Images
  • lipas drawing
    (Ilustrasi: Chern Ling)

Takut lipas? Mengapa cuma sebilangan saja yang rasa geli, takut?

SINGAPURA: Susuk tubuhnya kecil saja dan ia mungkin lebih suka bersembunyi dalam gelap. Namun serangga berkaki enam ini tetap digeruni ramai: Lipas.

Ada juga yang tidak gentar sama sekali oleh serangga ini. Bagi sebilangan yang lain, kelibatnya saja ibarat mimpi buruk di siang hari.

Namun apakah punca sebenar rasa 'gerun' ini? Dan dapatkah ia diatasi?

'DIAJAR' OLEH IBU BAPA SEJAK KECIL

Menukil dialog daripada adegan pertengkaran suami isteri dalam filem Bujang Lapok: "Mak bapak kau yang salah!"

Menurut Cik Jolene Hwee, seorang ahli psikologi dan psikoterapi, "Kanak-kanak lahir ke dunia tanpa rasa takut dan sebaliknya curiga terhadap sekelilingnya."

Namun, tambah beliau, pembelajaran seperti "meniru rasa takut ibu bapa mereka menimbulkan fobia".

Ketua Eksekutif Pusat Sains Singapura, Professor Madya Lim Tit Meng pula berkata: "Seorang anak yang melihat orang terpekik apabila melihat lipas atau membunuhnya mungkin akan menimbulkan reaksi sama terhadap serangga itu."

FAKTOR BAKA DAN PENGALAMAN BARU

Berkemungkinan fobia terhadap lipas - atau katsaridaphobia - boleh diwarisi menerusi baka.


Prof Madya Lim menerangkan: "Para saintis mendapati tikus boleh menyebarkan maklumat tentang pengalaman trauma kepada generasi seterusnya. Mungkin ini mengapa sebahagian orang mengalami fobia yang tidak rasional, mungkin ia diwarisi oleh datuk moyang mereka."

Bagi mereka yang mungkin tidak 'gerun' dengan lipas sekarang, rasa takut boleh timbul pada bila-bila masa.

Cik Hwee berkata: "Rasa takut yang baru mungkin timbul akibat situasi yang tidak dijangka dan ketidakupayaan seseorang untuk menangani keadaan itu. Sebagai contoh, terperangkap dalam kereta api atau lif boleh membuat seorang dewasa mula rasa klaustrofobia atau takut pada tempat tertutup."

CUBA ATASI RASA TAKUT

Rasa geli terhadap serangga ini mungkin dianggap biasa. Namun jika ia menjejas kehidupan seharian, Cik Hwee menyarankan supaya mendapatkan bantuan dengan pendedahan secara bertahap-tahap.

"Anda boleh mulakan dengan hanya bercakap tentang lipas. Kemudian beralih kepada melihat gambar serangga itu, dan kemudian melihat lipas yang sudah mati di dalam bekas atau di pameran, dan akhir sekali melihat serangga yang sebenar."

LIPAS MAYA BANTU BERANIKAN DIRI?

Universitat Jaume di Sepanyol menghasilkan satu huraian realiti tambahan (AR) untuk membantu terapi melalui cara pendedahan ini.

Individu perlu menggunakan kaca mata VR Google untuk 'melihat' lipas maya di depan mata yang boleh bergerak seperti lipas hidup.


(Gambar: Universitat Jaume)

Hasil terapi yang diuji ke atas enam wanita sejauh ini memberangsangkan - mereka yang dahulu begitu takut dengan lipas sehingga sanggup menjual rumah, kini berani memegang lipas hidup di dalam tangan selama beberapa saat.

Natijahnya, perasaan takut terhadap lipas adalah suatu kondisi yang boleh diatasi.

Namun yang lebih penting adalah untuk mengelak daripada serangga perosak ini daripada membiak di persekitaran anda.

Untuk tujuan itu, mungkin anda berminat untuk membaca laporan ini pula:

- CNA/TQ/tq

Top