Images
  • mediterrranean diet
    Diet Mediterranean boleh menawarkan beberapa manfaat kepada kesihatan. (Gambar: Depositphotos)

Tahukah anda diet Mediterranean bermanfaat bagi golongan 65 tahun ke atas?

ITALI: Ahli saintis sudah lama mengetahui bahawa diet Mediterranean boleh menawarkan beberapa manfaat kepada kesihatan seseorang sekiranya mereka mengamalkan diet ini dengan teliti. Antara manfaatnya - ia boleh meningkatkan kesihatan jantung, tulang dan otak serta jangka hayat seseorang individu.

Kini, terdapat satu lagi kajian yang menggambarkan bahawa sekiranya anda mengamalkan diet Mediterranean dengan rapi, ia boleh membantu memanjangkan jangka hayat anda, meskipun anda berusia 65 tahun dan ke atas.

Diet Mediterranean melibatkan pemakanan yang berteraskan tumbuh-tumbuhan, dengan hanya memakan sedikit ayam dan daging tanpa lemak, serta memakan lebih banyak sayur-sayuran, buah-buahan, kacang, biji-bijian, minyak zaitun dan ikan.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Pemakanan Britain minggu lalu, mengamalkan diet ini dengan teliti berupaya mengurangkan risiko pelbagai punca kematian sebanyak 25 peratus dalam kalangan warga tua yang tinggal di wilayah Molise di Itali.

"Saya percaya ini adalah kali pertama di mana kami mendapati bahawa terdapat hubungan antara diet Mediterranean dengan risiko kematian. Ini bermakna seseorang itu akan dapat meraih lebih banyak manfaat jika beliau mematuhi diet ini dengan lebih teliti," kata Marialaura Bonaccio, penyelidik pertama bagi kajian tersebut. Dr Bonaccio juga merupakan seorang ahli epidemiologi di Institut Perubatan Neuro Mediterranean, sebuah institusi penyelidikan dan hospital di Pozzilli di Itali.

CNN difahamkan bahawa kajian itu bagaimanapun tidak meninjau bagaimana diet tersebut boleh dikaitkan dengan jangka hayat yang lebih panjang, namun "diet Mediterranean kaya dengan makanan anti-radang seperti misalnya, minyak zaitun, makanan yang mengandungi serat dan antioksidan," kata Dr Bonaccio sambil menambah bahawa ia mungkin memainkan peranan dalam meningkatkan jangka hayat seseorang.

"Dapatan utama adalah pematuhan pada diet Mediterranean dapat memberikan perlindungan daripada pelbagai punca kematian dan juga beberapa kesan kardiovaskular dalam kalangan warga tua yang dikaji," kata Dr Bonaccio.

"Kami mendapati bahawa salah satu kumpulan makanan yang paling penting sekali adalah lemak tidak tepu tunggal atau 'monosaturated' - dengan sumber utama adalah minyak zaitun perahan pertama atau 'extra virgin' - berbanding lemak tepu atau 'saturated'. Ini bermakna anda perlu memakan lebih banyak makanan yang mengandungi lemak tidak tepu," tambah beliau.

Bagaimanapun, oleh kerana kajian itu hanya melibatkan golongan dewasa yang berusia 65 tahun dan ke atas, dapatan kajian tersebut tidak boleh dirumuskan bagi para individu daripada kumpulan usia yang berbeza, lapor CNN.

Sungguhpun demikian, kajian terbaru itu mengesahkan hasil kajian-kajian sebelum ini mengenai manfaat kesihatan yang ditawarkan oleh diet Mediterranean terhadap golongan tua, kata Mercedes Sotos-Prieto, seorang Penolong Profesor Sains Makanan dan Pemakanan dari Universiti Ohio, yang tidak terlibat dalam kajian baru itu.

"Diet Mediterranean merangkumi elemen-elemen kesihatan bagi cara pemakanan yang lebih sihat - dan ini termasuk memakan buah-buahan dan sayur-sayuran, kacang, biji-bijian, minyak zaitun, ikan, serta mengurangkan daging merah atau daging yang diproses - serta menikmati hidangan makanan dengan keluarga dan rakan-rakan," kata Dr Sotos-Prieto.

CNN turut menukil beliau sebagai berkata: "Diet Mediterranean adalah cara pemakanan yang boleh dikekalkan bagi tempoh jangka panjang dan ia juga dipercayai memberi manfaat jangka panjang, termasuk meningkatkan jangka hayat seseorang." 

- Agensi berita/AI/ai

Top