Images
  • Temasek Poly students
    Pasukan Politkenik Temasek. (Gambar: Temasek Politeknik/ Facebook)

Politeknik Temasek juarai Maraton Shell Eko Asia 2018

SINGAPURA: Politeknik Temasek (TP) serta Politeknik Ngee Ann (NP) menduduki tempat pertama dan kedua dalam Maraton Shell Eko Asia 2018, kategori Prototaip Hidrogen.

Lebih membanggakan lagi, ini merupakan penyertaan kali pertama pasukan TP Eco Flash dalam program cabaran tenaga global tersebut, di mana keretanya mencatat jarak paling jauh iaitu 404.3 kilometer bagi setiap meter padu hydrogen.

Mereka di antara tujuh institusi pengajian tinggi tempatan yang bersaing dengan 17 negara lain di Pusat Pameran Changi untuk mereka bentuk kereta dengan kuasa tenaga paling cekap.

Mungkinkah kereta prototaip mirip kapal angkasa ini membanjiri jalan-jalan raya Singapura pada masa akan datang?

Yang pasti, kereta-kereta prototaip mirip kapal angkasa antara gabungan idea 122 pelajar dari rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah, yang terlibat dalam pertandingan Maraton Shell Eko Asia.

PENUNTUT POLITEKNIK TEMASEK SEBENARNYA 'WAJAH BARU'

Biarpun ‘pendatang’ baru, pasukan dari Politeknik Temasek itu ada sesuatu untuk dimegahkan - pembuatan sel bahan api hidrogen yang tersendiri sebagai kuasa tenaga kereta mereka.


"Salah satu keunikan tentang kereta kami adalah kami mempunyai 'screen energy research group' yang mereka sendiri sel bahan api di mana kita tidak memerlukan mana-mana pihak untuk mendapatkan sel bahan api untuk kita," kata Muhd Firdaus Sayari, pelajar dari pasukan Politeknik Temasek.

Bukan itu sahaja, kedua-dua pemandu kereta pasukan TP Eco Flash adalah kaum hawa!

"Saya tidak pernah berlatih dengan kereta-kereta lain, biasanya saya seorangan. Jadi saya guguplah sebab litarnya sempit dan saya takut kalau bertembung dengan kereta-kereta lain. Saiz litar itu boleh sumbat dalam dua kereta sahaja," kata Cik Shazreen Ramli.

HAMPIR GAGAL DI GARIS PERMULAAN


Proses pemeriksaan teknikal ke atas kereta mereka juga berjalan lancar dengan kesemua 12 stesen lulus - salah satu syarat yang harus dipenuhi untuk layak bertanding.

Namun, keadaan bertukar cemas sejurus kereta mereka tiba di garisan permulaan.

"Kami mendapat tahu bahawa meter aliran kami rosak. Kalau meter aliran itu rosak, kami tidak boleh mengira tahan kecekapan kenderaan kami. Pertandingan ini untuk mengira kecekapan kenderaan jadi kalau meter aliran rosak, kami tidak dapat mengiranya," kata Encik Muhd Ashrauf Mohd Kotharisa dari pasukan Politeknik Temasek.

Mujur, masalah itu dapat diatasi segera dan pasukan ini tidak terlepas peluang untuk mencatat rekod dalam program cabaran tenaga global.

USAHA SEJAJAR DENGAN ASPIRASI S'PURA KURANGKAN JEJAK KARBON

Hasil rekaan mereka ini antara kenderaan cekap tenaga yang bertanding semasa festival 'Make the Future Singapore', sebuah pesta yang meraikan idea-idea bernas dan inovasi-inovasi dari seluruh pelusuk Asia dan Timur Tengah.


Pasukan bertanding untuk melihat kenderaan siapa yang mampu memberikan lebih kilometer dari hanya satu liter bahan api - menggabungkan kecekapan tenaga pada kenderaan mereka dan kelajuan serta kemahiran pemanduan.

Acara itu juga selaras dengan aspirasi Singapura untuk menggalak orang ramai supaya mengurangkan jejak karbon mereka.  

- BERITAMediacorp/aq

Komen Anda?

Top