Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Venice bergelut dengan kesesakan pelancong

Para pelancong di Venice boleh didenda sehingga €500 (S$800) jika mereka duduk di tempat-tempat yang bukan khusus untuk berehat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Venice bergelut dengan kesesakan pelancong

Venice. (Gambar hiasan: Miguel Medina/AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2018 12:21PM Dikemas Kini : 22 Sep 2018 12:25PM

ITALI: Para pelancong di Venice boleh didenda sehingga €500 (S$800) jika mereka duduk di tempat-tempat yang bukan khusus untuk berehat. Itulah langkah yang diambil bandar tersebut sedang ia bergelut dengan masalah kesesakan pelancong.

Idea yang disarankan oleh Datuk Bandar Luigi Brugnaro akan diundi majlis bandaran pada Oktober.

Usulan itu sebahagian daripada senarai panjang langkah-langkah untuk menangani kesesakan di bandar yang sangat popular di kalangan para pelancong, lapor Sky News.

Kempen #EnjoyRespectVenezia Venice yang dilancarkan tahun lalu menetapkan bahawa para pelancong dialu-alukan di bandar berkenaan namun mereka perlu mengikut peraturan-peraturan tempatan.

Datuk Bandar Luigi Brugnaro berkata: "Matlamatnya adalah lebih sebagai langkah pencegahan terhadap pelawat yang fikir mereka boleh lakukan apa-apa sahaja tanpa menghormati bandar ini, ketertiban serta keselamatan awam."

Pada April, Venice memasang pagar sementara di hujung dua buah jambatan bagi mengawal jumlah pelancong jika jumlahnya terlalu ramai.

Menurut Sky News, penduduk tempatan mengadakan bantahan untuk menolak langkah itu sehingga mereka merobohkan pagar-pagar yang dipasang.

"Venice semakin terkubur," kata seorang pembantah, Encik Marco Baravalle.

"Tindakan datuk bandar memasang pagar itu seolah-olah isyarat bahawa beliau sudah berserah dan ingin Venice menjadi bandar yang tidak dihuni lagi."

Inisiatif-inisiatif lain untuk mengawal jumlah pelancong dan kesannya termasuk:

  • Dilarang berlegar-legar di jambatan
  • Dilarang berenang di terusan
  • Dilarang mengayuh atau menolak basikal
  • Dilarang memberi makanan kepada burung-burung
  • Dilarang memakai pakaian mandi di bandar atau tidak memakai baju
  • Dilarang membuang sampah sembarangan
  • Dilarang memasang "mangga cinta" di monumen mahupun jambatan
  • Dilarang berdiri atau baring di atas bangku
  • Dilarang memanjat pokok, bangunan atau monumen
  • Dilarang membuat bising yang melampau pada waktu malam atau tempoh rehat siang tempatan antara 1.00 hingga 3.00 petang
  • Berkelah hanya dibenarkan di taman-taman awam
  • Dilarang mengadakan persembahan jalanan di tempat awam tanpa permit
  • Dilarang melukis, mengecat atau mempamerkan sebarang bentuk karya seni tanpa permit
  • Semua kapal persiaran (lebih 55,000 tan) dilarang masuk ke pelabuhan menjelang 2021
  • Cawangan pesanan makanan baru dilarang dibuka di bandar itu sepanjang tiga tahun ke depan

Sesiapa yang melanggar peraturan-peraturan itu akan didenda antara €25 (S$40) dengan €500 (S$800), menurut laman rasmi bandar itu seperti ditukil Sky News.

Pada Ogos, The Telegraph melaporkan seorang pelukis ditahan polis selepas cuba melukis di Dataran St Mark's kerana tidak mempunyai permit.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan