Images
  • phone
    Remaja yang menggunakan alat digital sehingga dua jam setiap hari didapati kurang bahagia berbanding mereka yang berinteraksi dengan individu lain. (Gambar: Reuters)

Terlalu lama depan skrin: baik atau buruk untuk kesihatan mental?

WASHINGTON: "Benarkah penggunaan telefon bijak boleh menghancurkan sesebuah generasi?" tanya Jean Twenge, seorang profesor psikologi di Universiti San Diego State dalam bukunya yang berjudul, 'iGen'.

Dalam buku itu, Dr Twenge berhujah bahawa mereka yang dilahirkan selepas 1995 berisiko mengalami 'krisis kesihatan mental' dan beliau percaya ini boleh dikaitkan dengan penggunaan alat digital sewaktu mereka membesar.

Hasil tinjauan terbaru itu menawarkan lebih banyak bukti yang menyokong hubungan tersebut, dengan menunjukkan bahawa para remaja yang menggunakan alat digital selama sejam atau dua jam setiap hari, secara purata, didapati kurang bahagia berbanding mereka yang berinteraksi dengan individu lain.

Menurut CNN, hasil tinjauan itu dikeluarkan dua minggu selepas dua pelabur utama menggesa Apple supaya melakukan lebih banyak lagi bagi membasmi ketagihan iPhone dalam kalangan orang muda.

Kesimpulan yang dibuat Dr Twenge sebelum ini pernah dikritik ramai, dengan sesetengah pihak mengatakan bahawa data itu mungkin menceritakan kisah yang agak berbeza.

Beliau akur bahawa kajiannya hanya menunjukkan kaitan antara penggunaan alat digital dengan 'kesejahteraan psikologi', yang diukur melalui soalan-soalan mengenai harga diri, kepuasan pada mutu hidup dan kebahagiaan.

Tinjauan itu bagaimanapun tidak berupaya menunjukkan sama ada penggunaan alat digital secara langsung menjejas kesihatan mental para remaja, lapor CNN.

Namun, Dr Twenge amat prihatin mengenai kemerosotan pada tahap kebahagiaan dan 'kesejahteraan psikologi' yang dikenal pasti dalam tinjauan itu, yang dijalankan dari 2012 hingga 2015.

"Persoalannya bukan mengenai punca kesedihan," kata Dr Twenge. "Kami ingin tahu apakah yang berubah dalam tempoh tiga tahun itu sehingga menyebabkan paras kebahagiaan dan kepuasan terhadap mutu hidup para remaja ini merosot secara tiba-tiba."

INTERAKSI EMPAT MATA

"Saya memiliki kerjaya dalam bidang teknologi tetapi saya belum lagi bersedia menghadapi kesannya terhadap anak-anak saya," kata Melinda Gates, yang mempunyai tiga orang anak yang dilahirkan selepas 1995.

"Telefon bijak dan aplikasi mudah alih bukanlah sesuatu yang baik atau buruk, namun bagi remaja-remaja yang belum bersedia dari segi emosi untuk berdepan dengan cabaran dan liku-liku kehidupan, ia mungkin membuat pembangunan seseorang itu lebih sukar."

Pada masa yang sama, Cik Gates turut menarik perhatian bahawa kanak-kanak menggunakan alat berkenaan sebagai sumber pembelajaran.

Dalam pada itu, Dr Twenge juga mendapati bahawa kebahagiaan mempunyai lebih kaitan dengan sukan, disusuli oleh interaksi dengan seseorang secara empat mata dan acara keagamaan. Permainan komputer online dan media sosial pula mempunyai kaitan negatif.

Yang menarik juga, tinjauan itu mendapati bahawa para remaja yang meluangkan lebih banyak masa untuk berinteraksi secara empat mata dengan rakan-rakan mereka juga meluangkan lebih banyak masa berhubungan dengan mereka secara online.

CNN difahamkan bahawa Dr Twenge berharap dapat meninjau trend itu dengan lebih mendalam bagi kajian seterusnya.

- Agensi berita/AI/ai

Top