Images
  • buka makisan 1
    Sajian "Maki Lemak" ditawarkan di Maki-San. (Gambar: Maki-San)

Tidak pasti mahu buka puasa di mana? Ini 10 restoran yang boleh anda cuba!

SINGAPURA: Berbuka puasa selalunya dianggap sebagai 'kegiatan keluarga', dengan pelbagai jamuan iftar dihidangkan dan disantap beramai-ramai.

Untuk menambah juadah pilihan berbuka anda, inilah antara restoran-restoran yang menawarkan menu yang agak unik yang anda mungkin boleh cuba sempena bulan Ramadan ini.

1. MAKI-SAN

Mesti cuba: A-Yum Rendang, S$9.90


(Sushi A-Yum Rendang. Gambar: Maki-San)

Rangkaian sushi halal Maki-San menghasilkan sushi 'fusion' dengan selera Melayu yang sering dihidangkan semasa Hari Raya. Dijual buat dua bulan sahaja, sushi A-Yum Rendang ini diperbuat daripada nasi putih, kacang tanah dan ikan bilis, timun, telur rebus, kepingan kelapa, sambal 'shiok' dan tentu sekali kuah rendang.

Jika satu sahaja tidak mencukupi, "platter pedas" (berharga S$42 semasa bulan Ramadan) mengandungi lima "Maki" (pilih Maki Lemak, A-Yum Rendang atau kedua-duanya sekali!). Khidmat penghantaran ke rumah disediakan.

Laman web: order.rollwithmakisan.com

2. FATPAPAS

Mesti Cuba: Burger Rendang-A-Dang-Dang, S$13


(Burger Rendang-A-Dang-Dang. Gambar: FatPapas)

FatPapas, yang baru sahaja membuka dua cawangan baru di Waterway Point dan satu lagi di Publika, Kuala Lumpur, turut menawarkan menu burger baru sempena bulan Ramadan ini.

Pemilik FatPapa's, Sheikh Haikal dan Bernie Tay menawarkan burger Rendang-A-Dang-Dang. Burger daging ini diselaputi dengan sos rendang, salsa nanas dan telur mata lembu.

Sempena dengan semangat Ramadan ini juga, terdapat pilihan untuk berkongsi (S$55 bagi setiap platter) yang mengandungi burger, stik goreng (steak) kegemaran Haikel, rusuk daging dan kepak ayam - yang kini disediakan dengan sos telur asin.

Laman web: facebook.com/fatpapassg

3. RUMAH RASA

Mesti Cuba: Chick Kut Teh dan Ayam Woku Belanga. Bufet berharga S$20++ bagi kanak-kanak dan S$35 bagi orang dewasa.


(Ayam Wok Belanga. Gambar: Rumah Rasa)

Ini khas buat para penggemar makanan Indonesia! Cef eksekutif Rumah Rasa, Cef Esa, kini menawarkan Ayam Wok Belanga, hidangan ayam yang pedas khas dari Manado; dan Bebek Cabai Ijo, itik yang dimasak dengan sambal cili hijau.

Bagi mereka yang ingin mencuba "Bak Kut Teh" versi halal, restoran di Bay Hotel ini yang mempunyai sijil Halal turut menawarkan Chick Kut Teh yang menggunakan kuah cendawan, bawang putih dan tauhu pok yang dimasak semalaman.

Laman web: bayhotelsingapore.com/dining

4. BLUE JASMINE

Mesti cuba: Bufet makanan Thai, S$58++ setiap orang


(Santapan makanan Thai. Gambar: Blue Jasmine)

Jika anda mengidam makanan Thai, anda boleh cuba restoran halal Thai, iaitu Blue Jasmine, yang menawarkan menu yang berbeza setiap minggu bermula 17 Mei hingga 13 Jun.

Malam Makanan Laut bermula sempena awal Ramadan, yang menawarkan versi mi kari utara Thai iaitu khao soi, dengan makanan laut seperti udang krai, udang dan siakap. Minggu seterusnya pula adalah Malam Kari, yang menawarkan kari ikan tenggiri; diikuti dengan Malam Panggang dengan itik, kambing, daging 'ribeye' dan juga sate ayam Thai.

Minggu terakhir pula adalah Malam Rempah Ratus dan Herba yang menawarkan tom kar gai (ayam masak lemak Thai), kari hijau terung, siakap goreng dengan serai dan kacang tanah.

Jangan ketinggalan pencuci mulut pula, pulut durian!

Laman web: bluejasmine.com.sg

5. LEAN BENTO

Mesti cuba: Burger Satay Ayam dan Laksa Ayam Soba, S$13.50 setiap satu


(Soba Laksa Ayam dan burger satay ayam. Gambar: Lean Bento)

Jika anda ingin berbuka dengan sihat dan mengelakkan memakan santan, Soba Laksa Ayam dan burger satay ayam dari Lean Bento ini boleh menjadi pilihan anda bermula 14 Jun nanti.

Laksa Lean Bento ini diperbuat dari kuah laksa yang bebas gluten dengan ayam madu yang disalai, cendawan dan jagung. Burger pula menggunakan daging ayam sate dengan rumpai laut yang rangup, dan telur mata lembu. Sos miso, salada dan keledek goreng yang tidak menggunakan minyak juga disediakan. Khidmat penghantaran ke rumah disediakan.

Laman web: order.leanbento.com

6. HJH MAIMUNAH

Mesti cuba: Platter barbeku, S$55.


(Nasi Ambeng Platter Barbeku. Gambar: Hjh Maimunah)

Restoran Melayu ini tidak asing lagi di kalangan penduduk Singapura. Bahkan, ia juga pernah disenaraikan dalam senarai berprestij Michelin Guide Bib Gourmand!

Tahun ini, restoran popular ini menghidangkan platter barbeku yang mengandungi kepak ayam, ikan pari, sotong, udang dan tentu sekali siput sedut! Ia boleh dikongsikan bersama empat orang dan disertakan juga salada dan tiga jenis sos.

Laman web: hjmaimunah.com

7. PENANG CULTURE

Mesti cuba: Nasi Ambeng Lobster, S$38.00++


(Nasi Ambeng Lobster. Gambar: Penang Culture)

Nasi Ambeng yang biasanya dimakan menjadi lebih "mewah" di Penang Culture, apabila udang karang (lobster) dibakar dengan keju diserta bersama lauk-lauk ambeng yang lain seperti ayam masak merah, rendang kambing, tempeh dengan kacang boncis, sambal telur, serunding, acar, kari asam dengan keropok. Nasi Ambeng klasik tanpa udang karang juga ditawarkan dengan harga S$29.80. Khidmat penghantaran ke rumah ditawarkan.

Laman web: gdgroup.com.sg/penang-culture

8. HILTON SINGAPORE

Mesti cuba: Bufet iftar 'pop-up' dengan pandangan yang indah, dari S$34++ bagi kanak-kanak dan S$68++ bagi orang dewasa


(Restoran 'pop-up' di Hilton Singapore. Gambar: Hilton Singapore)

Restoran 'pop-up' di tingkat 24, Hilton Hotel yang dijamin halal oleh MUIS itu kembali lagi Ramadan ini dari 16 Mei hingga 14 Jun. Selain hidangan popular tahun lalu seperti kambing golek, ayam masak merah, asam pedas ikan dan udang balado, tahun ini terdapat stesen 'live' Burger Ramly dan aiskrim pelbagai perisa seperti bandung, gula melaka dan teh tarik.

Lokasi: 581 Orchard Roaod. Untuk membuat tempahan, emel sini.f&b@hilton.com atau hubungi talian +65 6737 2233.

9. IKEA

Mesti cuba: Beriani Ayam atau set Ayam Masak Merah, S$5


(Set Beriani Ayam. Gambar: IKEA)

Anda sedang membeli barangan rumah sempena Hari Raya nanti? Jika anda berada di cawangan IKEA di Alexandra, anda boleh berbuka puasa di sana dengan set biryani ayam yang halal.

Kalau anda berada di cawangan Tampines pula, terdapat pelbagai variasi makanan berbeza disediakan setiap minggu: Ayam masak merah (16 hingga 20 Mei), Sate Ayam (21 hingga 27 Mei), Ayam masala (28 Mei hingga 3 Jun) dan Nasi Kunyit (4 hingga 10 Jun).

Laman web: ikea.com.sg

10. BADOQUE CAFE


(Samosa diberikan secara percuma di Badoque. Gambar: Badoque Cafe)

Restoran popular di Simpang Bedok ini terkenal dengan kurma dan bubur lambuk secara percuma bagi para pelanggan semasa bulan Ramadan.

Tahun ini pula, para pelanggan boleh menikmati cemel-cemelan secara percuma sepert samosa, kek keju mini dan buah-buahan secara percuma. Waktu pembukaan Badoque semasa bulan Ramadan adalah dari 6.00 petang hingga 10.00 malam.

Tetapi hidangan iftar hanya diberikan kepada mereka yang awal atau sehingga habis.

Laman web: badoquecafe.com.sg  

- CNA/FA/fa

Top