Images
  • Cosmetics LA
    (Gambar: 1 News Day)

Urban Decay, MAC murah? Hati-hati, mungkin ia mengandungi najis

LOS ANGELES: Ramai kaum wanita pasti rambang mata apabila melihat alat solek jenama terkenal, semuanya dijual pada harga yang sangat murah.

Tidak dapat dinafikan, kadang kala memang tergerak hati untuk mencuba produk kosmetik sedemikian yang dijual di pasar malam ataupun laman Internet. Seakan-akan tidak percaya alat solek dijual pada harga yang sangat rendah berbanding harga pasaran.

Kita sebenarnya tahu sebab barangan seperti itu dijual murah - ia palsu.

Meskipun demikian, anda mungkin tetap ingin mencubanya, kerana ia murah. Yang asli pula mahal dan tidak mampu dibeli. Hati-hati, menurut laporan Metro UK, ia hanya berbaloi jika anda tidak keberatan untuk menyapu najis di muka. Jika tidak, sudah saatnya anda hanya membeli alat solek yang asli sahaja.

Jabatan Polis Los Angeles baru-baru ini merampas barang kosmetik tiruan bernilai AS$700,000 (S$900,000) dari Pusat Penjualan Barangan Fesyen Los Angeles. Pasti anda akan berasa loya jika anda mengetahui apa yang terkandung dalam produk-produk kosmetik itu.

Bakteria dan kuman ditemui dalam alat solek yang kononnya dihasilkan daripada jenama-jenama seperti Urban Decay, Kylie Cosmetics dan MAC.

Menurut Metro UK, siasatan mendapati produk-produk kecantikan yang dirampas dihasilkan dalam sekitaran yang kotor seperti di bilik air ataupun garaj. Oleh itu, produk-produk tersebut besar kemungkinan dicemari bahan-bahan kotor.

Pembungkus produk kelihatan serupa dengan jenama asli sehingga kadang kala pelanggan tidak menyedari produk-produk itu hanya barang tiruan. Namun, anda haruslah tahu dengan serta-merta barangan itu hanya tiruan apabila ia dijual pada harga sangat rendah. Malah, sehingga lebih 50 peratus lebih rendah daripada harga sebenar.

Menurut Metro UK lagi, mereka yang menggunakan alat solek tiruan itu mengalami ruam dan bengkak-bengkak di muka mereka.

Tidak mudah untuk mengenal pasti barangan kosmetik tiruan, tetapi anda perlu sedar bahawa tidak mungkin barangan asli dijual pada harga yang 'tidak masuk akal'.

Jadi, lebih baik jika anda teruskan memakai jenama kosmetik yang lebih murah atau kumpul duit untuk membeli alat solek yang mahal dan asli.  

- Agensi berita/AQ/aq

Komen Anda?

Top