Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Rakyat S'pura Nizar Shariff bina kampung bagi pelarian Rohingya di Bangladesh; madrasah bakal didirikan

Dalam kalangan puluhan ribu kem pelarian Rohingya di Cox's Bazaar, Bangladesh, terdapat sebuah 'kampung mini’ yang dibina seorang rakyat Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura Nizar Shariff bina kampung bagi pelarian Rohingya di Bangladesh; madrasah bakal didirikan

(Gambar: Nizar BigBear Zalco/Facebook)

BERITAmediacorp: Dalam kalangan puluhan ribu kem pelarian Rohingya di Cox's Bazaar, Bangladesh, terdapat sebuah 'kampung mini’ yang dibina seorang rakyat Singapura. Perkampungan tersebut baru sahaja dibangunkan sekitar dua bulan lalu, iaitu pada pertengahan bulan Jun.

BERITAmediacorp diberitahu secara eksklusif, bahawa pembangunannya dibiayai sepenuhnya oleh badan kemanusiaan milik anak Melayu/Islam Singapura, Free Food All (FFFA), yang dikendalikan oleh Encik Nizar Mohd Shariff.

Kampung 'mini' Rohingya di bawah naugan Free Food For All. (Gambar-gambar: Free Food For All)

Kampung 'mini' Rohingya di bawah naungan Free Food For All. (Gambar: Nizar Mohd Shariff)

Didirikan di kawasan seluas sekitar tiga padang bola, di kem Balukhali, di Cox's Bazaar, Bangladesh, kampung mini itu menempatkan 40 buah 'pondok'.

Setiap satu daripadanya boleh memuatkan antara enam dengan lapan orang. Ini bermakna, kampung milik Encik Nizar itu didiami sekitar 300 hingga 350 pelarian Rohingya.

LENGKAP DENGAN PANEL SOLAR; RANCANG BINA TANDAS AWAM

Encik Nizar memberitahu BERITAmediacorp, buat masa ini setiap 'pondok' dilengkapi dengan panel solar supaya penduduknya boleh menggunakan lampu, terdapat juga sudut untuk memasak dan berehat. Beliau masih dalam perancangan untuk membina tandas awam.

"Tandas kita belum buat lagi. Sekarang ini mereka kena gunakan tandas awam yang disediakan pemerintah Bangladesh.

"Tandas juga salah satu perkara yang mereka mahu saya bantu. Kalau boleh nak buat enam tandas. Tapi ini memerlukan masa dan kosnya juga lebih sedikit," kata Encik Nizar yang membiayai projek-projek kemanusiaannya menerusi dana yang dikumpulkan daripada masyarakat.

Kampung 'mini' Rohingya di bawah naugan Free Food For All. (Gambar-gambar: Free Food For All)

Kampung 'mini' Rohingya di bawah naungan Free Food For All. (Gambar: Nizar Mohd Shariff)

Ditanya apakah perbezaan pondok-pondok yang dibangunkannya di perkampungan itu berbanding kem-kem lain, Encik Nizar berkata pondok-pondok tersebut lebih besar dan teguh daripada yang lain.

"Kem ada dua macam. Pertama, rangkanya buluh dan dipasang kain tarpal (tarpaulin). Itu murah sikit. Masalahnya bila kena cuaca buruk, hujan lebat bermakna semua (akan) hancur.

"Kita pakai buluh sepenuhnya. Jadi dia punya rangka, dia punya rumah (bahagian) tepi semua buluh dan di atasnya buluh dengan kain tarpal. Dia lebih kuatlah. Ia juga mahal sedikit tetapi penduduknya rasa lebih selamat," jelas Encik Nizar kepada pihak kami.

Kampung 'mini' Rohingya di bawah naugan Free Food For All. (Gambar-gambar: Free Food For All)

Kampung 'mini' Rohingya di bawah naungan Free Food For All. (Gambar: Nizar Mohd Shariff)

HAMPIR 2,000 KELUARGA ROHINGYA BAKAL TERIMA DAGING KORBAN

Menjelang Hari Raya Aidiladha pada 22 Ogos nanti, Encik Nizar juga akan menjalankan ibadah korban di sana. Sebanyak 84 ekor lembu akan ditumbangkan dan semuanya ditempah oleh rakyat Singapura.

Encik Nizar memberitahu BERITAmediacorp, daging-daging korban itu nanti akan diagihkan kepada hampir 2,000 keluarga Rohingya.

"Kita ada 50 kakitangan untuk ibadah korban. Mereka akan agihkan. Hari terakhir nanti mereka akan masakkan sekali. Saya beri mereka duit lebih mereka akan masak nasi, masakkan lauk untuk kasi orang-orang Rohingya makan," ujar Encik Nizar.

Kampung 'mini' Rohingya di bawah naugan Free Food For All. (Gambar-gambar: Free Food For All)

Kampung 'mini' Rohingya di bawah naungan Free Food For All. (Gambar: Nizar Mohd Shariff)

BELUM PERNAH JEJAK KAKI DI BANGLADESH

Meskipun menjalankan beberapa projek kemanusiaan di Bangladesh, Encik Nizar mendedahkan, beliau sendiri sebenarnya belum menjejakkan kaki ke sana.

Ini disebabkan kesihatannya yang tidak begitu baik. Namun, ia bukanlah penghalang untuk beliau terus menjalankan misi-misi kemanusiaan, walaupun dari jauh.

"Kesihatan saya tidak mengizinkan walaupun saya berharap saya dapat ke sana untuk melihat sendiri (projek-projek itu). (Sekalipun demikian) saya berdoa kepada Allah supaya menemukan saya dengan orang-orang yang baik," katanya sambil merujuk kepada kakitangan beliau yang terdiri daripada para pelarian Rohingya sendiri.

(Gambar: Nizar BigBear Zalco/Facebook)

Encik Nizar, pengasas badan kemanusiaan Free Food For All. (Gambar: Nizar Bigbear Zalco/Facebook)

Menurut Encik Nizar lagi, bagi memastikan semuanya berjalan lancar, beliau bekerja rapat dengan seorang aktivis tempatan Rohingya.

"Saya perlu mewujudkan rasa yakin dan percaya. Dapatkan laporan daripada mereka," kata Encik Nizar, 48 tahun.

SUSUN STRATEGI BAWA MASUK BANTUAN KE KEM PELARIAN

Malah, jika usaha untuk menghulurkan bantuan kepada para pelarian Rohingya tidak dijalankan dengan teliti, ia boleh menyebabkan berlakunya korban nyawa.

Encik Nizar mendedahkan kepada BERITAmediacorp, sebelum beliau membantu pelarian Rohingya, beliau membantu penduduk Bangladesh terlebih dahulu. Ini bagi mengelak insiden perasaan ‘iri'.

Makanan yang dicatu untuk para penduduk Bangladesh. (Gambar-gambar: Free Food For All)

Bekalan makanan yang diberikan kepada penduduk Bangladesh. (Gambar: Nizar Mohd Shariff)

"Apabila pelarian Rohingya tiba (di Bangladesh), mereka dapat semua bantuan dari seluruh pelusuk dunia. Tapi yang di luar kem adalah orang-orang Bangladesh yang lebih susah. Teruk," kongsi beliau tentang strategi yang disusunnya dengan baik.

"Saya buatkan pam-pam air, beri mereka bekalan makanan yang dicatu. Jadi mereka berpuas hati dengan kita (selepas itu) baru saya masuk kem Rohingya. Bekalan makanan juga dibeli daripada peladang Bangladesh jadi mereka raih pendapatan dan mereka hormati kita," tambah beliau.

Jadi, semua urusan FFFA di Bangladesh - dari pembelian bekalan makanan, pembinaan kampung mini itu sehinggalah kepada agihan makanan, ia dijalankan dengan bantuan para pelarian yang diupah oleh Encik Nizar. Ini sekaligus membantu beliau mengendalikan semua urusan dari Singapura dengan licin.

Makanan yang dicatu untuk para penduduk Bangladesh. (Gambar-gambar: Free Food For All)

Bekalan makanan yang diberikan kepada penduduk Bangladesh. (Gambar: Nizar Mohd Shariff)

MAHU LUASKAN PERKAMPUNGAN, BINA DAPUR AWAM & MADRASAH

BERITAmediacorp diberitahu sejauh ini terdapat sekitar sejuta pelarian Rohingya menetap di kem-kem di Bangladesh.

Yang pasti, kampung mini milik Encik Nizar itu tidak dapat menampung semua pelarian Rohingya. Namun, beliau menyimpan hasrat untuk meluaskan lagi kawasannya dengan membina lebih banyak pondok serta sebuah dapur awam.

Tidak berhenti setakat di situ sahaja, Encik Nizar berazam untuk memperkasa orang-orang Rohingya dengan menubuhkan sebuah madrasah untuk kanak-kanak di sana.

Kampung 'mini' Rohingya di bawah naugan Free Food For All. (Gambar-gambar: Free Food For All)

Kampung 'mini' Rohingya di bawah naungan Free Food For All. (Gambar: Nizar Mohd Shariff)

"Bila saya tanya (kakitangan) tentang apa lagi yang masih kekurangan, mereka kata ramai yang mahukan sekolah. Tapi tak ada orang nak bangunkan madrasah, nak mengajar," kata Encik Nizar.

Menurut beliau, bangunan madrasah dan dapur awam yang dijangka siap pada bulan Oktober tahun ini, mungkin menelan belanja sekitar S$5,000.

USAHAKAN 10,000 PEK LAUK SIAP DIMAKAN

Selain itu, beliau juga sedang mengusahakan untuk menghasilkan pek-pek lauk siap untuk dimakan, yang boleh disimpan sehingga dua tahun.

Sebanyak 10,000 pek dijangka diagihkan, dengan setiap pondok diberi antara enam dengan lapan pek.

Pek lauk yang siap untuk dimakan. (Gambar-gambar: Free Food For All)

Contoh pek lauk siap dimakan yang diusahakanoleh Encik Nizar. (Gambar: Free Food For All/Facebook)

Jika semuanya berjalan lancar, pek-pek yang berisi lauk daging kambing itu akan dihantar ke sana pada hujung bulan Disember tahun ini.

"Kami jangkakan pek-pek tersebut sampai kira-kira minggu ketiga atau keempat bulan Disember. Masanya memang bagus kerana waktu itu musim sejuk. Selalunya tumpuan bantuan lebih kepada mengagihkan selimut tapi tiada yang menumpukan kepada makanan," ujar Encik Nizar.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan