Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita pun 'gila' bola: 3 gadis Melayu buktikan cinta kepada 'sukan lelaki' ini

Wanita-wanita ini mula menonton bola sepak sejak sekolah rendah lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita pun 'gila' bola: 3 gadis Melayu buktikan cinta kepada 'sukan lelaki' ini

Wanita-wanita ini mula menonton bola sepak sejak sekolah rendah lagi.

BERITAMediacorp: Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Begitulah semangat seorang wanita yang sanggup menabung selama setahun demi minat terhadap sukan kegemarannya - bola sepak.

Nurul Hazirah Zaidi, 25 tahun, menggunakan wang yang disimpannya itu bagi percutian solonya ke England untuk mengunjungi stadium-stadium bola sepak terkenal.

Beliau sempat mengunjungi tujuh stadium bola sepak di kota London, Liverpool dan Manchester. Ini termasuk Stadium Emirates, Old Trafford dan Etihad.

“Rakan-rakan saya tidak begitu minat dengan bola sepak. Jadi saya pilih untuk bercuti sendiri sebagai hadiah untuk diri saya setelah menamatkan ijazah sarjana muda saya,” Cik Hazirah, yang merupakan peminat pasukan Arsenal, memberitahu BERITAMediacorp.

TERLEPAS PENERBANGAN PULANG GARA-GARA PERLAWANAN BOLA

Perjalanan Cik Hazirah ke England merupakan kali pertama beliau ke luar negara secara sendirian.

Salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah apabila beliau terlepas penerbangan pulang ke Singapura disebabkan lewat menaiki kereta api untuk ke lapangan terbang, gara-gara menyaksikan perlawanan bola sepak.

Namun pengalaman itu sedikit pun tidak dilihat sebagai merugikan. Sebaliknya ia boleh dikatakan 'berbaloi' dan mungkin hanya sekali seumur hidup.

Cik Hazirah di stadium Old Trafford (atas) dan London (bawah). (Gambar: Hazirah Zaidi) 

“Saya menonton perlawanan antara Arsenal dengan Tottenham Hotspur pada hari yang saya sepatutnya terbang pulang. Terus terang ia berlaku kerana perancangan saya kurang baik. Tetapi saya tidak menyesal kerana tidak tahu bila lagi dapat menonton pasukan kegemaran saya bermain secara langsung,” ujar Cik Hazirah.

MINAT BOLA SEPAK BUKAN KERANA PASANGAN

BERITAMediacorp bertemu dengan dua lagi wanita yang turut mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan yang sering dikaitkan dengan kaum Adam.

Sama seperti Cik Hazirah, Faizah Abdul Aziz, 34 tahun dan temannya, Nur Faiza Abdullah, 31 tahun juga mula menonton bola sepak sejak sekolah rendah lagi.

Ketiga-tiga wanita datang daripada keluarga yang ‘gila’ bola. Contohnya kesemua adik-beradik dan ibu bapa Cik Faizah tidak pernah terlepas menonton perlawanan-perlawan Piala Dunia 2018, walaupun hingga ke larut malam.

Faizah Abdul Aziz (kiri) dan Nur Faiza Abdullah (kanan). (Gambar: BERITAMediacorp/Zulaikha Zulkiflee) 

Namun, apa yang menarik adalah teman lelaki Cik Faizah tidak meminati sukan bola sepak.

“Saya minat Liverpool, jadi kalau ada perlawanan pada waktu malam, saya sanggup menonton dan tidak tidur. Sekarang, teman lelaki saya sudah mula berjinak-jinak menonton bola sepak kerana pengaruh saya,” kongsi Cik Faizah yang bekerja sebagai seorang pentadbir sukan.

Cik Nur Faiza menambah: “Ramai sering stereotaip wanita hanya ikut-ikut sahaja pasangan mereka menonton bola sepak. Tetapi tidak semestinya, kerana kami sendiri memang gemar dengan sukan ini sejak dari kecil lagi.”  

KOLEKSI BARANGAN BOLA SEPAK KIAN BERTAMBAH

Minat terhadap bola sepak bukan hanya terhad kepada menonton perlawanan-perlawanan sahaja. Malah, ia mendorong Cik Hazirah dan Cik Nur Faiza untuk mengumpul memorabilia demi menunjukkan sokongan kepada pasukan kegemaran masing-masing.

Contohnya, Cik Nur Faiza memiliki koleksi lebih 10  jersi pasukan bola sepak yang dibeli dan dikumpul sejak sekolah menengah lagi. Selain itu, beliau juga sudah mula mengumpulkan skarf-skarf pasukan bola sepak sejak beliau menuntut di politeknik.

Menurut beliau, koleksinya terus berkembang dengan rakan-rakan dan saudara mara yang membelikan barangan-barangan tersebut sebagai hadiah untuk dirinya.

Koleksi skarf dan jersi Cik Nur Faiza. (Gambar: BERITAMediacorp/Zulaikha Zulkiflee)

Bagi Cik Hazirah pula, memorabilia yang dikumpul termasuk gelang kunci dan lencana pasukan bola sepak.

Dinding khas bola sepak di bilik tidur Cik Hazirah. (Gambar: BERITAMediacorp/Zulaikha Zulkiflee) 

“Kebanyakannya saya beli dari England. Saya berharap untuk ke stadium-stadium Eropah pada masa hadapan dan mungkin ke Piala Dunia 2022. Kali ini saya harap ada beberapa rakan atau ahli keluarga yang ingin ikut sekali,” kata Cik Hazirah.

Selain bola sepak, ketiga-tiga wanita ini juga gemar dengan sukan-sukan lain seperti sukan tinju dan lumba motor MotoGP.

Sumber : BERITA Mediacorp/zz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan