Images
  • venice 1
    Sekitar 30 juta pelancong dijangka mengunjungi Venice setiap tahun. (Gambar: Marco Secchi/Getty Images)

Setakat duduk saja, anda boleh didenda S$800 di Venice!

VENICE: Melancong sememangnya satu kegiatan yang agak mahal, namun di bandar Venice di Itali, anda mungkin didenda semata-mata kerana duduk bukan di tempat yang diperuntukkan untuk berbuat demikian!

Datuk Bandar Venice, Luigi Brugnaro, baru-baru ini menyarankan denda sehingga €500 (S$800) dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang duduk di tempat-tempat yang tidak dikhususkan untuk mereka.

Malah, orang ramai sebenarnya sudahpun dilarang daripada duduk di lokasi-lokasi yang popular dalam kalangan pelancong seperti St Mark's Square atau Jambatan Rialto.


(Gambar: AFP/Getty Images)

Seorang wakil bagi Encik Brugnaro memberitahu agensi berita CNN bahawa usulan larangan itu sedang dibincangkan oleh pihak majlis bandaran dan masih belum dimuktamadkan.

Saranan itu adalah sebahagian daripada kempen #EnjoyRespectVenezia yang dilancarkan oleh bandar tersebut. Ia adalah sebahagian daripada usaha Venice terhadap jumlah pelancong yang terlalu tinggi.

BANDAR SIBUK

Para pelancong yang mengunjungi Venice juga dilarang daripada melakukan beberapa perkara.

(Gambar: Ian Gavan/Getty Images)

Selain diarahkan supaya berjalan di sebelah kanan, mereka juga dilarang daripada meluangkan terlalu banyak masa di jambatan-jambatan.

Mereka juga tidak dibenarkan mengayuh basikal, bersiar-siar sambil memakai pakaian renang atau memberikan makanan kepada burung merpati.

Menurut laporan CNN, larangan lain termasuk membuang sampah sembarangan, menconteng dan meletakkan mangga di monumen-monumen.


(Gambar: Olivier Morin/AFP/Getty Images)

Venice adalah salah sebuah destinasi paling popular di dunia dan jalan-jalan rayanya yang sempit dan bersejarah sering dibanjiri para pelancong.

Para pegawai khuatir jumlah pelancong yang semakin meningkat akan menjejas penginapan dan keadaan kehidupan rakyat tempatan serta pengalaman pelancong yang mengunjungi bandar itu.


(Gambar: Andreas Solaro/AFP/Getty Images)

Venice, yang merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO, sudah lama menyokong inisiatif-inisiatif pelancongan yang lebih mampan.

Laman majlis bandaran itu juga mempunyai alat pemantau online yang memerhatikan jumlah pelancong yang dijangkakan setiap hari, lapor CNN.

Laman itu turut menasihati para pengunjung supaya mengelakkan destinasi-destinasi pelancongan yang sibuk serta menyarankan laluan-laluan alternatif.

MENANGANI JUMLAH PELANCONG YANG BERLEBIHAN

Venice bukan satu-satunya bandar Itali yang melaksanakan langkah-langkah tersebut.


(Gambar: Andrea Pattaro/AFP/Getty Images)

Pada awal September, Florence mengharamkan orang ramai daripada memakan di tepi jalan. Sesiapa yang didapati melakukan demikian boleh didenda sehingga €500 (S$800).

Pada Ogos, satu perkelahian yang disebabkan oleh 'selfie' yang dipetik di Trevi Fountain di Rome turut mendapat perhatian ramai, sekaligus mencetuskan perbincangan mengenai usaha mengawal jumlah pelancong yang mengunjungi lokasi tersebut.  

- Agensi berita/AI/ai

Top