Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Seseorang yang kurang tidur sama seperti seorang yang mabuk

Anda mungkin pernah berdepan dengan senario di mana anda kurang tidur pada satu malam dan kemudian dapati diri anda sukar untuk menumpukan perhatian, seolah-olah anda gagal 'berfungsi' seperti biasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Seseorang yang kurang tidur sama seperti seorang yang mabuk

Gambar hiasan. (Gambar: Jonathan Nackstrand/ AFP)

Diterbitkan : 13 Nov 2017 08:20PM Dikemas Kini : 13 Nov 2017 08:58PM

AUSTRALIA: Anda mungkin pernah berdepan dengan senario di mana anda kurang tidur pada satu malam dan kemudian dapati diri anda sukar untuk menumpukan perhatian, seolah-olah anda gagal 'berfungsi' seperti biasa.

Penemuan dalam kajian satu pasukan penyelidik mungkin dapat menjawab pertanyaan anda tentang mengapa anda berkelakuan sedemikian.

Dalam laporan ScienceAlert, kekurangan tidur bukan sahaja mampu membuat seseorang terlentok di tempat kerja ataupun berasa berkecamuk, tetapi ia juga membuat aktiviti antara neuron dalam otak menjadi lemah.

Ini kemudian melemahkan lagi rangkaian isyarat otak, seterusnnya mempunyai kesan negatif pada daya ingatan dan tumpuan seseorang. Keadaan ini sama dengan seseorang yang mabuk, kata penyelidik.

12 PESAKIT DALAM KAJIAN MENUNJUKKAN HASIL SERUPA

Pasukan antarabangsa di belakang kajian itu ingin orang ramai melihat masalah kekurangan tidur dengan lebih serius. Ini termasuk kesan pada kesihatan dan risiko mamandu mahupun melakukan pekerjaan seharian kita.

"Kami dapati bahawa kekurangan tidur dapat menjejas keupayaan neuron untuk berfungsi dengan baik," kata Itzhak Fried, seorang penyelidk dari Universiti California di Los Angeles (UCLA). "Ini kemudian menjejas kognitif kita iaitu bagaimana seseorang melakukan tindak balas terhadap persekitaran di sekitar kita."

Dalam kajian ini, para penyelidik menjalani pemeriksaan ke atas 12 pesakit yang bakal menjalani pembedahan epilepsi di mana elektrod sudah digunakan untuk memantau posisi sawan di otak mereka.

Hasil kajian mereka menunjukkan bahawa pesakit menjadi lebih letih apabila aktiviti neuron di otak mereka menjadi lebih perlahan dan kurang bertenaga.

"Kami sangat kagum melihat bagaimana kekurangan tidur mengurangkan aktiviti sel otak," kata salah seorang anggota pasukan, Yuval Nir dari Universiti Tel Aviv di Israel.

BEBERAPA BAHAGIAN OTAK 'TIDUR' WALAUPUN INDIVIDU BERJAGA

Laporan ScienceAlert menyatakan imbasan yang dilakukan juga menunjukkan bahawa kekurangan tidur menjejas keupayaan neuron untuk menterjemahkan apa yang dilihat dengan baik. Misalnya, pemandu yang lelah mengambil masa lebih lama untuk mengambil tindakan apabila seorang pejalan kaki melintas di jalan raya.

Para penyelidik juga mendapati bahawa ada gangguan di beberapa bahagian otak di mana ada gelombang yang biasa berlaku ketika seseorang sedang tidur. Keabnormalan ini membuat beberapa bahagian otak 'tidur' sementara bahagian lain berfungsi seperti biasa.

Namun begitu, orang ramai harus maklum bahawa saiz sampel sangat kecil dan belum masanya lagi untuk menggunakan penemuan ini pada orang ramai.

Sebelum ini, penyelidik menemukan hubungan antara keletihan dan kemalangan jalan raya. Beratus-ratus kematian dan beribu-ribu kecederaan di Amerika Syarikat dianggarkan berlaku kerana pemandu tertidur atau tidak dapat memberi tindak balas dengan cepat.

Kajian baru ini memberikan kita gambaran terperinci tentang bagaimana kurang tidur mempengaruhi otak - sekurang-kurangnya bagi sampel 12 orang dalam kajian ini, demikian menurut laporan ScienceAlert.

PERLU ADA KAEDAH KENAL PASTI PEMANDU YANG LETIH

Para penyelidik juga mengatakan bahawa keadaan seseorang yang kekurangan tidur sama seperti seseorang yang mabuk. Dengan itu, mungkin akan ada keperluan untuk mengadakan undang-undang yang sama seperti yang sudah diperuntukkan buat pemandu mabuk kepada pemandu yang kekurangan tidur.

"Keletihan yang berlebihan membawa pengaruh serupa pada otak seperti apabila seseorang minum terlalu banyak," kata Encik Fried. "Namun belum ada piawai rasmi untuk mengenal pasti pemandu yang letih seperti kaedah yang dilakukan untuk mengenal pasti pemandu yang mabuk."

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan