Images
  • breastfeeding
    Seorang wanita menyusukan bayinya. (Gambar fail: AP)

Susukan bayi di tempat awam masih lagi dipandang serong?

SINGAPURA: Saudara, apakah menyusukan bayi di tempat-tempat awam masih lagi dipandang serong dan menjadi stigma sosial?

Sempena Minggu Menyusu Sedunia, BERITAmediacorp mengupas isu ini dan melihat sejauh mana usaha di peringkat masyarakat mencukupi.

KEMBALI KE KERJA ANTARA CABARAN IBU YANG MENYUSUKAN

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan golongan ibu memberi susu badan kepada bayinya pada enam bulan pertama.

Antara lain, ia melindungi bayi daripada jangkitan penyakit termasuk kencing manis Jenis 2.

Namun, sebilangan ibu yang kami temui berkata untuk terus menyusukan anak bukanlah mudah.

Mentelah lagi perangkaan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dua tahun lalu menunjukkan 24% golongan ibu berhenti menyusukan anak mereka kerana perlu kembali bekerja, yang sekaligus mengehadkan kadar susu mereka.

Di pihak yang lain pula, ada sebilangan syarikat menyediakan kemudahan bagi para ibu apabila mereka kembali bekerja, seperti bilik khas untuk para ibu untuk mengepam susu badan.

KESEDARAN DI PERINGKAT MASYARAKAT BELUM MENCUKUPI

Bagaimanapun sebilangan ibu yang kami temui berkata usaha sedemikian belum mencukupi melihat kepada bilangan bilik khas yang disediakan di tempat kerja pada hari ini.


(Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

Malah ada di antara mereka yang menyebut cabaran yang lebih besar - iaitu masalah menyusukan bayi di tempat awam yang masih dianggap 'tabu' di mata masyarakat.

Ibu seperti Cik Nurain Syakirah Nordin yang mengalaminya. Beliau menceritakan betapa renungan sebilangan orang awam membuatkannya kurang selesa memberikan susu badan kepada bayinya di tempat awam.

"Saya rasa masyarakat harus beri lebih sokongan dan juga menerima ibu-ibu yang baru hendak menyusukan anak mereka kerana ia menyifatkan satu perjalanan yang sihat, bukan sahaja untuk saya, bukan sahaja untuk ibu-ibu tetapi juga pada bayi juga," kongsinya bersama pihak kami.

Melihat kepada masalah ini, Kumpulan Sokongan Ibu Singapura Yang Menyusu Badan (BMSG), melakarkan pelbagai program bagi para ibu seperti ceramah dan kaunseling di pelbagai wadah.

"Usaha ini pada kami agak penting kerana ia memberi kami kesedaran kepada masyarakat awam tentang pentingnya susu ibu pada semua bayi dan untuk menunjukkan bahawa susu badan merupakan suatu norma bagi seorang manusia," tekan Cik Khatim Hamidon, Naib Presiden BMSG.

Namun, pihaknya juga akur usaha ini belum mencukupi. Oleh kerana itu, BMSG akan terus mempertingkatkan usaha untuk terus mendekati dan mendampingi golongan ibu yang menyusukan bayi.


RAHAYU MAHZAM: MASYARAKAT HARUS LEBIH BERSIKAP TERBUKA

Menyentuh tentang isu tanggapan masyarakat, Anggota Parlimen GRC Jurong, Rahayu Mahzam, berharap pendidikan terhadap kepentingan susu bayi perlu dipertingkatkan di peringkat masyarakat.

"Saya rasa tentu sekali pendidikan dan kesedaran perlu terus dijalankan untuk membantu ibu-ibu merasa selasa, jadi di peringkat masyarakat. Saya harap juga ramai yang mungkin diharapkan dapat sikap lebih terbuka kerana ini adalah sesuatu yang perlu kita sokong, dan kita ada cara untuk memastikan ianya senonoh pakaian yang ditutup jadi saya rasa ia tidak sepatutnya menjadi masalah sekiranya ibu itu mahu menyusu di luar," kata Cik Rahayu.

Beliau juga menggesa anggota masyarakat supaya menyokong dengan "cuba untuk memberikan keselesaan kepada ibu" yang kelihatan memberi susu badan.

"Jangan sampai menenung, jangan buat itu," gesa belau lagi.

Cik Rahayu percaya masyarakat boleh perlahan-lahan membantu.

Beliau yang juga berada dalam pasukan bertindak bagi menangani keprihatinan terhadap kenaikan harga susu formula turut berharap lebih ramai majikan menyediakan bilik khas atau kemudahan sesuai untuk menyimpan susu badan.  

- BERITAMediacorp/aq

Top