Images
  • handphone
    Gambar seseorang menggunakan telefon bijak. (Gambar fail: AFP/Kim Jae-Hwan)

Rakyat M’sia 'paling cintakan' peranti digital mereka

KUALA LUMPUR: Sejumlah 69 peratus rakyat Malaysia dilaporkan tidak dapat berhenti menggunakan telefon bimbit walaupun dalam sehari.

Menurut laporan terkini Limelight Networks Inc mengenai keadaan gaya hidup digital yang ditukil Bernama, rakyat Malaysia paling ketagih dengan peranti digital mereka, diikuti oleh India.

Mengenai e-buku pula, Malaysia mencatat jumlah tertinggi dalam kalangan 10 negara yang ditinjau, dengan 74.7 peratus lebih suka buku digital, manakala 25.4 peratus memilih buku fizikal.

Responden di 10 negara iaitu Malaysia, Perancis, Jerman, India, Itali, Jepun, Singapura, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat ditanya bagaimana mereka berinteraksi dengan media digital dan kesan teknologi terhadap kehidupan mereka.

Limelight Networks dalam satu kenyataan mendedahkan bahawa komputer riba dan komputer meja merupakan teknologi terpenting yang kedua bagi responden Malaysia dengan 43.4 peratus daripada mereka tidak boleh hidup tanpanya.

Berdasarkan laporan itu, muzik juga merupakan kandungan dalam talian yang paling banyak diakses di Malaysia, diikuti dengan filem atau rancangan televisyen dan aplikasi. Rakyat Malaysia tidak berminat terhadap kandungan berbayar kerana laporan itu mendedahkan bahawa rakyat Malaysia yang paling sedikit bersedia untuk membayar kandungan, sama seperti jiran mereka, Singapura.

Pengarah Kanan Limelight Networks Michael Milligan berkata: "Pengguna semakin bergantung kepada teknologi digital dalam kehidupan peribadi dan profesional mereka untuk maklumat, hiburan, dan memudahkan tugas harian."

Laporan itu yang berdasarkan maklum balas daripada 5,000 pengguna di 10 negara, berusia 18 tahun ke atas yang memuat turun perisian atau penstriman video atau muzik dalam talian pada bulan lepas.

Limelight Networks adalah peneraju global dalam penyampaian kandungan digital, memberi kuasa kepada pelanggan untuk lebih menarik penonton dalam talian dengan membolehkan mereka mengurus dan menyampaikan kandungan digital secara selamat di mana-mana peranti.

- Bernama/HS/hs

Top