Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sudah cuba? ‘Hcook’ tawarkan 300 cef dan 1,200 pilihan makanan ‘masakan rumah’ untuk anda

Terkenangkan jasa ibu mereka yang berniaga dari rumah demi menampung perbelanjaan keluarga dan membiayai yuran sekolah, mendorong dua rakan karib ini untuk membantu golongan suri rumah yang mengalami nasib serupa.

Anggaran Waktu Membaca:
Sudah cuba? ‘Hcook’ tawarkan 300 cef dan 1,200 pilihan makanan ‘masakan rumah’ untuk anda

Aplikasi Hcook menggabungkan golongan yang berniaga makanan dari rumah dengan golongan penggemar makanan. (Gambar: Hcook/ Facebook)

BERITAMediacorp: Terkenangkan jasa ibu mereka yang berniaga dari rumah demi menampung perbelanjaan keluarga dan membiayai yuran sekolah, mendorong dua rakan karib ini untuk membantu golongan suri rumah yang mengalami nasib serupa.

Malah, Encik Renton Yap dan Encik Loh Kia Meng memanfaatkan teknologi untuk menggabungkan golongan yang berniaga makanan dari rumah dengan golongan penggemar makanan, menjadi satu masyarakat online. Maka terlahirlah wadah dan aplikasi alat bijak bernama Hcook (disebut sebagai Hook).

Kini Encik Yap dan Encik Loh, pengasas dan pemilik bersama app Hcook, bukan sahaja membantu golongan suri rumah untuk meraih pendapatan tambahan. Malah mereka juga menggalakkan peniaga kecil-kecilan untuk meluaskan rangkaian dan berkongsi masakan rumah yang pelbagai.

Tidak terhad pada itu, dua sahabat ini juga mendorong ‘cef-cef rumah’ Hcook untuk memberi kembali kepada masyarakat dengan menderma sebahagian daripada pendapatan mereka kepada badan yang memerlukan.

PLATFORM E-NIAGA BAGI CEF RUMAH DAN PENGGIAT MAKANAN

Pasukan Hcook memberitahu BERITAMediacorp bahawa ketiadaan platform yang didedikasikan khas untuk cef-cef rumah mendorong mereka untuk memulakan inisiatif ini selain memberi akses kepada penggemar makanan untuk menikmati masakan rumah yang enak.

Encik Yap berkata: “Saya seorang cef rumah dan saya membakar kuih dari rumah. Saya pernah cuba menjual hidangan saya secara online tetapi saya sendiri mengalami pelbagai masalah, termasuk mendapatkan pelanggan, penghantaran, pertanyaan tentang soal kebersihan dan undang-undang pemerintah."

Pengasas-pengasas Hcook, dari kiri, Encik Loh Kia Meng dan Encik Renton Yap. (Gambar: K.M. Loh)

(Dari kiri) Encik Loh Kia Meng dan Encik Renton Yap, pengasas bersama aplikasi Hcook. (Gambar: K.M. Loh)

Bagi Encik Loh pula, yang bekerja sebagai peguam litigasi sepenuh masa, beliau seorang penggemar makanan yang sering mengadakan parti di rumah untuk rakan-rakan. Namun, beliau turut menghadapi kesukaran untuk mencari masakan rumah yang lazat untuk dikongsi bersama mereka.

“Lantaran itu, idea Hcook tercetus untuk menghubungkan cef-cef rumah dengan penggiat makanan melalui penggunaan teknologi, yang menggalakkan perkongsian makanan selain membolehkan kita membeli makanan dari jiran tetangga,” sambung mereka lagi.

CEF-CEF MELAYU DI RUMAH REBUT PELUANG LUASKAN PELANGGAN

Malah, para peniaga Melayu kecil-kecilan yang memanfaatkan aplikasi ini juga sudahpun meraih tempahan tambahan dan berpeluang untuk memajukan usaha niaga mereka.

Cik Mariana Abdul Gani misalnya, pengusaha The Little Black Oven dan salah seorang cef Hcook, merupakan antara yang pertama menyertai masyarakat online itu sejak ia dilancarkan lima bulan lalu.

Macaron dari The Little Black Oven. (Gambar: Hcook/ Facebook)

Pilihan macaron dari The Little Black Oven. (Gambar: Hcook/Facebook)

“Walaupun terdapat ramai peniaga dalam aplikasi Hcook, tidak wujud persaingan antara kami. Kami bukanlah pakar bagi semua jenis makanan. Oleh itu, kami saling mengesyorkan peniaga lain yang menjual makanan yang enak.

"Kami banyak membantu antara satu sama lain, seperti semangat kampung,” jelas Cik Mariana yang mempunyai pekerjaan tetap sebagai setiausaha undang-undang, tetapi menjual macaron secara sambilan.

Menurut seorang lagi cef Hcook, Cik Yati Bakri pula, apps Hcook mudah untuk digunakan. Berusia dalam lingkungan 50-an tahun, beliau berniaga kuih-muih Melayu secara sambilan dari rumah.

“Dengan adanya platform ini, perniagaan saya juga bergerak lebih pantas kerana pelanggan juga boleh memantau makanan dalam satu aplikasi,” kongsi Cik Yati memberikan penilaiannya tentang Hcook.

Kuih Kaswi oleh Cik Yati Bakri. (Gambar: Hcook/ Facebook)

Kuih Kaswi dari air tangan Cik Yati Bakri. (Gambar: Hcook/Facebook)

“Dan, walaupun saya menjual kuih-muih Melayu seperti Kuih Lopes, Kuih Abuk-abuk dan Kuih Kaswi, ada juga pelanggan bukan Melayu yang membeli, tak kira bangsa,” tambahnya lagi.

TIDAK LANGGAR PERATURAN HDB DAN NEA

Meskipun berhasrat membantu golongan suri rumah serta peniaga yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, pasukan Hcook, jelas tidak mengabaikan aspek kebersihan dan pendidikan terutamanya bagi cef-cef rumah mereka.

Malah, mereka turut bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah seperti Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA) demi mematuhi garis panduan pemerintah.

“Kami menggunakan pendekatan berperingkat. Peringkat pertama adalah untuk membuat cef-cef rumah Hcook serasi dengan cara kami untuk melakukan semakan kebersihan dapur. Kebanyakan platform tidak mempratikkan langkah ini dan mereka mungkin tidak selesa dengan peraturan ketat tersebut.

Encik Renton Yap (paling kanan) membuat kunjungan ke rumah Cik Yati Bakri. (Gambar: Yati Bakri/ Facebook)

Encik Renton Yap (paling kanan) membuat kunjungan ke rumah cef Hcook, Cik Yati. (Gambar: Yati Bakri/ Facebook)

“Namun, kami gembira mereka kini sedar tentang kepentingan mencapai piawaian kebersihan asas makanan demi kebaikan pelanggan,” dedah mereka.

“Selain mendidik mereka tentang segala aspek e-niaga, kami juga menganjurkan kelas memasak atau membakar kuih yang dikendalikan cef-cef Hcook yang berpengalaman serta memberikan maklumat dan nasihat tentang kursus WSQ bagi mereka meningkatkan kemahiran,” tambah mereka.

SUMBANGAN KEBAJIKAN DARI HCOOK UNTUK KANAK-KANAK MEMERLUKAN

Dilancarkan Julai tahun ini, Hcook kini juga mempunyai lebih 300 cef yang menawarkan lebih 1,200 pilihan makanan. Bukan sahaja menggalak pembangunan masyarakat online antara cef-cef rumah dan penggiat makanan, Hcook juga mempunyai niat murni yang diterapkan dalam usaha niaga ini.

Malah, dari 11 hingga 24 Disember ini, cef-cef Hcook turut menderma 20 peratus daripada hasil yang dijana menerusi aplikasi Hcook kepada Persatuan Kanak-kanak Singapura (SCS).

Petikan skrin bagi aplikasi Hcook. (Gambar: Hcook/ Facebook)

Petikan skrin bagi aplikasi Hcook di telefon bijak. (Gambar: Hcook/ Facebook)

Encik Loh memberitahu BERITAMediacorp: “Saya menghargai makna di sebalik memberi kembali kepada masyarakat. Saya sudah berjinak-jinak dengan kerja kemasyarakatan sejak zaman sekolah lagi."

"Dan kini, dalam pekerjaan guaman saya, saya turut menyumbang dengan melakukan kes “pro bono” (percuma) dan sebagai seorang guru sukarelawan bagi bakal peguam bagi modul–modul Peperiksaan Bar mereka,” katanya lagi.

Tambah Encik Yap: “Melalui Hcook, saya mula melihat keperluan untuk membantu golongan suri rumah dari pelbagai demografik. Sebenarnya terdapat banyak suri rumah yang boleh memasak dan perlu diberikan kuasa. Tujuan yang ingin kami sampaikan adalah untuk memenuhi keperluan mereka.”

Aplikasi Hcook boleh dimuatturunkan melalui telefon bijak atau layari www.hcook.sg jika anda berminat menjadi ‘cef rumah’ untuk Hcook.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan