Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Universiti penuhi hajat mahasiswa adakan konvokesyen dalam wad hospital

Pada hari istimewa di mana beliau seharusnya menggengam ijazah dan menyarung jubah konvokesyen, Amirah Mohd Zahari terlantar di hospital dalam keadaan tidak bermaya. Namun, pihak universitinya melakukan sesuatu bagi menyuntik semangat dalam diri mahasiswa itu supaya dapat beransur pulih.

Anggaran Waktu Membaca:
Universiti penuhi hajat mahasiswa adakan konvokesyen dalam wad hospital

Amirah dalam istiadat konvokesyen di wad hospital bersama ibu dan bapanya. (Gambar: Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi)/Facebook)

Diterbitkan : 14 Dec 2018 10:12AM Dikemas Kini : 14 Dec 2018 10:15PM

KOTA BHARU: Pada hari istimewa di mana beliau seharusnya menggengam ijazah dan menyarung jubah konvokesyen, Amirah Mohd Zahari terlantar di hospital dalam keadaan tidak bermaya. Namun, pihak universitinya melakukan sesuatu bagi menyuntik semangat dalam diri mahasiswa itu supaya dapat beransur pulih.

Jarang juga kita mendengar majlis penyampaian skrol ijazah dilakukan dalam sebuah wad. Namun, itulah yang dilakukan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sebuah hospital.

Amirah, 24 tahun, dirawat di hospital sejak hujung Oktober lalu. Penyakit saraf serta jangkitan kuman di otak menyebabkan badannya sentiasa menggeletar selain menjejaskan penglihatan dan pertuturannya.

Beliau sepatutnya turut serta dalam Istiadat Konvokesyen UMK yang ke-8 pada 15 Okt lalu di UMK Kampus Kota. Namun, Amirah terpaksa membatalkan hasratnya itu apabila keadaan kesihatannya pada ketika itu tidak mengizinkan beliau melangkah sendiri ke atas pentas.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada UMK kerana menunaikan impian saya untuk memakai jubah konvokesyen walaupun terlambat daripada rakan lain,” katanya selepas istiadat di bilik wadnya.

Terdahulu Naib Canselor UMK Dr Husaini Omar menyampaikan ijazah kepada Amirah yang turut disaksikan oleh keluarganya dan kakitangan hospital.

Sementara itu, Dr Husaini berkata majlis berkenaan adalah istiadat konvokesyen mini kali pertama yang diadakan oleh UMK untuk meraikan graduan yang terlantar dalam hospital.

“Ia diadakan bagi menghargai kecemerlangan dan kejayaan yang dicapai oleh Amirah dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.20,” katanya.

Ibu Amirah, Cik Noriah Mamat, 54, berkata anak ketujuh daripada lapan beradik itu pada awalnya mengalami pening dan muntah-muntah ketika minggu terakhir latihan industrinya di Bangi, Selangor pada Jun lepas.

“Apabila dibawa pulang ke sini, Amirah mendapatkan rawatan di sebuah klinik di negeri ini dan doktor hanya mengatakan dia mengalami migrain, sebelum dirujuk ke HUSM Kubang Kerian selepas keadaannya menjadi semakin teruk.

“Ujian pengimejan resonans magnet (MRI) yang dilakukan ke atas Amirah pada Julai lepas mengesahkan terdapat jangkitan kuman pada otaknya,” katanya sambil menambah Amirah adalah satu-satu anaknya yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan