Images
  • blood test
    Gambar fail sampel darah. (Gambar: Desiree Martin/AFP)

Ujian darah boleh dedah 'jam biologi' anda

WASHINGTON: Cuba bayangkan senario ini - jam anda menunjukkan waktu 9.00 pagi tetapi anda merasakan ia seolah-olah pukul 7.00 pagi. Pernahkah anda bertanya mengapa agaknya anda rasa begitu?

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Northwestern baru-baru ini mendedahkan bahawa mereka berjaya menghasilkan ujian darah yang berupaya mengukur jam biologi tubuh dalam tempoh 1.5 jam - satu peningkatan yang mungkin dapat merubah rawatan perubatan khusus bagi pesakit pada masa akan datang.

"Ritma sirkadian" mengawal semua sel di dalam tubuh manusia dan ia merupakan satu bidang penyelidikan yang semakin mendapat perhatian.

Pada tahun lalu, tiga ahli genetik dari Amerika Syarikat menerima Anugerah Nobel bagi Perubatan kerana berjaya mengesan molekul yang memacu proses tersebut.

Jam biologi manusia mengawal "semua proses biologi seperti apabila anda rasa ngantuk atau lapar, apabila sistem imun anda aktif, apabila anda mengalami tekanan darah tinggi atau apabila suhu badan anda berubah," kata ketua penyelidik Rosemary Braun, yang juga adalah Penolong Profesor Biostatistik di Universiti Northwestern.

Hasil kajian mendapati bahawa jika jam biologi seseorang itu tidak dikawal dengan baik, ia boleh dikaitkan dengan penyakit-penyakit seperti Alzheimer, masalah jantung dan kencing manis.

Kajian-kajian lain juga menarik perhatian mengenai kemungkinan segelintir rawatan perubatan seperti kemoterapi dan ubat-ubatan tekanan darah mungkin lebih berkesan jika dilakukan atau diambil pada waktu-waktu tertentu.

Dalam kajian terbaru itu, para penyelidik menguji lebih 1,100 sampel darah daripada 73 responden.

Sampel-sampel darah itu diambil setiap dua jam dan kegiatan gen diuji setiap dua jam bagi mengkaji perubahannya sepanjang hari.

Kajian itu juga membolehkan para saintis untuk mengetahui sama ada jam biologi seseorang itu, misalnya, terjejas sehingga selama dua jam.

Semua data yang dikumpulkan daripada 73 responden itu dianalisis menerusi komputer, di mana ia mendedahkan suatu corak yang menarik.

"Algoritma ini menunjukkan bahawa terdapat sekitar 40 petanda yang boleh meramalkan masa dengan tepat," kata Braun.

Dengan menggunakan algoritma berkenaan, para saintis hanya perlu mengambil darah sebanyak dua kali bagi mendapatkan maklumat yang mencukupi untuk mengenal pasti jam biologi seseorang individu.

Sungguhpun demikian, lebih banyak kajian perlu dijalankan sebelum ujian itu boleh dilakukan secara meluas.

Namun, Braun berkata: "Kajian itu mewujudkan pelbagai peluang dari segi menyiasat bagaimana jam biologi manusia boleh dikaitkan dengan segala perubahan kesihatan," kata beliau.  

- AFP/AI/ai

Top