Images
  • depression
    (Gambar: Reuters) 

Segerakan langkah bendung masalah kesihatan mental

KUALA LUMPUR: Tidak seperti penyakit lain yang boleh dirawat dengan ubat-ubatan, penawar masalah kesihatan mental sebaliknya mencakupi banyak aspek.

Pertimbangan, pengiktirafan, perhatian dan sokongan kewangan sewajarnya perlu diberikan kepada kempen dan program kesihatan mental dalam usaha melahirkan masyarakat yang bebas masalah yang mencengkam jiwa dan minda itu.

Namun, apakah ini semua memadai atau ada perspektif lain yang boleh dipertimbangkan dalam usaha menangani masalah kesihatan mental yang menular ibarat barah dan menjejaskan kehidupan serta negara?

KESEJAHTERAAN PSIKOLOGI

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Malaysia, Lee Lam Thye, berkata masalah kesihatan mental hendaklah ditangani dengan segara supaya masalah seperti tekanan, kemarahan dan keganasan, kemurungan dan kejadian bunuh diri dapat dielakkan.

Beliau berkata banyak yang perlu dilakukan untuk pesakit mental selain daripada memberikan rawatan, kaunseling dan penjagaan.

Menurut Encik Lee, pelbagai punca peningkatan kes berkaitan penyakit mental sudah dikenal pasti termasuk tekanan di tempat kerja, masalah kewangan, persekitaran serta kegagalan mencapai prestasi yang diharapkan.

KIKIS STIGMA

Dalam membendung peningkatan kes berkaitan kesihatan mental, masyarakat perlu mengikis stigma sosial terhadap mereka yang menghidapi masalah itu dan berusaha memahami keadaan yang yang dialami mereka.

Stigma penyakit mental membuatkan individu berasa malu, lemah dan tidak berdaya. Tanggapan negatif sedemikian memberi kesan kepada individu yang mengalami masalah mental selain melunturkan semangat keluarga untuk memberi sokongan fizikal dan emosi kepada mereka.

“Ia juga boleh menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapatkan pertolongan daripada profesional dan seterusnya memberi kesan kepada proses pemulihan dan menjejaskan kualiti kehidupan.

“Masyarakat sering menganggap orang yang hidapi masalah mental sebagai gila, tidak siuman, berbahaya, ganas, kurang iman, tidak boleh bekerja, tidak boleh membuat keputusan dengan baik dan sebagainya.

“Ini menyebabkan ramai dari pesakit malu dan takut untuk menceritakan hal yang sebenar... akhirnya mereka pilih untuk berdiam diri dan menderita bersendirian yang kadang kala kerana sudah putus harapan dan merasakan tiadak jalan keluar, mereka pilih untuk mati," kata Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar.

Menurutnya, MIASA mendapati stigma di Malaysia masih merupakan penyebab utama mengapa individu mengalami masalah mental sukar berterus terang dan mendapatkan pertolongan.

MENGURUS EMOSI

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Al Amin, Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin, pula berpendapat kesihatan mental yang baik adalah ketika seseorang itu sedar tentang kekuatan diri dan mampu mengawal emosi dirinya.

Beliau berkata apabila seseorang itu mampu mengurus emosinya dengan baik, ia mampu membendung individu itu daripada terjerumus dalam kemurungan atau stres melampau.

Ustaz Muhammad, yang juga pendakwah bebas, mengaku bahawa banyak kes pembunuhan, bunuh diri dan serangan berpunca daripada penyakit mental yang mengganggu kewarasan seseorang untuk berfikir dengan baik.

Jelas sekali, masalah kesihatan mental bukan berkisar kepada individu atau isu yang boleh dibiarkan kerana natijahnya melangkaui batas sempadan keluarga itu semata-mata.

Ia memerlukan pelibatan semua pihak untuk berani mengaku masalah kesihatan mental sebagai masalah bersama dan perlu ditangani secara kolektif. 

- BERNAMA/AI/ai

Top