Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Yusri Sallim sertai konvoi rentas 500 batu naik ‘sidecar’ Vespa demi kumpul dana kajian barah

Menurut mereka, usaha ini mungkin satu rekod dunia bagi perjalanan terpanjang dengan menaiki sidecar.

Anggaran Waktu Membaca:
Yusri Sallim sertai konvoi rentas 500 batu naik ‘sidecar’ Vespa demi kumpul dana kajian barah

Para peserta acara The 500 Miles Sidecar Ride (Gambar: The 500 Miles Sidecare Ride)

SINGAPURA: Perjalanan lebih 500 batu (800 kilometer). Para peserta dari lima negara. Empat ‘sidecar’ skuter vintaj. Semuanya bergabung demi satu tujuan murni: mengumpul dana bagi penyelidikan mencegah barah.

Inisiatif itu berjaya dilakukan oleh 10 peminat Vespa vintaj, yang bergerak secara konvoi selama tiga hari dari Singapura ke Pulau Pinang, Malaysia.

Perjalanan yang bermula pada 6 April dan berakhir pada Isnin lalu (9 April) itu bertujuan mengumpul $5,000 bagi Dana Penyelidikan NCC, kendalian Pusat Penjagaan Barah Kebangsaan (NCCS).

BARAH SATUKAN PESERTA DARI TIGA BENUA

Yang menariknya, kesemua 10 peserta berasal dari negara yang berbeza - Singapura, Malaysia, Hong Kong, Britain dan Brazil. Sebilangan daripada mereka pula pernah kehilangan orang yang disayangi akibat barah. Misalnya, Encik Guilherme Asckar, peserta dari Brazil, kehilangan datuknya akibat barah.

Malah destinasi perhentian yang dipilih juga penuh bermakna. Ini kerana ia merupakan tempat asal mendiang isteri Encik Simon Wong, pengasas kumpulan ‘Singapore Sidecars’ yang juga ketua konvoi acara ini. Isterinya meninggal dunia akibat barah perut pada tahun 2008.

Walaupun tiada pengalaman peribadi berkaitan penyakit barah, para peserta lain turut teruja untuk menyertai acara murni ini bagi menyalurkan minat mendalam mereka terhadap motosikal, demi amal.

Salah seorang peserta, Encik Yusri Sallim, memberitahu BERITAMediacorp: “Ia bermakna kerana kami dapat sedikit sebanyak membantu mengumpul dana. Malah, ia timbulkan kesedaran dalam diri kami sendiri agar selalu mengambil berat tentang kesihatan kita.”

CABARAN DAN DUGAAN SILIH BERGANTI

Meskipun usaha itu murni, ia tidak terlepas daripada cabaran dan dugaan, sejak mula lagi.

Salah sebuah 'sidecar' rosak sejurus sebelum konvoi bermula dan terpaksa ditunda ke sebuah bengkel di Singapura untuk dibaiki, sedang tiga 'sidecar' yang lain meneruskan perjalanan. Berbekalkan semangat kental penunggang 'sidecar' tersebut, Encik James Quah, ia dapat menyertai semula konvoi yang pada ketika itu sudah melepasi Melaka.

Sepanjang perjalanan, kumpulan itu mengharungi cabaran demi cabaran. Ini termasuk keadaan jalan raya yang tidak rata serta angin kencang secara tiba-tiba apabila kenderaan-kenderaan lebih besar memecut di sebelah mereka.

SIFAT IHSAN ORANG RAMAI RINGANKAN BEBAN

Sungguhpun demikian, ia bukanlah penghalang untuk para peserta menikmati halwa mata sepanjang perjalanan menyusuri kawasan desa dan sawah padi.

(Gambar-gambar ihsan: the 500 Miles Sidecar Ride)

Tambah manis lagi adalah ihsan para penaja, termasuk sebilangan pihak yang menghulurkan bantuan tanpa diduga. Yang pasti, jasa baik mereka tidak akan dapat dilupakan.

“Para penaja meringankan perjalanan kami dari segi kewangan, tempat rehat dan juga minyak. Ini memastikan yang kami selalu dalam keadaan yang sihat dan tak perlu risau tentang isu-isu lain,” kata Encik Yusri, yang juga ketua mekanik konvoi, memberitahu BERITAMediacorp.

USAHA BERTERUSAN

Pasukan seramai 10 anggota itu akhirnya berjaya menamatkan perjalanan sepanjang 521 batu (840 kilometer) sebelum matahari terbenam pada 9 April. Menurut mereka, usaha ini mungkin satu rekod dunia bagi perjalanan terpanjang dengan menaiki sidecar.

Walau pengembaraan mereka sudah berakhir, usaha mengumpul dana tidak akan terhenti di situ saja. Buat masa ini, sekitar separuh daripada jumlah dana yang disasarkan sudah terkumpul dan mereka masih menerima derma melalui kempen pendanaan awam menerusi laman give.asia di pautan ini.

Bila ditanya jika ada ura-ura untuk mengadakan konvoi amal sekali lagi, ini jawapan Encik Yusri: “Sudah tentu kami sudah ada perancangan untuk ‘ride’ seterusnya ... Mungkin 1,000 batu pula!”

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan