Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Spa ikan syiok? Anda boleh terkena penyakit! Ini sebab-sebabnya...

Inilah masanya anda perlu berhenti seketika dan menimbangkannya semula.

Anggaran Waktu Membaca:
Spa ikan syiok? Anda boleh terkena penyakit! Ini sebab-sebabnya...

(Gambar: Roberto Schmindt / AFP)

Diterbitkan : 18 Apr 2018 12:07AM Dikemas Kini : 18 Apr 2018 12:26AM

SINGAPURA: Anda mungkin tidak kerap mengunjungi spa ikan atau fish spa - namun katakanlah anda bercuti di Bangkok, di mana spa ikan sama popular dengan urutan Thailand.

Anda pula sudah kepenatan seharian membeli-belah dan nikmat juga rasanya kalau kaki dapat dimanjakan. Ada kemungkinan anda akan terdorong untuk mencelup kaki ke dalam tangki-tangki di spa ikan hanya untuk melihat apa agaknya yang seronok tentang rawatan seperti itu.

Inilah masanya anda perlu berhenti seketika dan menimbangkannya semula: Ada atau tidak luka pada mana-mana bahagian kaki anda? Ini kerana luka seperti itu mengundang mikro-organisme untuk menyusup masuk ke dalam tubuh anda.

“Jika ikan-ikan di spa tersebut membawa bakteria dan terdapat luka pada kaki pelanggan, maka ada risiko apabila ikan menggigit kulit pelanggan. Bakteria boleh menular,” kata Dr Nisha Suyien Chandran, ketua dan perunding Divisyen Dermatologi di Universiti Nasional Singapura.

“Perkara yang sama boleh berlaku jika ikan juga mengalami luka terbuka pada kulitnya,” tambah Dr Chandran. Malah, kulit licin dan lembut yang diidamkan boleh bertukar menjadi jangkitan bakteria dan kuman.

“Jangkitan kulit yang mungkin berlaku termasuk staphylococcus dan mikrosporosis,” kata Dr Eileen Tan dari Klinik Kulit, Laser dan Pemindahan Rambut Eileen Tan.

APAKAH RISIKO KESIHATANNYA?

Menerusi satu laporan yang diterbitkan di laman Daily Mail pada tahun 2011, pakar-pakar Britain memberi amaran bahawa risiko jangkitan hepatitis atau juga HIV “rendah tetapi tidak boleh dikecualikan”.

Sekalipun begitu, risikonya masih amat rendah.

“Jika seseorang yang dijangkiti dengan penyakit seperti HIV dan terdapat luka terbuka pada kakinya, terdapat risiko kecil bahawa darah yang sudah berjangkit itu mungkin mencemari air dan kemudian menjangkiti pelanggan lain, jika terdapat luka pada kaki mereka juga. Risiko ini bagaimanapun masih amat rendah,” jelas Dr Chandran.

Pakar-pakar yang diwawancara Mediacorp, termasuk Kementerian Kesihatan (MOH), sejauh ini belum pernah merawat sebarang kes jangkitan atau penyakit yang disebabkan oleh spa ikan.

Di Singapura, para pengendali spa ikan tidak lagi memerlukan lesen di bawah Akta Rumah Urut yang baru, yang disemak semula pada bulan November tahun lalu.

BILA PATUT ELAK IKAN

Spa ikan sudahpun diharamkan di beberapa daerah di Amerika Syarikat termasuk Florida, Texas, New Hampshire dan Washington.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat memutuskan bahawa tangki spa ikan tidak mampu dibersihkan dengan betul sebelum digunakan oleh pelanggan lain. Begitu juga ikan-ikannya, tidak dapat dibersihkan dari satu pelanggan ke pelanggan yang lain.

Jika niat anda adalah untuk menghapuskan kulit mati, lebih baik anda menggunakan batu pumis (pumice stone) sahaja. Lebih-lebih lagi jika anda mengalami penyakit kencing manis serta sistem imun yang lemah atau jika anda mengalami masalah radang kulit seperti ekzema dan psoriasis, nasihat MOH. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan