Images
  • bay east
    Bay East Garden. (Gambar: Gardens by the Bay/Facebook)

S'pura di 6 tangga teratas destinasi paling popular pelancong Muslim, daripada 130 destinasi

SINGAPURA: Di kalangan 130 destinasi pelancongan yang ditinjau, Singapura terus menjadi lebih popular dan menarik sebagai destinasi pelancongan di kalangan para pelancong muslim global. Ini apabila Singapura menduduki tangga ke-6 di kalangan destinasi-destinasi negara-negara Pertubuhan Muktamar Islam (OIC).

Malaysia menduduki tangga pertama manakala Indonesia dan Amiriah Arab Bersatu berkongsi tangga kedua.

Demikian menurut Indeks Perjalanan Muslim Global Mastercard-CrescentRating (GMTI) 2018, yang dikeluarkan hari ini (15 Apr).

Malah bagi perjalanan kalangan para pelancong muslim ke negara-negara bukan OIC, Singapura terus menduduki tangga Nombor 1 sebagai destinasi popular di kalangan para pelancong muslim global. Ini kali ke-8 berturut-turut Singapura merangkul kedudukan tersebut.


"Singapura terus menarik pelancong Muslim kerana tawaran pelancongannya terus dipertingkat, serta kedekatan budaya tetapi juga menawarkan keperluan mereka (pelancong muslim) secara komprehensif," ulas Cik Deborah Heng, Pengurus Negara Mastercard Singapore, berhubung ranking Singapura itu.

JUMLAH PELANCONG MUSLIM KE RANTAU ASEAN TERUS MENINGKAT

Jumlah pelancong Muslim di dunia melonjak tahun lalu di mana terdapat sekitar 131 juta pelancong berbanding 121 juta pelancong pada 2016. Jumlah ini dijangka terus meningkat kepada 156 juta pelancong menjelang 2020 dan membentuk 10 peratus pelancong di peringkat antarabangsa.

Rantau ASEAN juga dijangka akan menyambut ketibaan lebih 18 juta Muslim menjelang 2020, iaitu hampir 15 peratus daripada jumlah pelancong di rantau ini keseluruhannya.

"Banyak tempat peranginan di dunia sedang meninjau cara untuk mengembangkan pasaran mereka selain mengekalkan kadar pertumbuhan dalam sektor pelancongan masing-masing. Antara strategi mereka termasuk memanfaatkan peluang untuk memenuhi permintaan pelancong Muslim. Tetapi sebelum itu, penting bagi mereka untuk memahami keperluan dan keutamaan mereka serta bagaimana untuk membuat penyesuaian bagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada mereka," kata Encik Safdar Khan, Presiden Divisyen Indonesia, Malaysia dan Brunei Mastercard.


Dengan meningkatnya jumlah pelancong Muslim di dunia menjelang 2020, nilai pasaran juga dijangka naik kepada AS$220 bilion (S$290 bilion) pada 2020 dan melonjak kepada AS$300 bilion (S$400 bilion) pada 2026.

GMTI AMBIL KIRA PELBAGAI ASPEK PELANCONGAN

Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating dan HalalTrip, Encik Fazal Bahardeen menjelaskan bahawa hasil pelaburan dan komitmen negara-negara di merata dunia untuk menembusi pasaran pelancongan Muslim nampaknya membuahkan hasil.

"Ini dapat dilihat daripada peralihan kedudukan negara-negara dalam pasaran itu. Pelbagai usaha dijalankan berdasarkan laporan GMTI bagi merapatkan jurang yang ada," kata Encik Fazal.

Antara negara OIC yang naik dalam tangga indeks tersebut adalah Jepun dan Taiwan yang muncul sebagai lima destinasi pilihan buat pertama kalinya sejak GMTI diperkenalkan.

130 destinasi tercalon dalam GMTI yang bertujuan untuk membentangkan data yang mampu membantu mereka untuk memantau pertumbuhan dalam sektor pelancongan masing-masing. Penilaian dilakukan mengikut beberapa kriteria. Antara kriterianya termasuk prasarana, komunikasi, sekitaran dan perkhidmatan yang ditawarkan.  

- BERITAMediacorp/aq

Komen Anda?

Top