Images
  • shinzo shoe
    Hidangan pencuci mulut untuk Perdana Menteri Shinzo Abe dihidangkan dalam kasut. (Gambar: segevmoshe/ Instagram)

PM Jepun tersinggung pencuci mulut dihidang dalam kasut semasa lawatan rasmi

TOKYO: Lazimnya, tetamu akan disambut dan dilayan dengan baik. Namun, apakah perasaan anda jika dihidang pencuci mulut dalam kasut?

Bagi seorang diplomat Jepun yang mengiringi Perdana Menteri Shinzo Abe semasa lawatan rasminya ke Israel, ia satu perbuatan yang tidak patut dan "sama sekali tidak menghormati" tetamu.

Semasa jamuan malam bersama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan isterinya pada 2 Mei lalu, sumber-sumber mendedahkan sepasang kasut diletakkan di atas meja makan yang diisi dengan pencuci mulut.

"Tidak ada budaya di dunia yang meletakkan kasut di atas meja. Apa yang difikirkan tukang masak? Jika ini hanya satu bentuk gurauan, kami tidak rasa ia satu perkara yang lucu; kami sebagai wakil perdana menteri berasa tersinggung," kata diplomat Jepun yang enggan identitinya didedahkan, seperti ditukil Press TV.

Menyusuli komen itu, Kementerian Luar Israel segera mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan bahawa ia tidak terlibat dalam rancangan menyediakan hidangan tersebut tetapi menghargai kreativiti tukang masak tersebut, Segev Moshe.

"Kami sangat menghormati Perdana Menteri Jepun," menurut kementerian itu, tanpa membuat sebarang permohonan maaf.

Segev, yang terkenal dengan cara luar biasa dan pelik menyediakan hidangan untuk pemimpin asing turut mempertahankan bahawa pencuci mulut coklat itu tidak diletakkan dalam kasut sebenar. Kasut tersebut hanya sebuah arca yang dibuat daripada logam. Oleh sebab itu, katanya kepada media, tindakannya seharusnya tidak menyinggung para tetamu dalam jamuan malam itu.

Akhbar Israel Yediot Aharonot, bagaimanapun, menyatakan bahawa tindakannya sesuatu yang memeranjatkan rombongan dari Jepun. Agensi berita itu difahamkan ia merupakan sebahagian budaya Jepun untuk tidak membawa masuk kasut mereka ke dalam rumah mahupun pejabat.

"Tidak ada yang lebih menghina daripada kasut dalam budaya Jepun. Mereka tidak hanya tidak memakai kasut dalam rumah, anda juga tidak akan melihat sebarang kasut di pejabat mereka. Tindakan itu jelas tidak mengormati mereka," menurut artikel yang diterbitkan dalam akhbar Yediot Aharonot. "Diplomat-diplomat Jepun, para pegawai Kementerian Luar Israel dan diplomat tinggi Israel yang sebelum ini pernah ditugaskan ke Jepun, sangat terperanjat dengan tindakan itu."

Insiden ini juga mendapat perhatian ramai pengguna online. Malah, menurut Press TV, ada yang menyatakan bahawa perbuatan meletakkan kasut di meja makan sama sekali tidak dapat diterima, tidak kira dalam budaya mana sekali pun.  

- Agensi Berita/AQ/fa

Komen Anda?

Top