Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sukar kawal nafsu makan pada waktu malam? Hormon anda mungkin puncanya

Mereka yang sedang berdiet pasti bersetuju dengan satu perkara: Amat sukar untuk mengawal nafsu makan dan mengamalkan diet yang konsisten.

Anggaran Waktu Membaca:
Sukar kawal nafsu makan pada waktu malam? Hormon anda mungkin puncanya

(Gambar: Andrea Morales B) The New York Times/Channel Newsasia)

Diterbitkan : 08 Feb 2018 12:49PM Dikemas Kini : 24 Feb 2018 12:24AM

NEW YORK: Mereka yang sedang berdiet pasti bersetuju dengan satu perkara: Amat sukar untuk mengawal nafsu makan dan mengamalkan diet yang konsisten.

Meskipun mereka yang 'tewas' akan menyalahkan azam yang tidak kuat, satu kajian baru menyarankan bahawa masalah itu mungkin disebabkan isu hormon rumit yang mempengaruhi rasa lapar atau kenyang, lapor laman New York Times.

Kajian yang dijalankan ke atas 32 orang lelaki dan wanita yang mengalami masalah kegemukan - yang juga mempunyai tabiat gagal mengawal nafsu makan - menyarankan bahawa hormon yang menimbulkan rasa kenyang mungkin lebih rendah pada waktu petang, manakala hormon yang mewujudkan rasa lapar lebih tinggi pada sebelah malam. Malah ia mungkin melonjak lebih tinggi jika seseorang berasa tertekan.

Mereka yang sukar mengawal nafsu makan serta mengalami masalah kegemukan khususnya mungkin lebih cenderung untuk terjejas oleh naik turun hormon yang mengawal selera makan itu, menurut dapatan para pengkaji.

"(Memang) terdapat banyak peluang untuk makan pada waktu malam namun kajian ini menunjukkan respons-respons hormon tersebut yang membuatkan para peserta melakukannya (makan pada waktu malam)," kata Susan Carnell, seorang penolong profesor sains psikiatrik dan kelakuan di Sekolah Perubatan Universiti Johns Hopkins. Beliau juga merupakan penulis pertama kajian tersebut bersama Cik Charlotter Grillot dari Universiti Florida.

Sungguhpun demikian, tidak jelas sama ada corak hormon tersebut mendahului dan menjadi punca perbuatan sukar mengawal nafsu makan atau sebenarnya sudah terlazim oleh tabiat makan seseorang individu, menurut Cik Carnell. Namun tidak kira yang mana satu, seseorang individu "tetap boleh terperangkap dalam putaran tersebut".

Kajian itu adalah peringatan penting bahawa terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kenaikan berat badan dan perbuatan memalukan atau menyalahkan seseorang disebabkan berat badan mereka adalah tidak wajar, kata Kelly Costelo Allison, Pengarah Pusat Berat Badan dan Gangguan Makan di Universiti Pennsylvania, yang tidak terlibat dalam kajian baru itu.

"Terdapat banyak tanggapan berat sebelah dan sikap menghakimi terhadap orang yang mengalami masalah berat badan berlebihan, bahawa ia adalah kesilapan sendiri atau mereka bersikap malas atau memang tidak kuat azamnya," menurut Cik Allison.

"Kesimpulannya adalah, manusia dijadikan berbeza-beza dan sebahagiannya bergantung kepada faktor biologi."

Dapatan baru itu diterbitkan dalam Jurnal Kegemukan Antarabangsa pada bulan Disember, lapor laman New York Times.

Ia adalah susulan daripada kajian awal, termasuk yang dijalankan pada tahun 2013 oleh Universiti Harvard mengenai individu dengan berat badan biasa yang mendapati putaran tubuh (body clock) seseorang memainkan peranan mengawal selera makan. Rasa lapar pula akan sampai ke puncaknya pada sebelah malam dan selera makan, hairannya, lebih rendah pada sebelah pagi walaupun seseorang langsung tidak makan pada malam hari.

Kajian itu membantu menjelaskan mengapa ramai orang tidak bersarapan, walaupun terdapat bukti bahawa bersarapan pagi adalah cara optimal untuk mengawal berat badan dan mempunyai metabolisme yang baik, lapor New York Times.

Sumber : Agensi berita/NK/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan