Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tahukah anda siapa yang bersihkan dan senggara Hajar Aswad?

Mencium Hajar Aswad menjadi impian setiap jemaah yang menunaikan ibadah haji dan umrah, disebabkan nilai sejarahnya yang tinggi dan keinginan umat Islam untuk berasa 'dekat' dengan Nabi Muhammad.

Anggaran Waktu Membaca:
Tahukah anda siapa yang bersihkan dan senggara Hajar Aswad?

(Gambar: Manfaat Cara Sihat/YouTube)

Diterbitkan : 14 Aug 2017 08:36PM Dikemas Kini : 14 Aug 2017 08:44PM

ARAB SAUDI: Mencium Hajar Aswad menjadi impian setiap jemaah yang menunaikan ibadah haji dan umrah, disebabkan nilai sejarahnya yang tinggi dan keinginan umat Islam untuk berasa 'dekat' dengan Nabi Muhammad.

Jika anda antara yang beruntung dan pernah mencium Hajar Aswad atau Batu Hitam, anda mungkin teringat-ingat baunya yang semerbak harum.

Namun adakah anda tahu, siapa yang membersih dan menyenggara Hajar Aswad atau batu hitam yang dicium oleh begitu ramai jemaah setiap hari sepanjang tahun?

Selama lebih seratus tahun, keluarga Sheikh Mahmoud Badr, iaitu salah satu sheikh terkemuka di Makkah, memikul tanggungjawab menyenggara dan menjalankan pemeriksaan susulan dari semasa ke semasa ke atas Hajar Aswad, lapor laman Al Arabiya.

"Batu hitam itu bentuknya bujur, sebesar saiz kepala (orang) dan diletakkan bingkai perak pada bahagian luarnya," kata Encik Faisal, seorang tukang emas dan anak kepada Sheikh Mohammad Mahmoud Badr.

Encik Faisal dan anak-anak yang kini mengikut jejak langkahnya menjalankan penyenggaraan ke atas Hajar Aswad memastikan mereka tidak terlepas pandang walau satu pun bahagian batu itu yang perlu dibaiki.

Setiap kerosakan juga dibaiki dengan segera, lapor laman Al Arabiya.

Menurut Encik Faisal, batu Hajar Aswad seperti yang disebut dalam kitab-kitab sejarah terletak pada bahagian tengah.

"Ramai yang menyangka semuanya batu, tetapi tidak. Tujuh Batu Hitam (Hajar Aswad) itu diletakkan pada bahagian tengah dan semua tujuh batu dilekatkan supaya tiada yang boleh mengalihkannya," kata Encik Faisal seperti yang ditukil oleh Alarabiya.

Encik Faisal juga mendedahkan, tempoh penyenggaraan lazimnya bergantung kepada sejauh mana kerosakan berlaku pada batu itu.

"Tempohnya boleh mengambil masa setengah jam atau kurang atau boleh mencecah dua jam," katanya sambil menambah ia dijalankan antara tiga hingga lima kali setahun.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan