Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Spotify lebarkan sayap artis Palestin ke persada dunia

Para pemuzik Palestin sudah mula meraih manfaat menerusi Spotify, yang baru melancarkan khidmat penstriman muzik di Timur Tengah dan Afrika Utara minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Spotify lebarkan sayap artis Palestin ke persada dunia

Aplikasi telefon bijak Spotify (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 24 Nov 2018 10:21PM Dikemas Kini : 24 Nov 2018 10:28PM

TEBING BARAT: Para pemuzik Palestin sudah mula meraih manfaat menerusi Spotify, yang baru melancarkan khidmat penstriman muzik di Timur Tengah dan Afrika Utara minggu lalu.

"Hab Arab menyediakan wadah unik yang merangkumi spektrum luas budaya dan daya kreativiti Arab, dahulu dan sekarang," kata Suhel Nafar, seorang pemuzik dari bandar Lod, Israel yang merupakan penyunting kanan muzik dan budaya Arab bagi khidmat Spotify.

Spotify adalah syarikat penstriman utama pertama yang melancarkan program khusus untuk wilayah Palestin yang ditakluki, membolehkan artis tempatan untuk menjangkau pendengar global baru meskipun berdepan cabaran tempatan.

"Sebagai artis Palestin, kami menghadapi banyak sekatan. Ada yang tidak boleh melakukan perjalanan ke negara lain, " kata Bashar Murad, penyanyi Palestin yang tinggal di Baitulmakdis Timur, yang bersama Tebing Barat ditakluki Israel dalam peperangan pada 1967.

Beliau berkata Spotify membantunya menyebarkan muziknya.

Seorang pemuzik Palestin, Bashar Murad, yang manfaatkan khidmat Spotify (Gambar: Reuters)

"Selepas pelancaran, pengikut bulanan saya (di Spotify) meningkat daripada 30 kepada sekitar 6,500," tambah Murad.

BOLEH DIDENGAR DI MANA SAHAJA

Meskipun begitu, kekurangan perkhidmatan selular pantas di Tebing Barat dan Carikan Gaza membataskan penggunaan aplikasi itu semasa bergerak.

"Saya perlu berada di rumah atau di kafe atau tempat di mana terdapat sambungan internet yang baik untuk memuat naik lagu saya ke Spotify," kata Mohammed Al-Susi, artis rap dari Gaza yang mendaftar untuk Spotify minggu lalu.

Palestin adalah satu-satunya pasaran Arab yang termasuk dalam pelancaran serantau Spotify yang kekurangan prasarana jalur lebar 4G, meskipun sesetengah pengguna menggunakan rangkaian yang lebih cepat di negara jiran Israel. Tebing Barat melancarkan khidmat 3G pada akhir 2017, namun Gaza hanya mempunyai khidmat 2G.

Apabila Gaza dilengkapi sambungan 3G, "ia akan menjadi sesuatu yang hebat. Lebih baik daripada memuatnaik lagu saya di Facebook dan perlu melihat komen orang ramai. Ini semata-mata wadah untuk muzik," tambah Susi.

Sebelum ini Spotify boleh digunakan di Tebing Barat dan Gaza secara tidak rasmi selama beberapa tahun melalui akaun yang berdaftar di Israel atau pasaran lain dan diakses melalui rangkaian peribadi maya, atau VPN. Spotify dilancarkan di Israel pada Mac.

Sungguhpun demikian, penyediaan khidmat muzik dan sosial khusus untuk wilayah Palestin adalah "sesuatu yang penting", kata Murad.

"Walaupun terdapat sekatan, kita boleh bersatu di media sosial," katanya.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan