Images
  • plane generic 2
    (Gambar: AFP/Saul Loeb)

Tempat duduk tertentu dalam pesawat ‘boleh’ elakkan anda dijangkiti demam selesema

NEW YORK: Apakah kemungkinan anda jatuh sakit semasa berada dalam sebuah pesawat yang sesak dengan para penumpang semasa musim demam selesema? Menurut kajian terkini, kemungkinannya agak kecil.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada individu yang duduk di barisan yang sama dengan anda. Ia juga tergantung kepada sama ada anda menggunakan bilik air pesawat, apa yang anda sentuh dan bagaimana anda membasuh tangan anda.

Demam selesema biasanya menular melalui wap pernafasan kecil di udara apabila seseorang yang sakit itu bersin, batuk atau bercakap. Wap ini tidak merebak terlalu jauh, lazimnya hanya sekitar 1.8m.

Dalam kajian tersebut, satu pasukan penyelidik menaiki lima penerbangan berasingan dari Atlanta ke bandar Pantai Barat, empat daripadanya semasa musim demam selesema. Setiap penerbangan mempunyai 14 penyelidik dalam pesawat untuk memantau pergerakan para penumpang dan anak kapal yang lain.

Segala gerak-geri 1,540 penumpang dan 41 anak kapal dicatatkan. Hanya seorang penumpang dalam satu penerbangan dilaporkan sakit.

HATI-HATI, JANGAN DEKAT 14C

Kajian itu mendapati 38 peratus orang tidak pernah meninggalkan tempat duduk mereka dan 38 peratus hanya bangun sekali. Yang lain, meninggalkan tempat duduk mereka sebanyak sekurang-kurangnya dua kali.

Dengan menggunakan data yang mereka kumpulkan, dan ukur jarak satu meter sebagai jarak untuk virus selesema merebak, pasukan itu menjalankan 1,000 simulasi penerbangan dengan dua situasi berbeza: Seseorang yang mempunyai demam selesema duduk di tempat duduk 14C (tempat duduk di tengah pesawat) dan penerbangan dengan seorang anak kapal yang sakit.

Data menunjukkan 14 orang yang duduk paling dekat dengan penumpang di tempat duduk 14C - mereka yang duduk di barisan yang sama, depan atau belakangnya - berkemungkinan tinggi untuk jatuh sakit.

Umumnya, para penumpang yang duduk dekat dengan lorong di tengah pesawat juga akan mudah jatuh sakit. 

- CNA/AQ/aq

Komen Anda?

Top