Images
  • main ramadan
    (Gambar hiasan: Ibn E Adam/ Facebook)

Tips untuk terus sihat semasa berpuasa

SINGAPURA: Bulan Ramadan akhirnya tiba dan ramai rakyat Muslim sudahpun mula berasa ghairah untuk menyambut bulan penuh berkah ini. Namun, jangan lupa untuk menjaga kesihatan anda.

Menurut SingHealth, seseorang yang berpuasa berisiko tinggi mengalami penyahhidratan iaitu proses penghilangan air daripada tubuh. Ini kerana anda hanya makan dan minum air antara waktu terbenam matahari hinggalah terbit fajar pada keesokan harinya.

Bukan itu sahaja, individu-individu yang berpuasa juga perlu bangun awal untuk bersahur. Hati-hati, jika anda kurang tidur dan mengalami penyahhidratan, anda juga akan sering sakit kepala.

"Anda sebenarnya boleh terus kekal sihat apabila berpuasa jika anda (berdisiplin) dalam menjaga pemakanan anda," kata Cik Tan Sheau Kang, seorang pakar diet di Jabatan Dietetik Hospital Besar Singapura (SGH). Ini bermakna, anda perlu mengawal dan jaga jenis dan jumlah makanan sepanjang anda berpuasa.

Berikut adalah beberapa tips kesihatan sempena bulan Ramadan ini:

1. PASTIKAN ANDA BERSAHUR


(Gambar hiasan: negativespace.co/pexels)

Anda pasti pernah terdengar bahawa 'sarapan pagi adalah waktu makan paling penting'. Ia lebih penting lagi buat mereka yang berpuasa. Kadangkala memang liat hendak bangun pagi, tetapi anda perlu 'paksa' diri anda untuk bersahur.

"Jika seseorang tidak bersahur, tempoh beliau berpuasa lebih lama. Tubuh anda hanya boleh bergantung kepada tenaga dan nutrien daripada makanan yang anda makan terdahulu, sehinggalah pada waktu berbuka. Waktu berpuasa lebih lama akan membuat anda berasa kekeringan dan lesu pada waktu siang," jelas Cik Tan.

"Bukan itu sahaja, seseorang yang tidak bersahur kemungkinan besar makan berlebihan semasa berbuka. Ini akan membuat berat badan anda naik dan amalan ini tidak sihat."

2. JANGAN MAKAN BERLEBIHAN SEMASA BERBUKA


(Gambar hiasan: Rizwan Tabassum/ AFP)

Makanan yang seimbang dan bernutrien seharusnya menjadi pilihan hidangan berbuka anda, menurut laman HealthXchange.sg. Jangan lahap dan makan terlalu banyak seolah-olah berkenduri!

Mereka yang berpuasa juga dinasihati tidak makan makanan yang mengandungi banyak lemak kerana ia akan mengakibatkan anda berasa senak akibat gangguan pada proses pencernaan. Berat badan anda juga akan bertambah.

"Makan dengan perlahan dan nikmati makanan anda," saran Cik Tan.

3. ELAK MAKANAN GORENG, MASIN & TERLALU MANIS. MENGAPA?


Pencuci mulut kurma. (Gambar hiasan: Omar Torres/ AFP)

Lumrah orang berpuasa ingin memberi 'ganjaran' kepada diri mereka sendiri setelah seharian berpuasa dengan memakan makanan yang berminyak, digoreng dan manis pada waktu berbuka.

Memang makanan seperti ini akan membuat anda berasa 'kesedapan' dan puas hati. Namun, menurut HealthXchange.sg, perbuatan ini akan menyulitkan anda untuk berpuasa pada keesokan harinya.

"Selain berat badan anda akan bertambah, makanan seperti ini juga akan membuat anda mudah berasa lembap dan lelah.

"Anda juga perlu mengurangkan pengambilan garam pada waktu sahur kerana ini akan membuat anda lebih mudah berasa haus," nasihat Cik Tan.

Sebaliknya, anda boleh cuba menggabungkan makanan-makanan utama seperti buah-buahan, sayur-sayuran, nasi, daging dan alternatif lain dalam hidangan anda.

Makanan berserat tinggi juga dapat membantu mereka yang berpuasa kerana ia akan mengambil masa lebih lama untuk dicerna berbanding makanan proses. Ini bermakna, anda akan dapat menahan lapar lebih lama.

4. MINUM AIR SEBANYAK MUNGKIN

Meminum air sebanyak mungkin antara waktu iftar dengan sahur mengurangkan risiko anda mengalami penyahhidratan semasa berpuasa.


(Gambar hiasan: Omar Torres/ AFP)

"Usahakan untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas minuman sebelum sahur dan selepas berbuka. Minuman seperti jus, susu, sup dan air adalah pilihan yang terbaik," kata Cik Tan.

Anda juga dinasihati mengurangkan pengambilan minuman yang mengandungi kafeina seperti kopi, teh dan 'Coke'. Minuman seperti ini membawa kesan diuretik (meningkatkan pengeluaran air kencing).

- BERITAMediacorp/aq

Top