Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Rahsia kebahagiaan dan kejayaan? Cuba tunjuk belas kasihan

Adakah anda sedang mencari kehidupan yang boleh memberi kebahagian lebih baik? Ataupun anda ingin menjalin hubungan yang lebih mendalam dengan rakan-rakan anda? Atau mungkin anda ingin memahami rakan sekerja anda dengan lebih baik lagi? Apa kata kalau anda cuba lebih menunjukkan belas kasihan.

Anggaran Waktu Membaca:
Rahsia kebahagiaan dan kejayaan? Cuba tunjuk belas kasihan

(Gambar: Getty Images/iStockphoto)

Diterbitkan : 20 Sep 2018 12:47AM Dikemas Kini : 20 Sep 2018 01:04AM

WASHINGTON: Adakah anda sedang mencari kehidupan yang boleh memberi kebahagian lebih baik? Ataupun anda ingin menjalin hubungan yang lebih mendalam dengan rakan-rakan anda? Atau mungkin anda ingin memahami rakan sekerja anda dengan lebih baik lagi?

Apa kata kalau anda cuba lebih menunjukkan belas kasihan.

Belas kasihan adalah perasaan halus dalam hati yang mendorong manusia melakukan amalan utama, memberi maaf dan berlaku baik.

Seorang cendekiawan menyifatkan belas kasihan sebagai "mengalami perasaan kasih sayang terhadap penderitaan orang lain." Ia boleh dikaitkan, meskipun sedikit berbeza, dengan sifat empati - yang disifatkan oleh cendekiawan yang sama sebagai "berkongsi emosi seseorang individu yang lain".

MANFAAT SIFAT BELAS KASIHAN

Tentera Amerika Syarikat dan pasukan-pasukan sukan profesional mendapati bahawa melakukan latihan dengan penuh kesedaran atau 'mindfulness' dan belas kasihan berjaya membuahkan hasil, menurut laporan CNN. Malah, pasukan besbol Chicago Cubs memenangi Kejohanan Sedunia selepas menerapkan latihan sedemikian dalam rutin mereka tahun lalu. Kemenangan itu juga merupakan yang pertama dalam tempoh 108 tahun!

"Latihan ini bukan untuk si pengecut, sebagai yang pernah dikatakan oleh seorang siswazah yang juga merupakan bekas pemain bola sepak Amerika," kata Amishi Jha, seorang profesor madya dalam bidang psikologi.

CNN turut menukil beliau sebagai berkata: "Latihan ini adalah untuk mereka yang tabah dan ingin menjadikan dunia sebuah tempat yang lebih baik, serta yang ingin meraih manfaat daripada latihan ini juga."

Di Universiti Miami, Dr Jha melatih para pemain bola sepak dan penuntut lain untuk lebih berdaya bingkas ketika menghadapi keadaan tertekan dan tekanan seharian.

Seperti ramai cendekiawan yang lain, beliau mendapati bahawa belas kasihan adalah kunci bagi menangani tekanan. Mereka yang menujunkkan belas kasihan kepada orang lain didapati mempunyai hubungan yang lebih mendalam dengan orang lain dan lebih ramai teman. Mereka juga lebih mudah memaafkan dan mempunyai kehidupan yang benar-benar bermakna, menurut laporan CNN.

Sifat belas kasihan juga secara langsung memberi manfaat kepada seseorang individu. Mereka yang menunjukkan belas kasihan didapati lebih bahagia, sihat, lebih yakin diri, serta kurang kritikal terhadap diri sendiri dan lebih berdaya bingkas.

BAGAIMANA UNTUK MEWUJUDKAN SIFAT BELAS KASIHAN?

Ingin tahu bagaimana untuk menjaga sifat belas kasih ini? Jangan risau, anda tidak perlu membayar sebarang sen pun untuk mengikuti latihan ini. Malah, anda boleh melakukan latihan 'Meditasi Semangat Belas Kasihan' atau 'Loving Kindness Meditation' ini di mana-mana saja.

Anda hanya perlu mencari ruang sunyi dan meluangkan sekitar 20 minit saja untuk melakukan latihan tersebut.

Di ruang yang sunyi itu, duduk dengan selesa dan kemudian, beri perhatian kepada pernafasan anda dan cuba mengosongkan fikiran anda. Yang penting adalah, anda harus lebih menyedari corak fikiran, tingkah laku dan perasaan anda. Kemudian, fikir tentang seseorang yang anda rasa belas kasih atau kasih sayang - ini mungkin pasangan, ibu atau anak anda.

Tumpukan perhatian anda kepada fikiran positif itu buat seketika dan kemudian, lakukan yang sama bagi diri anda sendiri. Renungkan buat seketika dan kemudian, kepada orang lain - mungkin seseorang yang anda kurang kenali.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa latihan mudah ini betul-betul dapat meningkatkan rasa belas kasihan anda! 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan