Images
  • dbs marina regatta
    Regata Marina DBS 2018. (Gambar: DBS Bank) 

Regata Marina DBS kembali lagi; lebih sengit dan mencabar

SINGAPURA: Regata Marina DBS kembali lagi buat tahun ketujuh pada hujung minggu ini - kali ini, dengan balapan berhalang di kedua-dua darat dan laut.

Acara itu akan diadakan di The Promontory di Marina Bay pada dua hujung minggu iaitu pada 26 dan 27 Mei serta 2 dan 3 Jun, menurut DBS dalam kenyataan medianya pada Rabu (23 Mei). Orang ramai juga berpeluang menyaksikan perlumbaan bot naga yang melibatkan pasukan-pasukan terbaik di rantau ini.

Namun, ruang yang mempamerkan seni 'pop-up' yang dipaparkan dalam edisi-edisi terdahulu tidak akan ditampilkan pada tahun ini.

Sebaliknya, balapan berhalang Battle Bay Extreme - yang disifatkan DBS sebagai yang "terbesar dan paling mencabar di Asia Tenggara" - akan menjadi tumpuan utama acara itu.

Balapan tersebut seluas 48,000 kaki persegi - lebih tiga kali ganda lebih besar berbanding balapan tahun lalu, menurut jurucakap DBS. Balapan tersebut dilengkapi dengan 3 tahap kesukaran.


Pendaftaran online bagi acara ini sudahpun ditutup, tetapi bagi mereka yang ingin menyahut cabaran tersebut bolehlah mendaftar di lokasi acara itu diadakan, menurut jurucakap DBS.

Para pengunjung juga boleh meninjau-ninjau ArtBox Singapore, yang bakal menampilkan lebih 400 gerai makan, pondok fesyen dan kios gaya hidup. Ia termasuk perusahaan-perusahaan sosial dari merata rantau ini.

Terdapat juga Creators Market, di mana bayaran dikenakan bagi bengkel-bengkel mesra alam dan kesejahteraan holistik akan diadakan.

Menurut jurucakap DBS itu lagi, sesi yoga dan kecergasan sudah habis ditempah.

Bagi kegiatan air pula, lebih 90 pasukan bot naga dan 3,500 pendayung dari rantau ini akan bersaing bagi merebut hadiah berupaya wang tunai bernilai S$147,000 - hadiah wang tunai terbesar bagi sukan sedemikian di Asia, menurut DBS dalam kenyataan medianya.

Buat julung-julung kalinya juga, perlumbaan tersebut akan menyaksikan lebih 60 belia berusia antara 14 hingga 21 tahun yang mengambil bahagian dalam kategori undangan. Terdapat juga kategori bagi para peserta yang berkeperluan khas dan/atau kurang upaya dan kategori bagi bekas pesakit barah, tambah DBS.

Tiada bayaran masuk dikenakan untuk menyaksikan regata itu.

Namun orang ramai perlu membeli tiket untuk menyertai kelas-kelas Creators Market dan Battle Bay Extreme, menurut laman web bank tersebut.

Acara itu akan bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam pada 26 dan 27 Mei, serta 2 dan 3 Jun.

- CNA/KN/im

Komen Anda?

Top