Images
  • duku
    Buah duku. (Gambar: Hairul Warisin Rasuan/Facebook)

Usia 73 tahun, tapi hebat panjat pokok

KUALA TERENGGANU: Meskipun usianya mencecah 73 tahun, namun kemahiran memanjat pokok buah duku sangat mengagumkan kerana mampu membawa turun antara 100 hingga 150 kilogram buah duku dalam tempoh empat jam setiap hari.

Encik Abdul Jalil Abdullah, bilal masjid di Kampong Banggol Karah berkata beliau memanjat banyak pokok duku di kampung itu setiap tiba musimnya, sejak beliau berusia 15 tahun lagi, dan banyak petua yang hendak dikongsinya.

"Buah duku ini sangat sensitif, ia tidak boleh dikait seperti rambutan kerana mudah lerai dan pecah. Waktu memanjat juga tidak boleh di awal pagi atau lewat petang sebaliknya waktu sesuai antara jam 11.00 hingga 4.00 petang sahaja,” katanya kepada Bernama hari ini (7 Okt).

"Pada usia pok (pak cik) 73 tahun ini, bukanlah upah memanjat yang dikejar sebaliknya kepuasan memanjat dan memetik sendiri duku yang masak ranum dan manis di atas pokok.

Lagipun kesihatan pok masih memuaskan, tidak salah pok meneruskan hobi ini setiap kali musim duku tiba," tambahnya.

Warga emas itu dikatakan pemanjat duku tertua di kawasan itu dan dalam berkongsi rahsianya yang masih cekap memanjat sama seperti orang muda, beliau berkata tubuh badan tidak boleh terlalu besar, malah perlu kekal langsing agar badan lebih seimbang setiap kali memijak dahan pokok duku.

"Alhamdulillah, hampir 60 tahun memanjat pokok duku selama ini, pok tidak pernah terjatuh. Paling penting ialah perlu fokus setiap kali berada di atas pokok dengan niat ikhlas hendak 'mempersembahkan' duku yang manis dan sempurna kepada penggemar buah-buahan ini," katanya.

Upah pemanjat duku bergantung kepada harga semasa namun secara puratanya ialah RM0.50 (S$0.17) untuk setiap satu kilogram.

Tinjauan Bernama di musim duku di sini ketika ini mendapati lebih 40 penduduk kampung sekitar Serada menjual sendiri buah duku di depan rumah mereka dengan harga purata RM10 (S$3.30) untuk empat kilogram. 

- BERNAMA/NA/na

Top