Images
  • drone af file shot
    Gambar fail drone (Gambar: AFP)

Singtel dan Ericsson uji rangkaian rintis 5G untuk dron, kenderaan tanpa pemandu

SINGAPURA: Percubaan dron dan kenderaan tanpa pemandu menggunakan rangkaian rintis 5G akan dijalankan menjelang hujung tahun ini, menurut syarikat telko tempatan Singtel dan rakan kongsi rangkaiannya Ericsson.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin (23 Jul), rangkaian 5G Singapura pertama di kawasan one-north akan dilancarkan menjelang suku terakhir tahun ini. Percubaan akan diadakan di one-north dan beberapa kawasan yang dikhususkan.

Rangkaian rintis 5G menggunakan gelombang isyarat yang diperuntukkan oleh Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA). Menurut kedua-dua pihak, ini membolehkan data mencecah terabait dipindahkan dalam beberapa minit dan video 4K dimuat turun dalam beberapa saat.

Keupayaan sebegini bakal merubah sektor-sektor seperti pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pengilangan, menurut Singtel dan Ericsson.

Pengumuman tersebut dibuat semasa satu acara demonstrasi keupayaan rangkaian tersebut oleh Singtel dan Ericsson pada Isnin, seperti gambaran anatomi manusia menerusi augmentasi realiti (AR) dan penstriman dalam waktu sebenar secara jarak jauh menggunakan rangkaian 5G. Ini, menurut mereka menunjukkan keupayaan AR tiga dimensi dalam pelbagai industri seperti perubatan dan pendidikan.

Menurut timbalan ketua eksekutif yang juga ketua pengarah (Telecoms & Post) IMDA Aileen Chia: "IMDA akan terus bekerjasama rapat dengan penyedia khidmat seperti Singtel dalam usaha mereka membangunkan keupayaan perhubungan masa depan dan melengkapi usaha Singapura menuju ke sebuah ekonomi digital yang bertenaga."

Singtel bukan satu-satunya syarikat yang berusaha mengatasi pesaing dalam memanfaatkan rangkaian mudah alih generasi akan datang, yang dipercayai akan membawa perubahan besar pada kehidupan seharian.

Syarikat pesaing M1 bersama rakan kongsi Nokia mengumumkan bulan lalu mereka akan menjalankan ujian sel kecil 5G pertama di Asia Tenggara dalam industri-industri tertentu.

- CNA/TQ/tq

Top