatan perjalanan antarabangsa dan ketersediaan penerbangan".

ICA juga menimbangkan sama ada pemohon mempunyai ikatan keluarga di Singapura.

“Kami ingin mengingatkan anggota awam untuk menyerahkan maklumat dengan jujur dan secara tepat. ICA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas penguatkuasaan terhadap mereka yang didapati membuat perisytiharan palsu," tambahnya.

KES PERTAMA KELOMPOK KTV MASUK S'PURA PADA FEB

Berhubung kes pertama yang terkait dengan kelompok KTV yang kian meningkat di Singapura, ICA menyatakan warga Vietnam itu memasuki Singapura pada Februari lalu atas laluan ikatan keluarga.

"Dia ditanggung oleh seorang rakyat Singapura yang menyatakan dalam permohonan itu bahawa beliau adalah teman lelaki wanita berkenaan."

Permohonan itu dibuat menerusi kategori "teman lelaki/temanita rakyat atau penduduk tetap Singapura" di bawah laluan ikatan keluarga, yang disediakan sebagai satu pilihan pada ketika itu.

“Ini adalah salah satu daripada kategori profil yang diluaskan dan yang dibenarkan untuk melakukan perjalanan udara ke negara ini dan ia diperkenalkan pada Oktober 2020. Ia untuk membenarkan rakyat Singapura yang mempunyai hubungan dengan teman warga asing untuk disatukan semula selepas dipisahkan buat tempoh lama akibat pandemik," jelas ICA.

Penguasa itu menambah ia menerima banyak rayuan daripada rakyat Singapura berhubung itu.

"Kes indeks" atau kes pertama yang dilaporkan dalam kelompok KTV dikesan apabila wanita Vietnam itu mengunjungi klinik Swab dan Hantar Pulang (SASH) pada 11 Julai dengan simptom jangkitan pernafasan akut.

Dia kemudian dibawa ke sebuah hospital selepas diuji positif. Pihak berkuasa memulakan siasatan epidemiologi dan mendapati bahawa wanita itu kerap mengunjungi banyak cawangan KTV. Beberapa kes COVID-19 dalam kelompok KTV itu tinggal serumah dengannya.

Setakat hari ini, sebanyak 120 kes berhubung kait dengan kelompok KTV sekali gus menjadikannya kelompok aktif terbesar di Singapura. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan