Images
  • marina barrage skyline
    (Gambar fail: Corey Sta Maria)

Sah! Rakyat S'pura gemar bercuti dalam negeri

SINGAPURA: Sedang merancang untuk bercuti dalam negeri? Jangan khuatir, ramai juga ingin melakukan perkara yang sama. Tinjauan baru-baru ini oleh agensi pelancongan online Expedia mendapati bahawa 64 peratus penduduk Singapura bercuti dalam negeri (staycation) pada tahun lalu, atau secara purata menikmati 2.4 "percutian" setiap tahun. Dan tujuh daripada 10 responden sudah tidak sabar bercuti dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Tinjauan Percutian Dalam Negeri 2018, menerusi wawancara online oleh Nielsen, dijalankan pada bulan Februari. Seramai 516 rakyat Singapura dan penduduk tetap berusia 21 tahun dan ke atas ditanya mengenai ciri-ciri percutian 'staycation' masing-masing.

Expedia menarik perhatian bahawa terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk percutian dalam negeri, dari 25 peratus pada 2016 kepada 40 peratus tahun lalu.

Sebahagian besar mereka yang bercuti dalam negeri - tiga suku daripada responden - berusia antara 30 hingga 39 tahun. Berapa panjang pula rakyat Singapura bercuti? Separuh bercuti dalam negeri pada hujung minggu, manakala sekitar lapan peratus pula menginap selama lima malam dan lebih daripada itu.

Antara sebab utama bercuti dalam negeri adalah untuk berehat walaupun bagi tempoh yang singkat, meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga dan juga kerana ia lebih murah berbanding bercuti di luar negara. Secara purata, para responden akan membelanjakan S$217 bagi setiap percutian dalam negeri dan lebih separuh daripada mereka akan memilih hotel bertaraf empat bintang.

- CNA/NA/aq

Top