Images
  • Pills generic
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Philippe Huguen)

Ubat antikemurungan mungkin ada kaitan dengan demensia

PARIS: Satu kajian di Britain mendapati bahawa pengambilan ubat antikemurungan berkemungkinan mempunyai kaitan dengan demensia. Pasukan penyelidik dalam kajian itu bagaimanapun belum dapat menyimpulkan bahawa pengambilan ubat itu adalah punca demensia.

Dalam kajian yang dijalankan ke atas lebih 300,000 orang di Britain, hampir 30 peratus mengambil ubat antikolinergik yang lazimnya diberikan kepada pesakit yang mengalami kemurungan dan masalah pundi kencing, antara empat hingga 20 tahun sebelumnya.

"Kami belum dapat pastikan bahawa ubat-ubatan itu punca demensia," kata George Savva dari Sekolah Sains Kesihatan Universiti East Anglia. Kajian ini turut diterbitkan dalam British Medical Journal (BMJ).

Ubat-ubatan antikolinergik menghalang impuls saraf tertentu untuk mengurangkan kontraksi otot pundi kencing, misalnya, dan meredakan simptom-simptom kemurungan atau penyakit Parkinson.

Antara ubat-ubatan antikolinergik termasuk Amitriptilina, Dosulepin, dan Paroxetine, kata para penyelidik yang membuat perbandingan rekod bagi lebih 40,000 pesakit demensia berusia lebih 65 tahun dengan hampir 300,000 pesakit yang tidak mengalami demensia.

"Lebih 50 juta orang di merata dunia mengalami demensia dan jumlah ini dianggarkan melonjak kepada 132 juta pesakit menjelang 2050," kata Encik Savva dalam satu kenyataan.

"Oleh itu, menghasilkan huraian-huraian bagi mencegah demensia adalah satu keutamaan global."

Namun, pasukan itu menggesa orang ramai supaya jangan berhenti mengambil ubat antikolinergik secara serta-merta selagi belum mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi masing-masing. 

- AFP/AQ/aq

Komen Anda?

Top