Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tidak perlu beli banyak mainan untuk anak anda? Ini yang bantu mereka jadi lebih kreatif!

Kanak-kanak yang mempunyai lebih banyak pilihan mainan ,mampu lebih banyak meneroka selain menjadi lebih 'sibuk'.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak perlu beli banyak mainan untuk anak anda? Ini yang bantu mereka jadi lebih kreatif!

Gambar hiasan. (Gambar: John Macdougall/AFP)

Diterbitkan : 21 Dec 2017 03:29PM Dikemas Kini : 31 Dec 2017 11:29PM

AMERIKA SYARIKAT: Kanak-kanak yang mempunyai lebih banyak pilihan mainan ,mampu lebih banyak meneroka selain menjadi lebih 'sibuk'.

Namun, jika anda ingin anak anda menjadi lebih kreatif dan mampu menumpukan perhatian dengan lebih baik, mungkin sudah masanya anda meletakkan batas pada jumlah mainan yang diberikan kepada mereka.

Demikian hasil kajian yang baru diterbitkan dalam 'Infant Behavior and Development'. Kajian itu diadakan untuk mencari tahu bagaimana kanak-kanak memberi respons kepada mainan-mainan mereka.

Menurut hasil kajian itu, kanak-kanak yang mempunyai beberapa mainan sahaja akan meluangkan lebih banyak masa bagi setiap mainan.

Ini dapat memupuk daya imaginasi mereka kerana mereka akan cuba untuk memanfaatkan segala apa yang mereka ada.

Menurut laporan Science Alert, "perbezaan ketara" juga disaksikan dalam kalangan kanak-kanak ini di mana mereka lebih jarang menukar pilihan mainan mereka.

Ini baik buat kanak-kanak kerana ia secara semula jadi melatih mereka untuk memberi perhatian terhadap sesuatu buat lebih lama. Ini tidak dapat dilakukan jika mereka mempunyai terlalu banyak mainan dan menjadi ghairah lalu asyik menukar pilihan mainan mereka.

Hasil dapatan ini sejajar dengan hasil kajian yang sebelum ini diadakan oleh satu pasukan di Universiti Toledo. Kajian itu juga mendapati bahawa kanak-kanak menjadi lebih kreatif jika mereka mempunyai kurang pilihan mainan, lapor Science Alert.

"Ini boleh menjadi garis panduan untuk memberi kanak-kanak kita persekitaran lebih baik yang menyokong pembangunan mereka," menurut para pengkaji berkenaan.

TAPI JIKA SUDAH BELI TERLALU BANYAK MAINAN UNTUK ANAK ANDA?

Seramai 36 kanak-kanak terlibat dalam kajian tersebut. Semuanya berusia antara 18 hingga 30 bulan.

Purata bilangan mainan yang dipilih kanak-kanak adalah 8.6 jika diberikan 16 mainan berbanding sekitar tiga mainan jika diberi empat mainan.

Kanak-kanak yang terlibat dalam kajian itu didapati mempunyai lebih 90 mainan di rumah setiap seorang.

"Apabila ada terlalu banyak mainan, letakkan hanya beberapa mainan buat mereka setiap kali mereka bermain.

Ini dapat mengelak mereka daripada menjadi keliru kerana terdapat terlalu banyak mainan yang mengalih perhatian mereka," tambah para pengkaji kepada Science Alert.  

Sumber : Agensi berita/AQ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan