Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ratu cantik tempatan anjur 8 iftar demi 'beri cahaya' kepada mangsa keganasan domestik

Mereka bukan sahaja cantik, tetapi ternyata mereka juga berjiwa besar. Itulah yang dipaparkan para pemenang Ms/Miss/Mrs Singapore Malays International (MSMI) yang menganjurkan majlis iftar bagi tujuan amal sambil membawa kesedaran terhadap keganasan domestik.

Anggaran Waktu Membaca:
Ratu cantik tempatan anjur 8 iftar demi 'beri cahaya' kepada mangsa keganasan domestik

(Dari kiri, mengikut putaran jam) Sabrina Samri, Ainur Rosyieqa, Zuhaina Sofwan dan Erlyna Rahmat. (Gambar: Erlyna Rahmat)

BERITAMediacorp: Mereka bukan sahaja cantik, tetapi ternyata mereka juga berjiwa besar. Itulah yang dipaparkan para pemenang Ms/Miss/Mrs Singapore Malays International (MSMI) yang menganjurkan majlis iftar bagi tujuan amal sambil membawa kesedaran terhadap keganasan domestik.

Sebagai sebahagian daripada 'Project Dawn', acara 'Iftar Buffet with the Stars' (Bufet Iftar bersama Bintang-bintang) adalah inisiatif yang berhasrat memperkasakan wanita dan kanak-kanak yang berdepan dengan penderaan di rumah.

Selain bertujuan menghimpunkan orang ramai melalui hidangan bufet dan persembahan artis, hasil kutipan tiket juga akan disalurkan kepada rumah angkat MSMI, iaitu Rumah Tumpangan Wanita Casa Raudha.

"Project Dawn adalah lambang cahaya dalam kehidupan penghuni Casa Raudha dan kami ingin membawa sinar ke dalam hidup mereka.

"Penghuni Casa Raudha pernah menghadapi penderaan dan acara ini adalah untuk beramal sempena bulan Ramadan sambil membawa kesedaran terhadap keganasan domestik," ujar Cik Erlyna Rahmat, salah seorang anggota jawantankuasa 'Project Dawn'.

Cik Erlyna, yang juga pemenang Classic Mrs Singapore Asia 2017, berkongsi bahawa 20 hingga 25 peratus daripada hasil kutipan tiket juga akan disumbangkan kepada rumah tumpangan wanita tersebut.

8 SESI HIDANGAN BUFET DENGAN KERJASAMA FLEUR CAFE

Acara 'Iftar Buffet with the Stars' menampilkan bakat-bakat tempatan bagi lapan sesi hidangan bufet dengan kerjasama Fleur Cafe sempena bulan puasa ini. Antara personaliti yang bakal menyerikan acara di Fleur Bistro di City Plaza itu termasuk penyanyi Sufi Rashid, Nana Karia, Ryan Sufiyan, Ryzall Noh dan hos Urbanista, Roziana Cindy.

"Melalui acara amal tahun lalu, kami berhasil mendermakan $7,000 kepada Casa Raudha. Harapan kami adalah lapan sesi 'Iftar Buffet with the Stars' ini dapat mengumpulkan jumlah yang hampir sama atau sebanyak yang mungkin," kongsi Cik Erlyna kepada BERITAMediacorp.

Acara tersebut turut dianjurkan anggota jawatankuasa lain Project Dawn yang terdiri daripada Cik Sabrina Samri (Pengarah Kebangsaan Ms/Miss/Mrs Singapore Malays International), Cik Zuhaina Sofwan (Ms Singapore Malays International 2018) dan Cik Ainur Rosyieqa (Miss Singapore Malays International 2018).

(Dari kiri, mengikut putaran jam) Sabrina Samri, Ainur Rosyieqa, Zuhaina Sofwan dan Erlyna Rahmat. (Gambar: Erlyan Rahmat)

Majlis iftar pertama daripada lapan sesi hidangan bufet jatuh pada hari ini (19 Mei). Tujuh lagi sesi iftar amal itu adalah seperti berikut: 23 Mei, 25 Mei, 30 Mei, 2 Jun, 6 Jun, 8 Jun dan 9 Jun.

HASIL PENJUALAN SAMPUL DUIT RAYA 100% BUAT CASA RAUDHA

Di samping itu, penganjur Project Dawn turut menghasilkan koleksi sampul duit raya, yang kini dijual pada harga $10 bagi setiap 10 sampul. Keseluruhan hasil penjualan sampul tersebut juga akan disalurkan kepada Rumah Tumpangan Wanita Casa Raudha, menurut Cik Erlyna.

(Gambar-gambar: Erlyna Rahmat)

Awal dari itu, pihak MSMI turut memberikan dandanan penuh atau "makeover" bagi penghuni Casa Raudha sempena Hari Wanita dan mendermakan hasil penjualan kuih raya kepada pihak tersebut.

"Kami ingin menyebarkan kepada orang ramai bahawa terdapat perlindungan dan bantuan yang boleh didekati bagi mereka yang berdepan dengan penderaan di rumah," ujar Cik Erlyna lagi, mengakhiri perbualan.

Jika anda berminat menyertainya, tiket bagi hidangan bufet iftar boleh didapatkan menerusi www.whitevellum.com/events. Harga tiket bagi peserta dewasa adalah $27 manakala untuk kanak-kanak adalah $14.

Sampul raya pula boleh dibeli melalui Instagram rasmi @projectdawn.sg atau profil peribadi anggota jawatankuasa Project Dawn. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan