Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sistem kren pangkalan automatik diuji di Terminal Pasir Panjang

Kren pangkalan automatik sedang diuji di Terminal Pasir Panjang demi meningkatkan keberkesanan operasi dan memperbaiki sekitaran bekerja para kakitangan, menurut pengendali pelabuhan Singapura, PSA, pada Isnin (23 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Jul 2018 06:05PM Dikemas Kini : 23 Jul 2018 11:39PM

SINGAPURA: Kren pangkalan automatik sedang diuji di Terminal Pasir Panjang demi meningkatkan keberkesanan operasi dan memperbaiki sekitaran bekerja para kakitangan, menurut pengendali pelabuhan Singapura, PSA, pada Isnin (23 Jul).

Sistem kren pangkalan automatik (AQC) memindahkan kontena-kontena dari kapal yang berlabuh di Terminal Pasir Panjang ke penggerak utama. Kren-kren ini tidak memerlukan pemandu dan dipantau dari pusat kawalan jauh.

Dalam lawatannya ke terminal itu pada Isnin (23 Jul) Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan diberi taklimat oleh para kakitangan PSA tentang bagaimana AQC dapat membantu dalam operasi.

Menurut PSA, kini terdapat tiga AQC yang sedang diuji. Kren-kren tersebut dibeli daripada syarikat penghasil peralatan China, ZPMC.

PSA menyasarkan AQC beroperasi sepenuhnya apabila pelabuhan mega Tuas siap pada 2040.

Di Tuas, operasi AQC akan dilengkapi dengan kenderaan berpandu automatik (AGV) yang memudahkan pemindahan barangan di pelabuhan.

Kontena-kontena yang diangkut AQC daripada kapal akan dipindahkan ke AGV untuk membolehkan barangan dipindahkan dengan lebih cekap tanpa memerlukan pengendali atau jurutera berada di tapak tersebut secara fizikal.

Terminal Pasir Panjang sedang menguji 30 AGV. Lapan daripadanya jenis hibrid manakala 22 dipacu kuasa bateri. Kenderaan-kenderaan itu kini digunakan untuk memindahkan kontena daripada kren separuh automatik.

Pengarah urusan PSA Singapore Eddy Ng berkata satu cabaran utama yang dihadapi syarikat itu adalah mempersiapkan kakitangan untuk mengendali AQC. PSA kini mempunyai 200 operator yang boleh mengendalikan AQC. Syarikat berkenaan merancang untuk melatih kesemua 500 hingga 600 operator untuk mengendalikannya.

Kren mekanikal yang digunakan sekarang memerlukan para pengendali bekerja dari ketinggian 17 tingkat di atas kren manakala operator AQC pula bertugas di pejabat berhawa dingin.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan