Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sheikh Haikel & Anna Belle kini tauke Fatpapas, versi halal restoran popular FatBoy’s

Sekarang anda berpeluang menikmati tanpa was-was, makanan-makanan enak yang diinspirasikan dari sebuah restoran popular yang bukan halal.

Anggaran Waktu Membaca:
Sheikh Haikel & Anna Belle kini tauke Fatpapas, versi halal restoran popular FatBoy’s

Restoran Fatpapas yang baru dibuka di 17 Bali Lane. (Gambar-gambar: Fatpapas)

BERITAMediacorp: Kadang-kala apabila mendengar rakan-rakan bukan Muslim bercerita tentang makanan di restoran-restoran tertentu, terdetik dalam hati “Alangkah indahnya jika ia halal”. Sekarang anda berpeluang menikmati tanpa was-was, makanan-makanan enak yang diinspirasikan dari sebuah restoran popular yang bukan halal.

Jika anda pernah mendengar tentang restoran FatBoy’s, anda tentu juga pernah mengetahui betapa hidangan-hidangan yang dijual di sana menjadi bualan orang. Oleh itu, penyanyi rap, hos dan pelakon yang pernah mewarnai dunia perfileman menerusi filem ‘Army Daze’, iaitu Sheikh Haikel, bertekad memastikan FatBoy’s mempunyai cawangan halal – iaitu Fatpapas Burgers and Shakes.

Berkongsi tentang bagaimana tercetusnya idea mewujudkan FatPapas, Sheikh Haikel yang juga pemiliknya memberitahu BERITAMediacorp, beliau jatuh cinta dengan burger yang dijual di FatBoy’s lantas membulatkan tekad memujuk pemilik FatBoy’s, Bernie Tay, supaya menjadikannya halal.

Ya, anda tidak salah dengar. Sheikh Haikel kini seorang tauke restoran burger! Restoran tersebut baru dibuka seminggu lalu. Hari ini (17 Feb), ia akan dilancarkan secara rasmi.

(Gambar: Fatpapas)

7 TAHUN PUJUK PEMILIK FATBOY’S!

Sheikh Haikel mendedahkan kepada BERITAMediacorp, bahawa beliau mengambil masa tujuh tahun untuk memujuk Bernie Tay, sebelum tertubuhnya FatPapas yang konsep dan rasa hidangannya dijamin oleh Sheikh Haikel sebagai salin tak tumpah seperti FatBoy’s.

“Semuanya sama. Itu yang saya tekankan kepada Bernie. Yang paling penting, saya mahu saudara Muslim Singapura dan di luar negara dapat mencuba hidangan-hidangan ini. Ia perlu halal tetapi rasanya mesti 100 peratus sama dengan yang ada di FatBoy’s. Saya mahu mereka mencuba burger ini. Ia memang burger yang enak,” kata Sheikh, 41 tahun, yang kini mengenakan jambang penuh dan bermisai di wajahnya.

“Sebelum kami membuka restoran ini, saya sendiri yang merasa hidangan yang kami sediakan bagi memastikan rasanya sama dengan yang ada di FatBoy’s. Selain itu saya berterima kasih kepada rakan-rakan saya yang bukan Muslim, yang pernah mencuba hidangan di FatBoy’s. Mereka datang dan mencuba hidangan kami, dan menurut mereka, rasanya memang sama,” tambah beliau.

(Gambar: Fatpapas)

MENGAPA PILIH NAMA FATPAPAS?

Mengapa pula beliau memilih nama Fatpapas dan tidak menggunakan saja nama yang sama?

“FatBoy’s ada 20 cawangan termasuk di beberapa negara di dunia, namun hanya ada satu sahaja Fatpapas di dunia. Lagipun, saya dan Bernie sudah menjadi bapa, maka saya berasa nama Fatpapas itu sesuai dengan kami.

“Ia juga bagi mengelak kekeliruan, disebabkan FatBoy’s satu entiti yang sudah dikenali dan kami mahu mewujudkan satu jenama baru. Semua orang sukakan sesuatu yang baru, seperti kereta baru, nama baru. Maka saya berasa ia satu idea yang baik dan kami menamakannya Fatpapas,” jelas bapa kepada tiga orang anak itu.

LABUR $150,000 “MAKAN TETAP MAKAN” – SHEIKH HAIKEL

Keadaan ekonomi yang dilaporkan lembab, ternyata tidak menjadi penghalang bagi Sheikh Haikel bersama isterinya Anna Belle Francis - yang kini sudah bertudung sejak sebulan setengah yang lalu - untuk bersama-sama mengasaskan restoran Fatpapas.

(Gambar: Instagram Sheikh Haikel)

(Gambar: Instagram Sheikh Haikel)

Secara berkumpulan, mereka dan Bernie serta rakan-rakan, mengeluarkan modal S$150,000 untuk membuka restoran tersebut yang bertempat di 17 Bali Lane – iaitu di dalam kawasan Arab Street yang sememangnya ada banyak kafe dan restoran halal.

Sewa bagi sesebuah premis di Bali Lane ataupun di kawasan sekitarnya diketahui umum sebagai antara yang agak tinggi, selain jumlah restoran dan kafe ‘hipster’ yang tumbuh bak cendawan lepas hujan di sana.

Bagi Sheikh Haikel “waktu susah atau waktu senang, makan tetap makan”, sambil menambah harga burger yang dijualnya berpatutan dan boleh dimampui.

(Gambar: Fatpapas)

MANA BURGER SEDAP, SHEIKH HAIKEL?

“Saya juga tidak melihat restoran-restoran lain di sini sebagai pesaing saya. Saya sayang mereka semua, saya boleh sebutkan mereka satu persatu. Jika ada yang bertanya kepada saya di mana mereka boleh mendapatkan burger yang sedap, saya tetap akan menyarankan kafe I AM (misalnya),” ujar Sheikh Haikel. Suatu pandangan yang semestinya agak janggal, kedengaran dari seorang peniaga yang juga menjual burger!

“Saya hanyalah seseorang yang mahu menawarkan makanan yang enak dan mahu memberikan rakyat Singapura sesuatu yang mereka suka, iaitu pilihan. Restoran saya di kawasan ini bersama-sama restoran lain adalah untuk memberikan pilihan buat para pelanggan,” jelas Sheikh Haikel penuh jujur.

PSST. ADA HIDANGAN RAHSIA YANG TIDAK TERTERA DALAM MENU!

Selain itu, Anna Belle memberitahu BERITAMediacorp, matlamat utama mereka adalah untuk mendekati seramai mungkin masyarakat Islam dan juga yang bukan Islam. Bali Lane kata beliau, merupakan lokasi yang strategik bagi mereka.

“Ramai orang bukan Muslim mempunyai rakan Muslim atau sebaliknya, dan agak terhad pilihan mereka apabila perlu memilih tempat untuk makan bersama. Jadi kami mahu wujudkan satu tempat di mana semua orang, Muslim ataupun bukan, dapat duduk dan makan bersama,” kongsi Anna Belle, 38 tahun.

(Gambar: Instagram Sheikh Haikel)

(Gambar: Instagram Sheikh Haikel)

BERITAMediacorp mengunjungi laman Fatpapas dan meninjau-ninjau menu yang ditawarkan buat para pelanggan. Salah satu hidangan istimewa yang menurut Anna Belle, mesti dicuba ialah Country Fried Steak, dengan harga S$18.80. Yang uniknya, ia “kelihatan seperti ayam, tetapi sebenarnya stik daging”, tambah beliau.

Semasa melungsuri laman itu juga, secara tiba-tiba mata tertumpu kepada sesuatu catatan ‘ala-ala misteri’ yang berbunyi: “Psst. There’s a secret menu” (Psst. Ada menu rahsia).

Menurut Anna Belle, terdapat satu hidangan khas – Country Fried Sheikh Burger - yang tidak tertera dalam menu Fatpapas dan hanya diketahui oleh para pelanggan tertentu.

“Saiz Country Fried Sheikh Burger ini sangat besar! Malah ia salah satu burger paling besar yang kami ada dan ia tidak disenaraikan dalam menu, (tetapi masih boleh ditempah). Jika ada sesiapa yang datang ke restoran kami dan meminta Country Fried Sheikh Burger, maka kami tahu mereka adalah peminat tegar Fatpapas,” kongsi Anna Belle sambil tertawa, mendedahkan menu rahsia tersebut.

(Gambar: Fatpapas)

MAHU BUKA RESTORAN HALAL LAIN

Ditanya sama ada pasangan selebriti itu akan mengembangkan perniagaan dengan membuka lebih banyak cawangan lain, Sheikh Haikel menjawab beliau ada hasrat membuka restoran halal lain.

“Saya mahu menjadikan makanan yang bukan halal, (jadi) halal. Sumbernya, mestilah sebuah restoran yang asalnya bukan halal. Saya mahu membawa versi halal bagi restoran-restoran popular yang bukan halal kerana saya mahu masyarakat Islam kita dapat mencubanya. Yang penting rasa hidangan versi halal mesti sama dengan yang bukan halal.”

Fatpapas buat masa ini dibuka dari pukul 5.00 petang hingga 11.00 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan