Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tambah rezeki anggota bomba buka kedai gunting rambut

Apabila bercakap tentang anggota bomba, pasti terlintas di fikiran mengenai kemahiran serta ketangkasan mereka ketika melakukan operasi menyelamat termasuk memadamkan kebakaran atau menyelamat mangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Tambah rezeki anggota bomba buka kedai gunting rambut

Encik Mohd Saifulizam Mohd Salleh bersama dua pelanggannya. (Gambar: Fire Barbershop/Facebook)

Diterbitkan : 03 Dec 2018 01:20PM Dikemas Kini : 03 Dec 2018 01:29PM

JOHOR BAHRU: Apabila bercakap tentang anggota bomba, pasti terlintas di fikiran mengenai kemahiran serta ketangkasan mereka ketika melakukan operasi menyelamat termasuk memadamkan kebakaran atau menyelamat mangsa.

Namun bagi Encik Mohd Saifulizam Mohd Salleh, beliau yang sudah 23 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba, juga berbakat dalam bidang menggunting rambut.

Kelebihannya itu digunakan sepenuhnya dengan membuka kedai gunting miliknya pada Mei 2017. Kedai yang terletak di Bandar Baru Uda diberi nama "The Fire Barbershop", sinonim dengan kerjayanya sebagai anggota bomba dan penyelamat.

Encik Mohd Saifulizam, 45 tahun, pada mulanya menganggap bakat menggunting rambut sebagai usaha untuk menambah pendapatan keluarga.

"Saya dapat idea ini pada 1996 lalu saya belajar menggunting rambut di samping meneruskan pekerjaan saya sebagai angggota bomba.

“Pada ketika itu, gaji asas saya cuma RM382 (S$125), jadi saya perlu berusaha untuk menambah pendapatan. Apabila saya gabung kedua-dua pendapatan saya, saya lihat boleh menjana pendapatan lebih tinggi," katanya sambil menambah beliau memutuskan untuk membuka kedai gunting rambut pada 2016 apabila melihat potensinya untuk berkembang.

Beliau yang berasal dari Muar, Johor mula berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru pada 15 Mac 1995 dan kini berpangkat Pegawai Bomba Kanan II.

KONSEP "KEKELUARGAAN"

Bermula dengan hanya separuh kedai dan mampu menerima tiga pelanggan sahaja pada satu masa, Encik Mohd Saifulizam kini berjaya membesarkan kedainya serta menggajikan empat pekerja untuk menerima lebih ramai pelanggan.

Selain itu, kedainya itu mengetengahkan konsep kekeluargaan yang dilengkapi sudut santai untuk pelanggannya malah mempunyai ruangan khas untuk wanita iaitu "Hijab Salon".

"Kita ketengah konsep ini sebab bagi kita, keselesaan itu penting. Kita ada ruang menunggu yang luas, sudut santai dan kemudahan jalur lebar (WIFI) untuk pelanggan.

"Kita mahu pelanggan selesa terutama kanak-kanak kerana mereka ini takut kalau gunting rambut. Jadi ruangan yang luas ni kita manfaatkan. Biar mereka bermain dan tenang sebelum gunting rambut," tambah Encik Mohd Saifulizam.

Selain itu, The Fire Barbershop yang buka setiap hari bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam turut menawarkan perkhidmatan "kunjungan ke rumah" untuk pelanggan yang mahu bergunting rambut di rumah masing-masing.

"Kadang-kadang ada pelanggan mahu kita ke rumah terutama yang tidak sihat untuk ke kedai. Jadi kita boleh pergi ke rumah mereka. Kos pula bergantung kepada jarak perjalanan dan caj perkhidmatan yang digunakan," katanya.

ISTERI, ANAK MINAT YANG SAMA

Encik Mohd Saifulizam membuka perniagaan tersebut bersama isteri Norasykin Nordin, 43, dan anaknya Arif Rahimi, 18, yang juga berkongsi minat yang sama.

(Gambar-gambar: Fire Barbershop/Facebook)

Cik Norasykin yang menguruskan Hijab Salon berkata beliau mengambil kursus selama dua tahun sebelum mempunyai keyakinan menguruskan pelanggannya sendiri.

"Sebenarnya ini dirancang oleh suami kerana pada awalnya, saya tidak berapa minat. Pada mulanya saya hanya gunting baju tetapi suami saya cadang supaya saya turut membantu perniagaannya jadi suami saya hantar saya untuk mengambil kursus menggunting rambut sehingga saya yakin dengan kemampuan saya," katanya.

Manakala, Arif berkata minatnya timbul apabila melihat cara penggayaan serta potongan rambut pemain bola yang memberi inspirasi untuknya belajar menggunting rambut pada usia 16 tahun.

Arif kini mempunyai pelanggan tetap dalam kalangan pemain bola Johor Darul Takzim (JDT).

"Saya mula-mula cuba mesej mereka melalui platform media sosial dan pelanggan pertama saya adalah Syafiq Ahmad. Sekarang saya mempunyai sembilan pelanggan tetap terdiri daripada para pemain bola JDT dan pengurus pasukan," katanya.

TUGAS BOMBA TETAP DITERUSKAN

Meskipun mempunyai perniagaan sendiri, Encik Mohd Saifulizam berkata pekerjaan sebagai tukang gunting rambut tidak pernah menganggu tugasnya sebagai anggota bomba kerana ahli keluarganya banyak membantu menguruskan kedai semasa bertugas.

Tambahnya, terdapat juga pelanggan yang sanggup menunggu waktu terluang atau ketika beliau bercuti semata-mata mahu mendapatkan perkhidmatan beliau.

Beliau berkata kedai gunting rambutnya itu juga menerima pelajar praktikal yang mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di Kolej Komuniti.

Setakat ini sudah dua orang pelajar kolej berkenaan menjalani latihan amali di kedai guntingnya.

Menurut Encik Mohd Saifulizam lagi, beliau juga mempunyai perancangan mahu menyediakan program seperti pencarian bakat baru dalam bidang tukang gunting kerana pekerjaan itu semakin diterima masyarakat.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan