Images
  • kencing
    Cik Julia Sillaman minum air kencing untuk mengurangkan berat badan, hilangkan jerawat. (Petikan gambar dari video YouTube)

Wanita ini minum air kencing untuk turunkan berat badan, hilangkan jerawat

MARYLAND: Sekuat manakah tekad anda untuk mengurangkan berat badan dan tampil cantik? Sanggupkah anda minum sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran anda?

Bagi Cik Julia Sillaman, apabila disarankan untuk meminum air kencingnya sendiri, beliau dengan berani mencubanya. Lebih menarik lagi, beliau mendapati berat badannya berkurangan. Bukan itu sahaja, masalah kulit berjerawat juga berjaya diatasi selepas mengamalkan perkara aneh itu.

Itulah yang sanggup dilakukan wanita yang ingin mengekalkan berat badan dan kelihatan cantik itu. Ternyata, bukan beliau sahaja yang mengamalkan minum air kencing sendiri, lapor Daily Mail. Encik Christo Dabraccio yang menyarankan kepadanya untuk melakukan demikian. Encik Christo seorang pelukis.

Mengulas lebih lanjut, Cik Julia memberitahu Daily Mail bahawa berat badannya turun sebanyak 11.3 kilogram. Wajahnya pula sudah bersih daripada jerawat.

Encik Christo sebelum ini menyifatkan amalan itu sebagai 'terapi kencing' yang membuatnya berasa bertenaga.

Beliau bagaimanapun akui pada mulanya berasa jijik untuk meminum air kencing.

"Saya mendapat tahu tentang perkara ini di laman online. Saya berasa jijik tetapi selepas membuat kajian dan membaca testimonial, saya semakin yakin," kata Encik Christo.

"Selepas saya cuba, saya berasa tenang, lebih muda malah kulit saya juga semakin berseri," tambah Encik Christo. Beliau mengamalkan tiga cawan sehari dan turut menggunakan air kencingnya itu untuk mencuci muka dan mata, lapor Daily Mail.

Para saintis bagaimanapun menegaskan bahawa tiada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa ada kelebihan minum air kencing. Malah, ia mungkin berbahaya dan mereka yang mengamalkan itu "hanya mempermalukan diri sendiri".  

- Agensi berita/AQ/aq

Top