Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

'Rapper' Sheikh Haikel kini miliki 6 restoran; buka FatPapas pertama di KL

Nampaknya, penyanyi ‘rap’ dan personaliti televisyen Singapura, Sheikh Haikel, mungkin sudah boleh memakai lencana 'usahawan berjaya’ sebagai antara senarai profil dirinya.

Anggaran Waktu Membaca:
'Rapper' Sheikh Haikel kini miliki 6 restoran; buka FatPapas pertama di KL

Sheikh Haikel bersama pengasas FatBoy's, Bernie Tay di FatPapas, Kuala Lumpur. (Gambar-gambar: Sheikh Haikel)

BERITAMediacorp: Dalam tempoh lebih kurang setahun sahaja, beliau kini memiliki bukan satu, bukan dua tetapi enam buah restoran! Ini termasuklah cawangan pertama restorannya di luar Singapura, yang baru sahaja dilancarkan pada Rabu (18 Apr). Cawangan yang ketujuh pula ‘akan datang’ tidak lama lagi!

Suatu pencapaian luar biasa bagi seorang penyanyi yang baru menceburi perniagaan makanan.

Nampaknya, penyanyi ‘rap’ dan personaliti televisyen Singapura, Sheikh Haikel, mungkin sudah boleh memakai lencana 'usahawan berjaya’ sebagai antara senarai profil dirinya.

Diam tak diam, pengasas restoran burger FatPapas itu begitu pantas mengembangkan perniagaannya setelah menerima sambutan begitu memberangsangkan sebaik sahaja restoran pertamanya dibuka di 17 Bali Lane pada bulan Februari tahun lalu.

FatPapas di Publika, Kuala Lumpur. (Gambar: Sheikh Haikel)

“Syukur Alhamdulillah kerana sambutan hangat yang diterima dan saya tidak menjangkakan barisan panjang setiap kali kami beroperasi sejak penubuhannya.

“Bukan itu sahaja, gambar pengunjung FatPapas sedang menikmati makanan yang kami sediakan (turut) dimuat naik ke media sosial lalu dikongsi dan dilihat oleh para netizen (sehingga) menjadi tular,” kata Sheikh Haikel.

ORANG M'SIA PUN BOLEH NIKMATI FATPAPAS

Lantaran itu, ia menguatkan lagi azam beliau untuk membuka lagi empat cawangan di Singapura, iaitu di Katong, pusat beli-belah North Point di Yishun, Far East Plaza dan Jalan Rajah Balestier.

Malah tidak setakat terhenti di situ, niat Sheikh Haikel untuk membolehkan masyarakat Islam Singapura menikmati burger enak bersama-sama rakan bukan Muslim kini diluaskan kepada penggemar burger di Malaysia.

FatPapas di Publika, Kuala Lumpur. (Gambar: Sheikh Haikel)

Sheikh Haikel mengambil keputusan untuk membawa FatPapas menyerantau ke Kuala Lumpur, mengikut jejak rangkaian burger terkenal, FatBoy’s, yang terlebih dahulu mempunyai cawangan di sana.

“Saya rasa sebab utama kami boleh melakukannya kerana rakan kongsi saya, Bernie Tay, sudah banyak pengalaman. Maka saya rasa beliau tahu apa yang dilakukan dengan FatPapas,” Sheikh Haikel memberitahu BERITAMediacorp, sambil merujuk kepada pengasas FatBoy’s.

MAHU DEKAT DENGAN PELANGGAN

Menurut Sheikh Haikel, matlamat meluaskan lagi rangkaian restoran FatPapas adalah untuk mendekatkan FatPapas kepada para pelanggan.

“Saya juga rasa kami dapat mengembangkan perniagaan ini disebabkan para pelanggan kami dan kami tahu bahawa mereka gemarkan makanan enak dan harganya juga berpatutan. Jadi kami lakukannya untuk para pelanggan,” ujar beliau.

FatPapas di Publika, Kuala Lumpur. (Gambar: Sheikh Haikel)

Fatpapas pertama di luar Singapura itu terletak di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur. Ia dibuka rasmi pada Rabu (18 Apr) dan menerima sambutan baik, termasuk kehadiran beberapa selebriti terkenal seperti Ning Baizura, Joe Flizzow dan Elfaeza Ulhaq.

SETIAP KUNJUNGAN KE FATPAPAS SATU PENGALAMAN BARU

Mengulas lanjut tentang konsep restoran FatPapas di Kuala Lumpur, Sheikh Haikel berkata: “Kalau di Singapura, kami telah bekerjasama dengan artis grafiti tempatan yang merupakan pencipta logo utama FatPapas, untuk cawangan pertama kami di Kuala Lumpur, kami telah menjemput artis grafiti dan pelukis profesional Malaysia bernama Katun yang merupakan pakar dalam menghasilkan karakter-karakter berteraskan buku komik dan hasilnya adalah menakjubkan.”

FatPapas menyediakan pelbagai jenis burger bagi memenuhi selera berlainan para pelanggan. FatPapas turut menyediakan menu istimewa lain seperti BBQ Beef Ribs, Honey Mustard Chicken Kebab, Salted Egg Crab Pasta dan yang paling istimewa ialah FatPapas Hotdog yang diberi nama ‘The Stiffee Foot-Long’.

FatPapas di Publika, Kuala Lumpur. (Gambar: Sheikh Haikel)

“Dengan jumlah hidangan yang kami tawarkan dalam menu kami, setiap kunjungan ke FatPapas itu seolah-olah satu pengalaman baru. Menu kami diterima baik di Singapura dan kami membawa menu yang sama ke Kuala Lumpur kerana kami mahu pelanggan di Malaysia sama-sama dapat merasai apa yang sudah kami di Singapura nikmati selama ini,” kata beliau lagi sebagai menjawab pertanyaan BERITAMediacorp.

ADA KEJUTAN BUAT PELANGGAN S'PURA!

Apabila ditanya sama ada beliau merancang untuk membuka lebih banyak lagi restoran, baik di Singapura mahupun di luar negara, Sheikh Haikel tidak menolak kemungkinan itu.

“Ya, kami sentiasa mahu mengembangkan lagi perniagaan untuk lebih dekat dengan lebih ramai orang. Kami berharap dalam masa terdekat ini ada perancangan untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Sheikh Haikel menambah para pelanggan Singapura boleh menjangkakan pembukaan satu lagi cawangan baru daripada FatPapas tidak lama lagi, namun beliau enggan mendedahkan di mana lokasinya.

BERITAMediacorp mendapat tahu ia mungkin terletak di kawasan timur laut Singapura. Ini bermakna, Sheikh Haikel bakal menjadi tauke bagi tujuh cawangan FatPapas!

“Saya mahu menjadi yang pertama mengumumkannya dan ia akan dibuka tidak lama lagi,” ujar Sheikh Haikel.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan