Images
  • hall
    Permaidani saiz besar dapat serikan ruang tamu dan memberi kontras. (Gambar: Facelift Design & Interiors)

Tips Hari Raya: Trik hias ruang kecil agar nampak lebih ‘besar’

BERITAMediacorp: Menghias rumah merupakan sesuatu yang digemari ramai lebih-lebih lagi menjelang Syawal ini. Tak kira apa juga jenis rumah yang dimiliki, HDB atau privet, baru atau yang lama, pastinya anda dambakan rumah yang cantik dan kemas apabila menantikan kunjungan tetamu.

Namun menghias rumah adakalanya merupakan satu cabaran lebih-lebih lagi jika kediaman anda mempunyai ruang yang terhad. Maklumlah zaman ini rumah-rumah baru yang dibina semuanya ‘saiz S’ dan comel-comel belaka. Jika salah membuat pemilihan perabot dan warna cat kediaman akan nampak lebih sendat dan ada kalanya berselerak.

Lantas, sebelum membeli perabot, ukur dan pastikan terlebih dahulu saiz di sesebuah ruang itu. Selain keluasan yang ada, ambil kira juga warna perabot yang diingini agar ia tidak bercanggar dengan warna dinding yang ada.


Kabinet warna gelap sesuai digunakan dibahagian bawah dan dipadankan dengan pilihan warna cerah untuk bahagian atas. (Gambar: Facelift Design & Interiors)

Jika tidak bijak mengadunkan pemilihan corak dan warna ia juga akan menjejas konsep yang ingin ditampilkan lalu membuat kediaman anda kelihatan lebih kecil dari yang dijangkakan.

Apa pun, tak perlu stres bila menghias rumah yang comel. Walaupun mempunyai keluasan yang terhad, ia tidak bermakna anda tidak boleh membeli perabot impian atau menghias mengikut cita rasa. Yang penting anda harus tahu cara-cara untuk mengolah susunan perabot selain memilih aksesori yang sesuai.

Agar dapat memudahkan lagi kerja anda apabila menghias rumah, kami telah mendapatkan tip dan saranan dari pengasas Facelift Design & Interiors, Cik Amilia Gani. Seorang yang kreatif, beliau yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang rekaan dalaman berkongsi empat trik dan tip-tip berikut.

1. CAHAYA DAN WARNA

Ia merupakan dua elemen penting jika mempunyai ruang yang kecil. Pilihlah lantai dan dinding yang mudah digilap yang diperbuat dari bahan refleksi agar cahaya dapat dipantul di sekeliling bilik.

Contohnya, seramik atau mozek kecil sesuai dijadikan dinding latar untuk dapur yang kecil dan padankan ia dengan permukaan kabinet warna putih atau off white. Dengan pilihan sedemikian, ia dapat membantu membuat dapur tampil lebih besar.


Dapur tampil lebih luas dengan pilihan dinding berlatarkan mozek dan permukaan kabinet warna cerah. (Gambar: Facelift Design & Interiors) 

Bagi yang gemarkan kabinet dapur bertemakan warna gelap, pastikan warna ini digunakan untuk kabinet di bahagian bawah saja. Sementara bahagian atas dan permukaan kabinet dipadankan dengan rona yang lebih lembut. Ia dapat membantu untuk membuat dapur kelihatan lebih luas.

Jika mempunyai bilik yang comel, pilihlah cat jenis kilat untuk dinding. Dulux contohnya mempunyai koleksi cat ‘Light & Space’ yang dicipta khas untuk ruang kecil memandangkan kini terdapat lebih banyak apartmen baru yang mempunyai bilik tidur yang saiznya sangat minimum.

2. CORAK GARISAN

Tak kira sama ada garisan mendatar atau tegak, kedua-duanya dapat meniru mata dan mewujudkan visual yang berbeza. Contohnya bilik yang sempit dengan ketinggian siling yang rendah akan nampak lebih luas dan tinggi dengan penggunanan pelbagai corak bergarisan.

Antara cara yang mudah, pastikan langsir digantung sehingga mencecah siling dan elak menggantung setakat untuk menutup bahagian tingkap saja. Gunakan fabrik bercorak dan garisan untuk langsir atau bidai. Ia dapat memberi penampilan gaya yang berbeza.

Letakkan alas lantai atau permaidani yang bersaiz besar di ruang tamu. Contohya saiz alas ukuran 2x3meter dapat menutupi bahagian bawah sofa dan meja. Ia akan membuat ruang ini lebih luas dan besar.

3. CERMIN

Pilihan cermin memanjang bukan saja dapat menerangi sesebuah ruang, tapi juga dapat meniru mata dengan mengalihkan refleksinya ke arah sudut yang lain.


Kehadiran cermin dinding dapat membantu meluaskan lagi sesebuah sudut dan koridor. (Gambar: Facelift Design & Interiors)

4. ELEMEN DALAMAN-LUARAN (INDOOR-OUTDOOR)

Wujudkan elemen dalaman dan luaran atau indoor-outdoor antara ruang tamu dan balkoni. Dengan saiz ruang tamu yang kecil dan tidak muat untuk menempatkan meja makan saiz besar untuk 4–6 orang.


Wujudkan konsep indoor-outdoor. Gunakan keluasan di ruang balkoni untuk menempatkan meja makan untuk 4–6 orang. (Gambar: Facelift Design & Interiors)

Jika mempunyai ruang balkoni yang luas, anda boleh meletakkannya di ruang ini. Wujudkan konsep terbuka antara dua ruang ini tanpa perlu menggunakan langsir di ruang tamu.

Sebaliknya, anda boleh memasang bidai yang sesuai untuk kegunaan luar yang dapat digunakan pada hari hujan.  

- BERITAMediacorp/AO/na

Komen Anda?

Top